Proton secara rasminya memperkenalkan model Proton X90 kepada umum dalam majlis pelancaran yang dihadiri PM Anwar Ibrahim. Ini adalah kereta Proton paling besar dan yang paling lengkap ciri setakat ini dalam penawaran mereka. Berikut adalah 5 perkara yang anda perlu tahu tentang Proton X90.
1. SUV 3 baris tempat duduk pertama Proton
Proton X90 adalah SUV pertama daripada pengeluar itu yang ada tiga baris tempat duduk.
Dengan konfigurasi tempat duduk itu, ia berada dalam kategori yang diduduki oleh model seperti:
- Hyundai SantaFe
- Kia Sorento
- Mazda CX-8
- Volkswagen Tiguan
2. Harga bermula RM123,800
Proton X90 ditawarkan dalam 4 variasi pada harga bermula RM123,800.
Berikut adalah senarai harga dan varian Proton X90.
- Proton X90 1.5 TGDI BSG Standard – RM123,800
- Proton X90 1.5 TGDI BSG Executive – RM130,800
- Proton X90 1.5 TGDI BSG Premium – RM144,800
- Proton X90 1.5 TGDI BSG Flagship – RM152,800
Tidak kiralah varian apa yang anda dapatkan, kesemua daripadanya menggunakan enjin yang sama iaitu enjin 1.5 TGDI dengan sistem motor sinergi 48V. Jadi, anda boleh jangkakan prestasi pemanduan yang sama. Perbezaan yang akan anda temui adalah pada saiz tayar, aksesori dalaman, ciri keselamatan dan ciri bantu pandu.
3. Enjin 1.5 TGDI dengan sistem motor sinergi 48V
Proton X90 digolongkan dalam kategori mild hybrid kerana motor elektriknya tidaklah sekuasa kenderaan hybrid sebenar. Motor yang ada pada kenderaan ini mengeluarkan kuasa 10kW dengan tork setinggi 52Nm. Ia akan membantu enjin petrol 3 silinder 1.5L untuk jadikan output kuasa keseluruhannya adalah 130kW dengan tork 255Nm.
Antara kelebihan mild hybird adalah ia menerima sedikit manfaat teknologi hibrid tanpa jisim kenderaan meningkat mendadak daripada komponen sistem hibrid penuh. Sistem hibrid sederhana ini memfokuskan pada penjimatan pada RPM rendah terutamanya ketika kenderaan ingin digerakkan daripada keadaan pegun.
Proton sewaktu majlis pelancaran X90 tempoh hari berkongsikan angka penggunaan bahan api pada paras 14.7km/L.
Kuasa yang dihasilkan enjin Proton X90 disalurkan kepada roda menerusi sistem transmisi DCT 7 kelajuan, sistem yang sama digunakan oleh Proton X50 dan X70.
4. Sistem keselamatan dan bantu pandu yang komprehensif
Proton X90 dilengkapi dengan sistem keselamatan dan bantu pandu paling banyak setakat ini dalam kalangan keluarga Proton setakat ini. Disamping 6 SRS Airbag, sebanyak 3 ciri keselamatan baharu Proton munculkan buat kali pertama pada X90 iaitu:
- Rear Collision Warning (RCW)
- Amaran lintasan di belakang
- Pengecaman papan tanda
Ia akan menyertai ciri sedia ada seperti brek kecemasan berautonomi dan amaran hentaman di hadapan.
Pada segi ciri bantu pandu, ini adalah senarai penuhnya:
- Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Stop dan Go.
- Intellignet Cruise Control (ICC)
- Lane Departure Warning (LDW)
- Lane Departure Preventoin (LDP)
- Lane Centering Control (LCC)
- Emergency Lane Keep Assist (ELKA)
- Lane Change Assist (LCA)
- Auto Park Assist (APA)
- Kamera 360 darjah
- Tyre Pressure Monitoring System (TPMS)
Walau bagaimanapun, hanya varian tertinggi menikmati ciri-ciri lengkap ini. Varian yang lebih rendah mungkin kehilangan beberapa fungsi bagi merealisasikan harga yang lebih rendah.
5. Masih tiada Android Auto dan Apple Carplay
Sehingga hari ini masih belum ada kenderaan Proton yang menyokong dua sistem navigasi terkenal iaitu Android Auto dan Apple Carplay. Untuk navigasi, ia mengguna pakai sistem proprietari yang dipaparkan pada sistem inforia bersaiz skrin 12.3”.
Sistem inforia Proton X90 ada fungsi eSIM dan anda boleh mendengar penstriman muzik dalam talian ataupun bernavigasi tanpa berhotpost dengan telefon. Ia ada fungsi ketersambungan dengan telefon pintar tapi hanya dengan cara mirror sahaja.
Untuk keselesaan, sebanyak 7 port USB disediakan di sekeliling kabin kereta dan ada satu permukaan yang dilengkapi pengecas wayarles.