Baru-baru ini, Oppo telah melancarkan tablet flagship terbaru mereka di China iaitu Oppo Pad 2. Ia dikuasakan cip Dimensity 9000 menjadikan prestasinya jauh lebih baik berbanding model Oppo Pad sebelumnya. Tapi, Oppo Pad 2 mungkin tiba ke pasaran Malaysia dan global tidak lama lagi setelah ia dilihat tersenarai di pengkalan data SIRIM.
Di pengkalan data tersebut, ia boleh dilihat Oppo Pad 2 didaftarkan dengan nombor model OPD2202 oleh JIE BUSINESS SDN BHD pada 28 Mac 2023, syarikat yang sama mendaftarkan tablet Oppo Pad Air pada 13 Mei tahun lepas. Untuk perspektif, Oppo Pad air dilancarkan di Malaysia pada 21 Julai 2022, dua bulan selepas ia didaftarkan di SIRIM. Berdasarkan tarikh di pengkalan tersebut, Oppo Pad 2 mungkin akan dilancar dalam masa dua bulan.
Walau bagaimanapun, ia masih tidak diketahui bila ia akan dilancarkan dan tiada butiran spesifikasi yang dinyatakan di pengkalan data tersebut. Sumber mengatakan varian global akan mengguna pakai spesifikasi sama seperti model di China. Jika betul, ia menawarkan spesifikasi yang lebih kurang sama seperti OnePlus Pad.
Di China, Oppo Pad 2 dilengkapkan dengan paparan 11.6 inci beresolusi 2800×2000 menggunakan panel IPS LCD, dengan kadar segar semula 144Hz dan kecerahan maksimum 500 nits. Ia mempunyai nisbah aspek 7:5, warna 12-bit dan sokongan Dolby Vision. Bezel juga nipis membuatkan ia memiliki nisbah skrin-ke-badan 88%.
Di bahagian kamera, ia mempunyai satu kamera belakang 13MP dengan keupayaan merekod video sehingga 4K 30fps. Bahagian depan pula terdapat kamera 8MP dengan kemampuan merekod video 1080p pada 30fps. Di papan utama, seperti yang saya sebutkan tadi, ia menggunakan cip Dimensity 9000 bersama RAM LPDDR5 sehingga 12GB dan storan UFS 3.1 sehingga 512GB.
Tenaga pula disumbang oleh bateri berkapasiti 9,510mAh dengan pengecasan pantas SuperVOOC 67W. Lain-lain ciri termasuk sokongan WiFi 6, Bluetooth 5.3, Dolby Atmos dan sambungan port USB-C.
Oppo Pad 2 boleh didapati di China pada harga CNY 2,999 (~RM1927.34) untuk RAM 8GB dan storan 256GB, CNY 3,399 (~RM2184.40) untuk RAM 12GB dan storan 256GB, dan akhir sekali CNY 3,999 (~RM2570.00) untuk RAM 12GB dan storan 512GB. Oleh itu, kita boleh jangka harga Oppo Pad 2 di Malaysia mungkin tidak jauh beza berbanding pasaran China jika ia dilancarkan nanti.
[Sumber: GizmoChina]