Nama Garmin tidak asing lagi dalam dunia kecergasan kerana ia menghasilkan banyak peranti kecergasan berkualiti tinggi, terutama sekali jam pintar kecergasan. Antara modelnya yang popular adalah Garmin Forerunner dan Garmin Venu. Jika anda mahu sebuah jam yang menyediakan begitu banyak sensor dan maklumat kecergasan, model Garmin Fenix dan Garmin Epix pasti menjadi pilihan.
Tidak lama lagi, Garmin Malaysia akan melancarkan model terbaru jam kecergasan terbaik mereka, siri Garmin Fēnix 7 Pro dan siri Epix Pro. Sehubungan itu, Garmin mengajak orang ramai untuk melihat dan mencuba sendiri jam kecergasan terbaru ini, di jerayawara yang akan diadakan tidak lama lagi.
Jerayawara siri Garmin Fēnix 7 Pro dan siri Epix Pro akan diadakan minggu hadapan, dari 5 hingga 9 Julai 2023, di IOI City Mall, Putrajaya. Orang ramai boleh berkunjung ke sana dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, untuk melihat dengan lebih dekat model terbaru Garmin ini.
Secara ringkas, siri Garmin Fēnix 7 Pro dan siri Epix Pro membawakan ciri-ciri yang serupa. Apa yang membezakan antara keduanya adalah jenis skrin. Siri Fēnix 7 Pro dilengkapi paparan Memory-In-Pixel (MIP) yang cekap tenaga. Manakala siri Epix Pro dibekalkan paparan AMOLED yang lebih cerah.
Tahun lepas, Garmin melancarkan siri Epix dalam satu saiz sahaja. Di Epix Pro, ia ditawarkan dalam tiga saiz seperti di siri Fēnix. Malah, Garmin telah membawakan beberapa fungsi sebagai standard untuk semua model.
Antaranya paparan solar kini terdapat di semua varian Fēnix 7 Pro dan Epix Pro. Kesemua model ini juga hadir dengan storan dalaman 32GB, bagi menyimpan peta laluan dan muzik. Selain itu, Garmin turut menjadikan lampu limpah atau flashlight dilengkapi pada semua model, termasuk model paling kecil 42mm.
Terdapat tiga saiz terdapat untuk Fēnix 7 Pro dan Epix Pro iaitu 42mm, 47mm dan 51mm. Pengguna juga ada pilihan untuk mendapatkan versi standard dengan badan besi tahan karat, atau versi Sapphire yang lebih mahal kerana menggunakan badan titanium dan kaca nilam (Sapphire) yang lebih tahan lasak.
Harga untuk jam terbaru Garmin ini akan diumumkan pada majlis pelancarannya yang akan diadakan pada 6 Julai 2023. Untuk perbandingan, tahun lepas Fēnix 7 dilancar pada harga serendah RM3,270 manakala Epix dari RM4,670. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Fēnix 7 Pro dan Epix Pro.