Messenger adalah perkhidmatan perbualan di dalam Facebook. Tetapi untuk peranti mudah alih Android dan iOS, aplikasi mudah alih Messenger dan Facebook diasingkan. Pengguna tidak boleh berbual menggunakan Messenger di dalam aplikasi Facebook, selagi belum memasang aplikasi Messenger.
Tetapi tidak lama lagi, pengguna Facebook mungkin dapat kembali berbual Messenger di dalam aplikasi yang sama. Di dalam perutusan blog terbaru Meta, mereka mengumumkan sedang membuat ujian menambah semula Messenger ke dalam aplikasi Facebook. Ketua Facebook, Tom Alison menyatakan ujian ini akan diluaskan tidak lama lagi.
Messenger telah dikeluarkan daripada aplikasi Facebook pada tahun 2014, dikatakan untuk memberi pengalaman yang lebih baik kepada pengguna. Tetapi penggabungan semula ini tidaklah mengejutkan. Perkara ini pernah ditemui oleh beberapa pengguna pada akhir tahun lepas.
Penggabungan kembali Facebook dan Messenger dilihat sebagai usaha Meta untuk menyaingi populariti TikTok. Agak aneh juga kerana boleh dikatakan semua media sosial, memiliki fungsi perbualan di dalam aplikasi yang sama, termasuk di Instagram.
Di dalam utusan blog Meta yang sama, mereka turut menyatakan bahawa Facebook masih belum mati, malah semakin banyak digunakan setiap hari oleh berbilion pengguna aktif. Pengguna Facebook bukan sahaja berhubung dengan rakan dan keluarga, tetapi untuk menemui lebih banyak benda dan berinteraksi dengan pelbagai perkara di sekeliling.
Kenyataan rasmi Facebook tentang pengguna mereka masih ramai tidak pula diterangkan menerusi angka dan nombor. Sebelum ini, New York Times pernah melaporkan bahawa ramai remaja dan belia di Instagram, mematikan kebenaran memuat naik utusan ke Facebook semasa mendaftar Instagram. Ada yang mempersoalkan, “adakah Facebook sudah menjadi sangat teruk?”
[Sumber: The Verge]