Sempena bulan Ramadan, kita dapat menyaksikan muslimin dan muslimat di Malaysia bersama-sama menunaikan ibadah puasa. Oleh itu, berbuka dan bersahur adalah perkara yang mesti dilakukan. Tapi, pernah tak anda kesuntukan masa untuk menyediakan makanan apabila bersahur atau berbuka? Kalau pernah, di sini saya akan kongsikan tips untuk pesan makanan atas talian bagi yang kesuntukan masa untuk bersahur atau berbuka.
1. Pesan di kedai yang terdekat
Pertama sekali, pastikan anda pesan di kedai yang terdekat dengan kawasan rumah anda. Sebelum memesan, anda boleh menyemak lokasi kedai menggunakan Google Maps dan lihat berapa jauh jarak dari kedai ke rumah anda. Dari situ, kita boleh agak berapa lama ia mengambil masa untuk makanan sampai ke rumah.
Untuk lebih mudah, anda boleh lihat jarak lokasi kedai di aplikasi, atau menggunakan peta terbina dalam aplikasi. Kebanyakan aplikasi sudah mempunyai ciri ini, jadi semasa nak membuat pesanan anda boleh terus tengok butiran kedai tersebut. Lebih-lebih lagi, pesan di kedai terdekat juga boleh membuat penjimatan bagi kos penghantaran.
2. Guna aplikasi yang anda biasa guna
Sekarang, terdapat banyak aplikasi yang menawarkan perkhidmatan menghantar makanan seperti GrabFood, Foodpanda, ShopeeFood, dan aplikasi-aplikasi restoran tersendiri. Tapi, saya sarankan anda untuk menggunakan aplikasi yang anda biasa guna supaya pesanan boleh dibuat dengan cepat dan lancar.
Setiap aplikasi mempunyai muka rumah dan susun atur tersendiri. Jika tidak biasa, lagi lambatlah pesanan makanan dibuat, dan lagi lambat makanan akan sampai ke rumah sedangkan masa dah suntuk untuk berbuka atau sahur.
Secara peribadi, saya merasakan foodpanda adalah aplikasi dengan antara muka termudah untuk digunakan tanpa ada banyak ciri tambahan lain. Buka sahaja aplikasi foodpanda dan anda akan terus nampak pilihan makanan. Tinggal nak pilih dan letak dalam troli, kemudian bayar.
3. Cek promosi dalam aplikasi
Untuk lebih jimat, anda boleh semak promosi yang terdapat dalam aplikasi. Setiap aplikasi menawarkan promosi yang berbeza. Ada promosi untuk diskaun makanan, penghantaran percuma dan pulangan tunai. Ada juga langganan setiap bulan yang memberi diskaun dan faedah eksklusif seperti Grab Unlimited atau pandapro. Jadi, anda boleh melanggan untuk mendapatkan jaminan penjimatan yang lebih banyak.
4. Pilih cara pembayaran yang mudah
Lepas menambah makanan dalam troli, tiba masa untuk membuat pembayaran. Cara pembayaran tersedia mungkin berbeza mengikut aplikasi. Oleh itu, penting untuk anda memilih cara yang termudah supaya pembayaran berjaya dilakukan. Terdapat beberapa cara pembayaran yang disediakan seperti seperti perbankan atas talian (FPX), kad debit atau kredit, e-wallet ataupun menggunakan e-wallet aplikasi itu tersendiri.
Kesemua cara pembayaran boleh dilakukan secara mudah, tapi yang termudah adalah dengan menggunakan kad kredit atau debit. Tapi, ianya mudah jikalau anda sudah siap sedia menambah kad di dalam aplikasi tersebut. Kalau anda belum menambah kad, kaedah pembayaran menggunakan e-wallet juga tidak kurang mudahnya. Hanya pilih e-wallet yang anda guna, kemudian ia terus menolak jumlah transaksi.
5.Siap sedia tunggu di depan rumah
Setelah memesan, anda hanya perlu menunggu untuk makanan sampai. Untuk tidak membuang masa, anda boleh semak lokasi semasa secara nyata dalam aplikasi. Jika anda dapati makanan sudah hampir sampai, pastikan anda terus tunggu di luar rumah, supaya makanan boleh terus diambil. Ia lebih penting bagi yang tinggal di pangsapuri atau flat kerana penghantar makanan mungkin sesat ketika mencari blok atau rumah anda. Jadi, lebih baik turun atau tunggu di lobi supaya makanan boleh di ambil dengan cepat.