Nama AirAsia memang terkenal dengan perubahan masa penerbangan atau dijadualkan semula. Mungkin anda yang trauma apabila terkena perkara ini, lebih-lebih lagi jika dimaklumkan pada minit terakhir, atau sehari sebelum penerbangan.
Tetapi tahukah anda, jika AirAsia merubah penerbangan menjadualkan semula penerbangan anda, anda boleh menukar penerbangan ini secara PERCUMA? Ya, ia boleh dilakukan dan tidak ramai yang tahu tentang perkara ini.
Dalam kenyataan terbaru AirAsia, mereka ada berkongsi secara ringkas tentang cara untuk menukar penerbangan dengan percuma. Menurut AirAsia, tetamu yang terjejas oleh perubahan penerbangan atau penjadualan semula, boleh menukar penerbangan tersebut adalah percuma untuk satu kali dalam tempoh satu bulan dari tarikh perlepasan asal penumpang.
Pengguna yang terjejas boleh membuat permohonan ini secara percuma dengan mudah pada bila-bila masa. Hanya log masuk ke akaun anda di airasia Super App atau airasia.com, klik pada pautan ‘My Booking’, pilih penerbangan yang terjejas dan klik ‘Modify’. Atau, pilih untuk menukar penerbangan anda melalui bot sembang AirAsia AVA.
Contohnya, anda sepatutnya terbang dengan AirAsia dari KLIA ke Langkawi pada 26 Disember 2022 pukul 3pm. Kemudian anda mendapat SMS atau emel menyatakan jadual diubah ke 27 Disember 2022, pukul 8 pagi. Anda layak untuk menukar penerbangan tersebut ke mana-mana penerbangan lain secara PERCUMA. Dalam hal ini, anda boleh memilih untuk menukar ke penerbangan, bertarikh antara 27 November 2022 sehingga 25 Januari 2023.
Persediaan sebelum terbang di musim perayaan
Di samping itu, AirAsia turut menasihatkan penumpang untuk mengikut memastikan beberapa perkara sebagai langkah keselamatan sebelum terbang, memandangkan ramai orang akan berjalan di musim percutian ini.
Sebelum membuat tempahan penerbangan, pastikan anda dan mereka yang terbang bersama layak untuk melakukan perjalanan. Antara yang perlu disemak adalah tiada sekatan perjalanan (akibat PTPTN, LHDN, dll), tempoh sah laku pasport melebihi 6 bulan, visa perjalanan atau e-visa jika perlu, dokumen kesihatan yang berkaitan dan bukti sijil vaksinasi. Keperluan ini mungkin berubah dari masa ke semasa, jadi selalu semak dengan pihak berkenaan.
Selepas menempah tiket penerbangan, AirAsia menggalakkan penumpang untuk daftar masuk secara kendiri melalui aplikasi AirAsia Super. Ia boleh dibuat 14 hari sebelum tarikh berlepas dan pas elektronik akan diberikan. Ia bukan sahaja lebih mudah, tetapi dapat mengelakkan sentuhan fizikal dan mengurangkan kesesakan di lapangan terbang.
Selain itu, buat tempahan awal untuk hidangan dalam penerbangan lebih awal. Penumpang boleh membuat tempahan ini sehingga 24 jam sebelum penerbangan. Selain harga lebih murah, penumpang juga dijamin akan mendapat makanan di dalam penerbangan.
Pada hari penerbangan, penumpang dinasihatkan untuk tiba awal di lapangan terbang lebih awal. Sekurang-kurangnya tiga jam lebih awal sebelum waktu perlepasan untuk penerbangan antarabangsa, supaya semua proses perjalanan dapat diselesaikan sebelum terbang.
[Sumber: AirAsia]