Realme Malaysia kini mengesahkan kedatangan telefon pintar juara mereka, Realme C55. Perkara lebih menarik tentang telefon ini adalah “Mini Capsule”, fungsi yang serupa dengan “Dynamic Island” di iPhone 14 Pro. Ini akan menjadikannya sebagai telefon Android pertama dengan ciri sebegini dibawa di Malaysia.
Telefon pintar Realme C55 akan dilancar di Malaysia pada hari Selasa, 28 Mac 2023. Orang ramai boleh menontonnya secara langsung, bermula pukul 5.30 petang di Facebook Realme Malaysia. Malah, penonton berpeluang memenangi sebuah Realme C55 jika mengikutinya sehingga tamat. Maklumat lanjut tentang cara menang Realme C55 boleh didapati di sini.
Di Indonesia, Realme C55 telah dilancar awal bulan ini pada harga IDR2.499.000 (~RM731) dengan RAM 6GB dan storan 128GB, serta IDR2.999.000 (~RM877) yang memiliki RAM 8GB dan storan 256GB. Mungkin kita akan dapat melihat ia dijual di Malaysia pada harga sekitar RM749 ke RM899.
Spesifikasi Realme C55
Menurut Realme, telefon ini adalah yang pertama dalam keluarga siri-C dengan fungsi kamera terbaik, storan besar dan pengecasan pantas. Halaman spesifikasi menunjukkan Realme C55 dilengkapi pemproses Mediatek Helio G88 12nm, tanpa 5G bersama RAM LPDDR4X dan storan dalaman sehingga 256GB. Kad mikroSD diterima sehingga 1TB. Terdapat juga fungsi RAM Maya (DRE) yang menggandakan saiz RAM menerusi penggunaan storan dalaman.
Skrin di Realme C55 seluas 6.72-inci daripada jenis LCD 90Hz dan resolusi HD Penuh. Sekali pandang, skrin Realme C55 tiada yang luar biasa kerana ada lubang kecil di atasnya yang memuatkan kamera hadapan.
Tetapi Realme mengubahsuai sistem operasi mereka dan menambah ciri “Mini Capsule”. Ia adalah fungsi seakan “Dynamic Island” di iPhone 14 Pro yang menjadikan ruang hitam menjadi lebih lebar sambil menayangkan maklumat berguna di dalamnya. Antaranya kuasa mengecas, peratus bateri, penggunaan data, serta jumlah langkah harian.
Hanya ada dua kamera di belakang iaitu kamera utama 64MP dan kamera potret 2MP. Kamera hadapannya pula 8MP. Di sisinya, terdapat butang kuasa yang digabungkan bersama pengimbas capjari.
Realme C55 juga memiliki kuasa mengecas terpantas di dalam keluarga siri-C. Baterinya berkapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 33W melalui USB-C. Hanya 63 minit diperlukan untuk mengecas dari 0-100%.
Sistem bunyi di Realme C55 hanya mono dan ia memiliki jek audio 3.5mm untuk menikmati sistem bunyi lebih hebat di telinga. Sistem operasi Realme UI 4.0 berasaskan Android 13, menjadi tunjang utama telefon ini.
Terdapat dua warna ditawarkan untuk Realme C55 iaitu kuning (Sunshower) dan hitam (Rainy Night). Ia adalah warna gradien yang kelihatan berubah-ubah jika dipandang dari sudut berbeza.