Makin hari, segmen tablet mampu milik semakin dibanjiri oleh lebih banyak pengeluar peranti terkenal. Ini mungkin kerana ia adalah pilihan yang lebih berbaloi berbanding tablet berkelas flagship, yang harganya lebih kurang sama dengan sebuah laptop yang bagus.
Dengan adanya lambakan tablet dalam segmen mampu milik, ia sudah tentu akan menyengitkan lagi pasaran serta meningkatkan pilihan tersedia bagi pengguna yang sedang mencarinya. Honor tidak terkecuali dalam hal ini. Mereka ada menawarkan beberapa pilihan tablet mampu milik dengan spesifikasi yang bagus.
Pada Julai lalu, Honor telah mengemas kini senarai penawaran tablet mereka dengan memperkenalkan Honor Pad X9. Ia merupakan kemas kini daripada model Honor Pad X8 terdahulu dengan membawakan rekaan lebih moden dan bingkai yang nipis. Menariknya, ia lengkap dengan ciri yang jarang ada pada tablet lain
Honor Pad X9 akan dijual bermula 25 Ogos 2023 pada harga RM1,099. Sementara sudah cukup murah, Honor juga menyertakan sarung papan kekunci secara percuma dengan setiap pembelian. Dengan harga yang dikenakan, adakah Honor Pad X9 sebuah tablet terbaik dalam kelasnya? Untuk tahu lebih lanjut, teruskan baca reviu ini.
Spesifikasi Honor Pad X9
Sebelum pergi lebih lanjut, mari kita lihat helaian spesifikasi yang didukung Honor Pad X9.
- SoC: Snapdragon 685 4G
- RAM: 4GB
- Storan: 128GB, terima mikroSD sehingga 512GB
- Skrin: TFT LCD 11.5-inci 2K 120Hz
- Kamera belakang: 5MP autofokus
- Kamera depan: 5MP fokus tetap
- Bateri: 7,250mAh, pengecasan 22.5W USB-C
- Speaker: 6
- Sistem Operasi: MagicOS 7.1 berasaskan Android 13
- Sambungan: Bluetooth 5.1, WiFi 5, 4G LTE
Rekaan badan yang sangat nipis
Sekilas pandang, rupa paras luaran Honor Pad X9 terbaru ini nampak lebih moden dengan menampilkan badan bersisi rata jika nak dibandingkan dengan model sebelum ini. Panel belakangnya disaluti dengan kemasan aluminium aloi yang saya rasakan cukup berkualiti. Ia tidak meninggalkan sebarang kesan cap jari. Erti kata lain, menggunakannya tanpa sarung pun bukan satu masalah.
Di belakangnya juga anda akan dapati bonggol kamera yang tidak terlalu menonjol. Ia boleh dibaringkan atas permukaan rata tanpa bergerak. Secara keseluruhannya, binaan badan Honor Pad X9 terasa premium dan kukuh.
Apabila memegang tablet, ia memberikan pengalaman yang cukup selesa sungguhpun saiz keseluruhan tablet ini agak besar. Antara perkara yang menyumbang kepada keselesaannya adalah reka bentuk badannya yang sangat nipis dengan berukuran 6.9mm. Malah lebih nipis dari sebuah iPhone 14 Pro.
Walaupun nipis, berat tablet bukanlah yang teringan dengan berjisim 499g. Jadi kegunaan dalam jangka panjang mungkin tidak terlalu praktikal. Lagipun kegunaan tablet memang lebih sesuai digunakan disanggakan pada sesuatu, berbanding pegang dengan tangan.
Skrin besar dan ada 6 speaker
Seperti yang dikatakan tadi, keseluruhan saiz tablet ini agak besar. Bahagian paparannya berukuran 11.5-inci dan untuk makluman anda, ia merupakan tablet termurah dengan saiz sebesar ini. Skrinnya menggunakan panel jenis TFT LCD pada resolusi 2000 x 1200, yang secara teknikalnya 2K. Menariknya, ia ada kadar penyegaran 120Hz, satu ciri yang jarang ada pada tablet lain dalam kelasnya.
Mengambil kira ia menggunakan panel TFT, kualiti warna yang dihasilkan tablet ini cukup cantik dan terang. Tahap kecerahannya di bawah cahaya lampu masih memberikan kandungan boleh dilihat dengan jelas, tapi skrinnya hadapi masalah reflektif. Lebih-lebih lagi pada bahagian skrin yang gelap.
Selain itu, sudut pandangan tablet ini juga tidak berapa bagus. Melihat dari sudut sisi 45 darjah memang tidak menampakkan skrin dengan jelas. Ini tidak mengejutkan kerana ia sememangnya satu kelemahan yang terdapat pada panel TFT.
Meskipun begitu, skrinnya menyokong Widevine L1 membolehkan ia menstrim Netflix pada resolusi HD Penuh. Lebih menarik, bingkai hitamnya kini jauh lebih nipis berbanding model terdahulu, dan boleh dilihat menyamai Honor Pad 8. Menurut Honor, nisbah skrin ke badan Pad X9 adalah setinggi 86%.
Di samping itu, tablet ini mempunyai sistem bunyi yang bagus dengan dimuatkan sebanyak 6 speaker yang menembak kiri, kanan dan bawah tablet. Bunyi yang dihasilkan cukup lantang, tapi masih mengekalkan kejelasan dan bass yang sedap. Tapi perlu tahu ia tidak mempunyai port jek audio 3.5mm untuk sambungan audio berwayar.
