Bulan Julai ini, pengguna di Malaysia dibanjiri dengan banyak pelancaran telefon pintar baharu. Salah satu darinya adalah Honor dan mereka akan membawa dua model di bawah siri Honor 90.
Dua model yang akan dilancarkan kelak adalah Honor 90 5G dan Honor 90 Lite. Seperti namanya, Honor 90 5G adalah peranti yang lebih baik dan berkuasa, berbanding Honor 90 Lite.
Baucar RM1 dan kredit eWallet RM150
Pelancaran siri Honor 90 di Malaysia akan berlangsung pada hari Khamis, 20 Julai 2023 pukul 8 malam. Orang ramai boleh menyaksikannya secara langsung di Facebook Honor Malaysia dan penonton berpeluang memenangi hadiah eksklusif daripada Honor.
Jika anda berminat untuk membeli Honor 90, anda boleh mendapatkan baucar bernilai RM1 sekarang dan berpeluang menang telefon Honor 90 tersebut. Baucar RM1 ini memberikan baucar diskaun RM1 dan cabutan bertuah untuk memenangi sebuah telefon Honor 90. Tetapi ada syarat perlu dipenuhi. Ia dibuka dari 7 sehingga 20 Julai 2023.
Mula-mula, pergi ke e-Store HiHonor Malaysia dan daftar masuk akaun anda. Kemudian, jawab soalan mudah berkenaan Honor 90 dan masukkan alamat emel anda untuk melanggan ‘newsletter’ Honor Malaysia. Mereka yang berdaftar akan menerima berita dan maklumat terkini mengenai produk Honor.
Selain itu, Honor juga menawarkan kredit eWallet sehingga RM150 untuk pembeli terawal siri Honor 90. Tawaran ini akan bermula pada 22 Julai 2023, pukul 10 pagi di kedai Honor terpilih. Anda boleh menyemak senarai kedai tersebut di sini.
Spesifikasi Honor 90
Telefon Honor 90 dikuasakan cip Snapdragon 7 Gen 1 Enhanced, memiliki prestasi dipertingkat dengan kelajuan 2.5GHz. Di China, ia ditawarkan dengan pilihan RAM 12GB atau 16GB, serta storan dalaman 256GB atau 512GB.
Skrinnya jenis OLED HD Penuh berukuran 6.7-inci, dengan kadar penyegaran 120Hz dan kecerahan setinggi 1,600nits. Ia dikatakan sangat melindungi mata kerana kadar PWM yang sangat tinggi iaitu 3,840Hz, tertinggi di peranti masa kini.
Kamera hadapannya juga memiliki resolusi sangat tinggi, dengan sensor 50MP F2.4. Di belakang, ia mengekalkan rekaan dua cincin besar seperti Honor 70, memuatkan kamera utama 200MP, kamera ultralebar 12MP dan kamera potret 2MP.
Tenaga disalurkan daripada bateri berkapasiti 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas Honor 66W, serta PD 40W. Tiada pengecasan wayarles.
Spesifikasi Honor 90 Lite
Model lebih ringan ini menggunakan cip Dimensity 6020 yang sama digunakan pada Vivo Y36 yang baru saja dilancarkan di Malaysia. Storan dalamannya seluas 256GB dan ia menjalankan sistem operasi MagicOS 7.1 berasaskan Android 13.
Honor 90 Lite hadir dengan panel paparan sebesar 6.7” daripada jenis LTPS LCD pada resolusi FHD+ dan kadar penyegaran 90Hz.
Telefon ini memperagakan konfigurasi trikamera belakang menggabungkan kamera utama 108MP, kamera ultralebar 5MP dan kamera makro 2MP. Swafoto pula menggunakan kamera 16MP yang terletak dalam lubang di di bahagian dahi paparan.
Tenaga disalurkan oleh bateri berkapasiti 4,500mAh dan menyokong kuasa pengecasan pantas 22.5W melalui USB-C.