Muslimin dan muslimat di Malaysia tidak lama lagi bakal bersama-sama menyambut Hari Raya Aidiladha, atau juga dikenali sebagai Hari Raya Haji. Sempena musim perayaan tersebut kita dapat menyaksikan ibadah qurban dilakukan serta daging akan diagih-agihkan untuk orang ramai. Adalah lebih afdal sekiranya ibadah qurban dibuat kerana hukumya adalah sunat muakkad.
Anda pernah terfikir nak buat ibadah qurban tapi kesuntukan masa untuk mencari lembu? Jangan risau kerana anda ada pilihan untuk lakukan ibadah qurban secara online. Lagi mudah dan cepat. Tapi anda perlu pastikan platform yang digunakan betul-betul boleh dipercayai. Jadi dalam artikel ini saya akan kongsikan senarai platform qurban secara online yang telah disemak secara telus. Berikut adalah 5 platform tersebut.
1. Ikhlas.com
Pertama sekali ialah Ikhlas.com. Ia adalah sebuah syarikat di bawah airasia yang menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk keperluan orang muslim. Ini termasuk bagi pembayaran qurban. Untuk melakukan bayaran qurban di platform ini, terdapat beberapa pakej yang ditawarkan bermula dari RM350 untuk sebahagian lembu, hingga RM5,950 untuk seekor lembu. Ia dibahagikan kepada 2 kategori iaitu qurban luar negara dan qurban tempatan.
Untuk melakukannya, anda perlu pilih pakej mana yang anda nak terlebih dahulu dan letakkan berapa bilangan peserta. Kemudian anda perlu mengisi maklumat nama peserta, nombor telefon dan alamat e-mel. Anda juga ada pilihan untuk tinggalkan nota di bahagian bawah. Akhir sekali tandakan terma dan syarat teruskan untuk ke pembayaran. Terdapat dua pilihan untuk pembayaran sama ada gunakan perbankan atas talian (FPX) atau, menggunakan kad kredit dan debit.
Selain itu, ada juga pakej qurban untuk penghantaran di mana daging akan dihantar kepada anda. Tapi penghantaran tersedia untuk di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Bahagian daging boleh diasingkan untuk anda terima dalam kadar satu pertiga, dua pertiga atau terima semua daging. Lebihan daging akan diedarkan melalui rangkaian sedekah IKHLAS.
Untuk melakukan qurban menggunakan Ikhlas.com, anda boleh layari laman webnnya di sini.
2. Ezqurban
Kedua adalah Ezqurban. Ezqurban membolehkan anda menunaikan ibadah qurban secara mudah. Terdapat empat pilihan pelaksanaan qurban yang anda boleh pilih iaitu Korban Global (untuk 38 buah negara), Korban Lokal (agihan kepada asnaf tempatan), Korban Palestin (agihan kepada rakyat Palestine) dan Korban Syria (agihan kepada rakyat asnaf di Syria). Harganya bermula RM350 untuk sebahagian lembu, sehingga RM5,250 untuk seekor lembu. Selain lembu, pilihan untuk qurban kambing juga disediakan.
Untuk membuat bayaran qurban, tentukan pakej anda dan tekan ‘daftar sekarang’. Setelah itu, letak nama peserta dan pilih bilangan peserta. Hanya satu nama sahaja yang diperlukan untuk mewakili bayaran. Tekan ‘simpan dan tutup’ dan seterusnya isi nama penuh, nombor kad pengenalan, e-mel dan nombor telefon. Sesudah itu anda perlu tandakan terma dan syarat dan lafazkan akad yang tertera. Kemudian anda boleh membuat pembayaran secara manual, atau menggunakan FPX atau kad bank.
Anda boleh layari laman web Ezqurban di sini.
3. Thijari – Tabung Haji
Tabung Haji juga ada menyediakan perkhidmatan pembayaran qurban melalui aplikasi atau pelayar Thijari. Untuk cara ini, anda perlu ada atau wujudkan akaun tabung haji dan pilihan bayaran qurban boleh didapati di menu Thijari. Tekan pilihan ‘Qurban 1444H’, pilih jenis Qurban yang tersedia, hanya ada satu pilihan iaitu Qibas/ Kambing Barbari yang berharga RM900 untuk satu peserta. Kemudian lafazkan akad yang tertera dan tekan butang hantar. Bayaran akan dibuat menggunakan akaun Tabung Haji anda.
Sebagai peringatan, pembayaran boleh dibuat sehingga 25 Jun 2023 sahaja. Anda boleh layari pelayar Thijari di sini.
4. Islamic relief Malaysia
Seterusnya adalah Islamic Relief Malaysia. Platform ini menawarkan pakej qurban mengikut negara seperti Mali, Yemen, Syria dan Palestine. Walau bagaimanapun, pakej yang ditawarkan mengikut ketersediaan bahagian yang tinggal dan tiada pilihan untuk seekor haiwan. Pakej termurah adalah Mali yang berharga RM375, dan paling tinggi adalah Palestine RM2,400. Jika anda mahu derma, anda boleh lakukan derma qurban serendah RM10.
Untuk membuat pembayaran, anda boleh pergi ke bahagian peserta dan letakkan nama peserta dan kuantiti. Anda boleh meletakkan sehingga 10 nama peserta. Setelah itu, lakukan lafaz akad qurban dan teruskan untuk pembayaran. Tapi yang menariknya, anda ada fleksibiti untuk tidak meninggalkan maklumat personal, boleh teruskan secara anonymous tapi resit tidak diberikan. Bagaimanapun, platform ini hanya menyediakan kaedah pembayaran secara atas talian (FPX).
Jika anda berhasrat untuk membayar qurban menggunakan Islamic Relief Malaysia, anda boleh lawati laman webnya di sini.
5. Korban Haluan
Akhir sekali adalah melalui Korban Haluan. Proses untuk platform ini hanya memerlukan empat langkah. Pertama sekali anda perlu membuat pendaftaran peserta. Pakejnya bermula pada harga RM320 dan boleh didapati setinggi RM1,850. Tetapkan maklumat lain seperti kuantiti, nombor kad pengenalan, nama penuh, nombor telefon dan alamat rumah.
Kemudian pilih wakil untuk dihubungi, anda boleh pilih sahaja diri sendiri. Kaedah pembayaran boleh dilakukan dalam dua cara iaitu secara online atau offline. Lafazkan akad yang dinyatakan dan teruskan untuk pembayaran. Dengan itu anda telah berjaya untuk membayar qurban. Perlu tahu bahawa tarikh terakhir adalah pada 25 Jun 2023.
Jika anda berminat untuk menggunakan Korban Haluan, anda boleh layarinya di sini.