Sistem operasi terbaru, Nothing OS 2.0 akhirnya sedia dipasang ke dalam telefon Nothing Phone (1). Ia masih berasaskan Android 13 seperti Nothing OS 1.5, tetapi dengan antaramuka lebih segar dan fungsi tambahan.
Telefon pintar terbaru Nothing iaitu Phone (2), telah dilancar dan datang siap dengan Nothing OS 2.0. Ia juga baru menerima kemaskini Nothing OS 2.0.2 yang memperbaiki prestasi kamera di bahagian HDR, rendah cahaya dan ketajaman wajah.
Dengan kemaskini OS ini, Phone (1) akan dapat menikmati pelbagai fungsi yang telah sedia ada di Phone (2). Di muka utama, susunan grid dikemaskini dengan sokongan menyembunyikan label ikon. Folder juga boleh diubahsuai rupa dan kulit album.
Untuk Widget, Nothing OS 2.0 membawakan rekaan baru untuk jam , cuaca dan Quick Look. Widget juga kini boleh digunakan pada kunci skrin serta ‘Always-On-Display’ (AOD).
Lebih baik lagi, fungsi lampu LED Glyph telah ditambah. Antaranya untuk notifikasi, ia boleh hidup berterusan supaya pengguna tidak terlepas maklumat penting yang diperlukan. Selain itu, pengguna Phone (1) boleh menggunakan sebagai penerang persekitaran melalui Glyph Torch. Berbanding LED kamera sahaja, seluruh lampu Glyph boleh dihidupkan untuk pancaran cahaya lebih terang.
Nothing turut menambah fungsi baharu aplikasi, antaranya Cloned yang membenarkan pengguna menggunakan berbilang akaun ke dalam aplikasi yang sama tanpa perlu mendaftar keluar. Terdapat juga App Locker, fungsi tambahan untuk mengunci aplikasi tertentu.
Kemaskini Nothing OS 2.0 akan dilepaskan secara berperingkat kepada pengguna Phone (1). Ia juga boleh disemak secara manual dengan pergi ke Settings > System > System Update.
[Sumber: Nothing]