AirAsia SuperApp dan FoodPanda hari ini mengumumkan kerjasama yang menggabungkan kekuatan dua syarikat gergasi ini, untuk menawarkan lebih pilihan dan nilai kepada pengguna di Asean. Kerjasama strategik ini membolehkan kedua-dua platform memanfaatkan kelebihan masing-masing.
Perkhidmatan pengangkutan AirAsia Ride, akan terdapat di platform FoodPanda. Manakala perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan runcit FoodPanda, akan diterapkan di dalam platform AirAsia SuperApp. Dengan ini, rangkaian meluas FoodPanda yang terdiri daripada lebih 100,000 peniaga, boleh dimanfaatkan oleh pengguna AirAsia SuperApp.
Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A menyatakan, walaupun AirAsia tidak lagi menguruskan penghantaran makanan sendiri, pekerja AirAsia Ride sedia ada akan diserapkan ke cabang AirAsia yang lain seperti Teleport, perkhidmatan penghantaran bungkusan di bawah AirAsia.
Sempena kerjasama ini, pelanggan AirAsia SuperApp dan FoodPanda boleh menikmati tawaran eksklusif untuk pengangkutan e-hailing dan penghantaran makanan. Semak aplikasi AirAsia SuperApp dan FoodPanda untuk maklumat lanjut.
Tony Fernandes berkata, “Kami sangat memberikan tumpuan untuk memenuhi visi aplikasi super pengembaraan kami, dan kami gembira kerana telah menemui sinergi positif dengan rakan kongsi penghantaran yang kukuh sambil kami beralih kepada model tempahan di tempat makan. Kerjasama platform ini akan membolehkan kami untuk memanfaatkan kekuatan satu sama lain iaitu kehebatan penghantaran makanan dan barangan runcit foodpanda dan perkhidmatan pengangkutan kami yang disokong oleh ekosistem aplikasi super pengembaraan yang lengkap, yang merupakan keperluan untuk pengembara dan pengguna harian kedua-dua aplikasi tersebut. Terdapat begitu banyak potensi yang mana kedua-dua airasia Superapp dan foodpanda boleh meneroka lebih mendalam bersama-sama, seperti penyelesaian pembayaran melalui BigPay, program kesetiaan bersama dengan airasia rewards, dan juga potensi dalam pelan langganan kedua-dua pihak serta banyak lagi. Kami gembira untuk memulakan kerjasama yang melibatkan perkhidmatan pengangkutan e-hailing dan juga penghantaran makanan kami di Malaysia pada hari ini.”
Jakob Angele, Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda, berkata, “Peluang untuk membawa dua jenama terkemuka di Malaysia ini cukup bermakna buat kami; kedua-dua pihak telah mencipta perkhidmatan yang hebat yang mana pelanggan di Malaysia telah sebati dan menjadikannya sebahagian daripada gaya hidup mereka. Jadi, kerjasama ini merupakan kerjasama yang selari dengan matlamat kedua-dua pihak yang akan bersama-sama memberikan nilai yang lebih hebat, kepelbagaian dan kemudahan kepada semua pelanggan kami.”
Mohamad Hafiz Mohd Fadzil, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif airasia Superapp, menambah, “Sebagai aplikasi super pengembaraan serantau ini, matlamat kami adalah untuk menyediakan pengalaman yang lancar dan mudah untuk pengguna kami yang rata-ratanya merupakan pengembara sekitar Asean. Kami adalah pusat sehenti untuk kesemua keperluan yang anda perlukan. Ini merangkumi syarikat penerbangan, penginapan, pengangkutan ke dan dari lapangan terbang dan hotel, dan juga pengalaman kulinari melalui penghantaran makanan mahupun tempahan di tempat makan. Kami tidak sabar untuk menjadi lebih cemerlang di dalam ruangan aplikasi super ini dengan kerjasama yang sangat penting buat kami semua hari ini.”
[Sumber: AirAsia]