Anda selalu muat naik video Reels? Jika ya, Instagram kini sedang lancarkan empat kemas kini Reels yang saya lihat akan lebih memudahkan anda menghasilkan video Reels dan mencapai lebih banyak tontonan. Cuba anda lihat, mana satu ciri paling berguna untuk anda?
1. Ketahui apa yang sohor di Reels
Perlukan idea dan inspirasi untuk hasilkan kandungan Reels? Dengan kemaskini baru, anda boleh tahu video yang sedang sohor di Reels melalui ciri Reels Trends.
Dengannya, anda boleh lihat lagu-lagu paling popular di Reels serta kekerapan audio itu telah digunakan. Anda boleh klik untuk gunakannya atau simpan audio itu untuk diri sendiri. Selain itu, anda juga boleh lihat topik dan hashtag popular Reels dan gunakannya untuk tonjolkan kandungan sendiri.
2. Lebih senang sunting pelekat & teks pada video Reels
Kebiasaannya, pengguna hanya boleh sunting audio dan video sahaja dalam satu timeline. Jika nak tambah pelekat atau teks, anda tak boleh tetapkan masa teks atau pelekat itu timbul, sebab ia akan sentiasa berada di sepanjang video.
Namun dengan kemaskini baru, anda boleh himpunkan klip video, audio, pelekat dan teks pada skrin dalam satu timeline. Ini akan memudahkan anda sunting dan tetapkan masa yang sesuai untuk pelekat atau teks dipaparkan pada video.
3. Kemaskini Reels Insights
Untuk membantu pengguna memahami dengan lebih baik prestasi Reels yang sudah di muat naik, Instagram menambah dua metrik baharu untuk anda pantau iaitu jumlah masa menonton dan purata masa tonton. Jumlah masa menonton adalah masa Reels anda dimainkan, ia termasuklah masa Reels itu dimainkan semula.
Purata masa tonton pula dikira dengan membahagikan masa tontonan dengan bilangan jumlah Reel dimainkan. Ini akan bantu anda memahami dan pantau dengan lebih baik kandungan yang perlu anda cipta untuk membolehkan pengguna tonton lebih lama.
4. Memperluas pemberian hadiah di Reels
Instagram akan bawakan ciri hadiah pada lebih ramai pencipta dengan mengembangkannya ke lebih banyak lokasi. Ini termasuklah di Australia, Kanada, Perancis, Mexico, New Zealand dan UK, dalam beberapa minggu akan datang.
Namun, tidak pasti sama ada Malaysia akan terima ciri ini atau tidak. Jika kita menerimanya, bolehlah anda jana pendapatan melalui Reels dengan menghasilkan video yang menarik. Ini sekaligus membuka peluang pada penonton untuk berikan hadiah pada pencipta kandungan yang diminati sebagai tanda sokongan.
Setakat ini saya belum terima mana-mana kemaskini lagi, mungkin ia sedang dilancarkan secara berperingkat.