Selepas melancarkan fon putik Nothing Ear (2), produk baru yang dinantikan seterusnya adalah telefon pintar. Model pertama telefon pintar Nothing telah dilancar hampir setahun yang lepas, dan kini penggantinya disahkan akan tiba tidak lama lagi.
Nothing telah memulakan kempen untuk telefon pintar kedua mereka, Nothing Phone (2) dengan mengumumkan akan melancarkan pada musim panas tidak lama lagi. Bagi negara panas dan hujan seperti Malaysia, ia merujuk kepada suku ketiga tahun 2023 (Q32023).
Setakat ini, Nothing belum memberikan tarikh yang tepat untuk pelancarannya. Apa yang dikongsikan hanyalah secebis kepingan gambar yang tidak diketahui di bahagian mana. Serta sepatah perkataan Premium.
Mungkin ia adalah belakang telefon, kerana ada jalur putih yang kelihatan seperti LED Glyph yang unik di Phone (1), lampu merah berkelip serta satu butang fizikal seakan butang senyap di iPhone dan OnePlus.
Walaupun tiada maklumat penting diberikan oleh Nothing, pengasas Nothing iaitu Carl Pei pernah memaklumkan hasratnya untuk menjadikan Phone (2) lebih premium daripada model sebelumnya. Ini ditambah lagi dalam pertemuan Carl Pei dan CEO Qualcomm, Cristiano Amon yang mengesahkan Phone (2) akan dikuasakan cip Snapdragon siri-8. Malah, Naib Presiden Kanan Qualcomm, Alex Katouzian pernah menyatakan Phone (2) akan menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 tetapi mengubah perkongsian tersebut tidak lama kemudian.
Jika benar Nothing mahu menggunakan cip lebih perkasa di Phone (2) dan rekaan lebih premium, pasti harganya akan melonjak lebih tinggi berbanding Phone (1) semasa dilancar tahun lepas. Berbanding telefon pintar lain dengan kuasa Snapdragon 778G+, Nothing Phone (1) boleh dikatakan agak mahal. Tetapi ia dilengkapi banyak ciri yang tiada pada model telefon lain dengan kuasa serupa, seperti pengecasan wayarles serta LED Glyph yang unik.
Adakah Nothing Phone (2) akan lebih menarik untuk dimiliki? Kita nantikan pengumuman selanjutnya daripada Nothing.
[Sumber: Nothing]