Prestasi memuaskan dengan 4G
Beralih kepada prestasi, tablet ini dipacu oleh cip yang agak baru, iaitu Snapdragon 685. Ia bergerak pada kelajuan 2.8Ghz. Sepanjang menggunakan tablet ini, tidak sekali pun saya merasakan sebarang kelengahan ketika membuka aplikasi atau melayari laman web. Malahan, ia turut boleh menjalankan game dengan baik.
Saya cuba main PUBG Mobile dan game boleh bergerak dengan agak lancar tanpa tersekat-sekat. Tambahan pula, membuka beberapa aplikasi serentak boleh dilakukan dengan baik, menjadikannya ideal untuk kegunaan produktiviti.
Bersama-sama cip tersebut, ia digandingkan dengan RAM 4GB berserta storan 128GB. Jika RAM tidak mencukupi, ia boleh diperluaskan lagi sehingga 3GB dengan adanya fungsi RAM maya. Sementara storan yang tersedia cukup besar, terdapat juga slot kad mikroSD untuk anda manfaat.
Dalam pada itu, tablet ini turut menyokong rangkaian 4G LTE dan slot kad SIM boleh didapati di dulang kad microSD. Ini tentunya dapat memudahkan anda mendapat sambungan di mana sahaja anda berada, dan kurangkan kebergantungan terhadap WiFi.
Bahagian perisiannya ditunjangi oleh sistem operasi MagicOS 7.1 berasaskan Android 13. Menariknya, ia boleh melancarkan dua aplikasi serentak secara bersebelahan, dengan meleret dari atas aplikasi ke sisi. Ia juga boleh menjalankan sehingga tiga aplikasi serentak dengan dua daripadanya tetingkap kecil yang terapung. Jadi, mengambil nota, melayar laman web, dan tonton video di YouTube serentak bukan satu masalah.
Tambahan pula, ia menyokong ciri Honor Connect membolehkan anda untuk mengakses peranti lain Honor secara terus menerusi tablet. Macam contoh anda boleh memindahkan gambar atau fail dengan hanya seret dan lepas.
Tiada sokongan stylus
Mungkin disebabkan ia masih dalam kategori tablet mampu milik, Honor Pad X9 ini tidak peroleh sokongan pen stylus khas. Tablet ini hanya boleh digunakan bersama pen stylus biasa, bermaksud pen dengan muncung yang meniru tekstur jari. Jadi hanya boleh digunakan untuk meleret skrin sahaja.
Ia tidak menyokong pen stylus yang mempunyai tip khas, yang boleh mengenal pasti tahap tekanan berbeza untuk melukis atau mencatat nota. Jika anda mencari tablet untuk melukis, anda mungkin perlu toleh kepada pilihan lain.
Kamera sesuai untuk panggilan video
Sistem kamera Honor Pad X9 mengguna pakai kamera hadapan 5MP dan kamera belakang 5MP. Hasil yang diberikan baik sahaja, tiada faktor yang terlalu wow mengenainya. Kedudukan kamera hadapan diletakkan betul-betul di tengah skrin secara melintang, yang menjadikannya amat sesuai untuk kegunaan di aplikasi Google Meet atau Teams.
Kamera belakangnya boleh digunakan untuk mengimbas dokumen, dan ada juga mod Potret. Tetapi jangkakan hasilnya tidak setaraf dengan mod potret di telefon pintar. Selain itu, kamera hadapannya juga menyokong facial unlock untuk membuka tablet, yang mana cukup tepat dan pantas setakat saya uji.
Bateri tahan sehingga 13 jam
Jangka hayat bateri merupakan satu perkara penting untuk sesebuah tablet, dan Honor Pad X9 buktikan ia mempunyai pek kuasa yang cukup bagus. Menggunakan bateri 7250mAh, saya dapati ia mampu bertahan hingga ke akhir hari tanpa isu, dengan tugas-tugas ringan seperti menonton YouTube atau melayari media sosial. Ini sama seperti apa yang didakwa Honor, dengan ia mampu bertahan sehingga 13 jam.
Jadi, anda boleh menjalankan tugas pada tablet ini tanpa risau kehabisan jus. Jika perlu mengecas, ia sokong pengecasan 22.5W melalui USB-C, yang mana tidaklah terlalu laju tetapi masih dianggap cukup bagus. Kepala pengecas disertakan sekali di dalam kotak.
Kesimpulan
Dalam kategori mampu milik, Honor Pad X9 sememangnya berbaloi dan paling menonjol dalam kelasnya kerana ciri dan spesifikasi yang didukungnya. Ia mampu memenuhi keperluan yang anda perlukan pada sebuah tablet.
Walaupun terdapat beberapa kekurangan pada skrinnya macam sudut pandangan teruk dan reflektif, ia masih memberikan pengalaman cukup baik. Selain itu, ketiadaan sokongan pen stylus juga agak mengecewakan, tetapi saya tidak boleh merungut banyak pada julat harga ini.
Sebagai perbandingan, tablet lain yang berada dalam lingkungan harga ini adalah Oppo Pad Air. Ia ada storan 64GB, sokongan pen stylus, skrin IPS tapi tiada 4G dengan harga RM998. Turut termasuk dalam kelas ini adalah Realme Pad yang berharga RM899 untuk storan 64GB. Ia ada 4G, kamera lebih bagus 8MP dan bateri 7,100mAh. Tapi skrinnya hanya 60Hz.
Pada harga RM1,099, anda sememangnya tidak akan kecewa dengan ciri yang ditawarkan pada tablet ini. Jika anda tak perlukan sokongan stylus, dan mahukan sambungan 4G, skrin besar 120Hz serta jangka hayat bateri yang bagus, Honor Pad X9 merupakan pilihan terbaik anda boleh dapat. Jika anda berminat, anda boleh dapatkannya dengan layari stor atas talian Honor atau di Shopee dan Lazada.