Setelah hampir setahun Sony melancarkan Sony Xperia 1 IV, kini Sony telah mengumumkan kehadiran telefon flagship terbaru mereka iaitu Sony Xperia 1V. Pada asasnya, Sony Xperia 1V terbaru ini nampak serupa dengan model terdahulu Sony Xperia 1 IV di bahagian luarannya kerana mempunyai aspek paparan yang tinggi dan kedudukan kamera menegak. Tapi bahagian perkakas dalaman kini dilengkapi ciri yang telah dinaik taraf.
Sony mengatakan bahagian kamera utama sekarang diperkasa sensor “Exmor T for mobile” 1/3.5 inci yang memuatkan 2 lapisan Piksel Transistor sensor imej CMOS bertindan. Sensor tersebut dinyatakan oleh Sony 1.7 kali ganda lebih besar berbanding sensor imej pada model terdahulu. Sony juga mendakwa sensor terbaru ini mampu menghasilkan gambar dengan warna dan tekstur yang lebih kaya walaupun dalam persekitaran kurang pencahayaan.
Selain sensor yang lebih besar, kamera utama dinaik taraf pada resolusi yang lebih tinggi berbanding Xperia 1 IV. Xperia 1 V kini memiliki kamera utama 52MP dengan lensa 24mm. Selain itu, terdapat juga kamera ultra lebar 12MP 16mm dan kamera telefoto 12MP dengan zum optikal 85mm – 125mm. Untuk selfie, ada kamera 12MP yang terletak di bahagian dahi telefon.
Bagi merekod video, Xperia 1V mempunyai ciri warna profil S-Cinetone baharu dengan tiga kali paras signal saturasi. Ia juga memiliki beberapa preset warna yang dipinjam dari siri kamera Alpha untuk tangkapan gambar. Lebih menarik, Xperia terbaru ini peroleh keupayaan autofokus dan penjejakan objek dalam bingkai menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Di paparan, Xperia 1V menggunakan skrin OLED 6.5 inci resolusi 3840 x 1644 4K HDR bernisbah aspek 21:9 dan ada kadar penyegaran 120Hz. Komponen skrin tersebut dilindungi oleh Corning Gorilla Glass Victus 2. Di atas dan bawah skrin dimuatkan sistem speaker stereo dengan pengiktirafan Hi Res yang menghala ke hadapan. Lagi ciri lain yang terdapat adalah sambungan jek audio 3.5mm, kekalisan air IPX5/IPX6, pengimbas cap jari di butang kuasa, Bluetooth 5.3, dan sistem operasi Android 13.
Atas papan utama, peranti flagship Sony ini dikuasakan oleh Snapdragon 8 Gen 2 dengan gandingan RAM 12GB dan storan UFS 256GB. Tapi storan boleh diperluaskan sehingga 1TB dengan adanya slot MicroSD. Memberi tenaga adalah bateri berkapasiti 5,000mAh. Sony mendakwa ia mampu memberikan masa penggunaan sehingga 20 jam. Pengecasan boleh dilakukan melalui USB-C pada kelajuan 30W, yang Sony memaklumkan mampu mengecas sehingga 50% dalam masa 30 minit. Ada juga sokongan pengecasan wayarles.
Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya, Sony Xperia 1V akan dilancar secara rasmi di Malaysia pada 3 Julai 2023. Ia boleh didapati pada harga RM6,399, RM300 lebih mahal berbanding Xperia 1 IV semasa ia dilancarkan pada harga RM6,000. Disebabkan harga Xperia 1V lebih mahal dari telefon flagship iPhone 14 Pro Max dan Galaxy S23 Ultra, mungkin telefon terbaru Sony ini akan lebih mendapat sambutan daripada penggemar-penggemar fotografi dan sinematografi berbanding pengguna biasa.
Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh layari laman produk Xperia 1V di sini.