GoPro adalah jenama yang telah membuka satu cabang baharu dalam keluarga kamera. Daripada model yan gunakan filem hinggalah yang gunakan storan digital, GoPro Hero semakin memperkukuh cengkaman mereka dalam segmen kamera tahan lasak untuk gantikan kamera telefon anda dalam persekitaran ekstrim.
Untuk 2023, kita ada GoPro Hero 12 Black dan apa pemabaharuan yang mereka bawakan pada model kali ini? Berikut adalah 6 daripadanya.
01. Kemasan luar baharu
Secara asasnya rekaan kamera aksi GoPro tak banyak berubah sejak Hero 5 Black lagi sampailah ke Hero 12 Black ini. Perubahan paling ketara adalah corak-corak berbintik macam bintang di bahagian badannya.
Kalau anda nampak kemasan macam ini di luar sana, confirm ia adalah Hero 12 Black sebab ini pertama kali GoPro lakukannya. Bahagian tepi ada cap “12 Black” di lokasi biasa.
02. Lubang skru 1/4” untuk tripod
Saya rasa ciri ini perlu dimasukkan sejak awal pengenalan mounting fingers pada Hero 8 dulu. Bersama-sama dengan mounting fingers, terdapat juga lubang skru 1/4” yang merupakan saiz standard skru tripod kamera biasa.
Benda ini, walaupun naik taraf minor, saya rasakan yang ia sangat berguna. Jadi sekarang kita ada lebih banyak pilihan cara untuk mount kamera. Sebelum ini, kalau nak gunakan tripod kamera, kita terpaksa beli adapter khas.
03. Boleh terima audio Bluetooth
Pada saya ini adalah naik taraf paling signifikan pada siri GoPro Hero. Hero 12 Black boleh terima audio daripada fon putik Bluetooth anda. Contohnya anda ada Airpods, bolehlah sambungkan kepada GoPro ini.
Sejak Hero 5, kita tak lagi boleh gunakan adapter pihak ketiga untuk sambungkan mikrofon luaran. Kalau nak juga, kena beli sama ada adapter khas ataupun Media Mod yang ada jek 3.5mm.
Walau bagaimanapun, saya tak rasakan kualiti audio daripada sumber Bluetooth akan sebaik bila gunakan jek audio 3.5mm. Sebab, sambungan Bluetooth mempunyai keluasan jalur yang terhad, jadi bit rate yang boleh disalurkan juga turut terkesan.
04. Pengenalan GP-LOG dengan LUT
Naik taraf ini saya rasakan lebih kepada pencipta kandungan yang lebih professional. Apabila video dirakam dalam format Log, lebih banyak ruang penyuntingan kreatif diberikan kepada pencipta kandungan. Kalau fotografi, ia samalah dengan bila anda tangkap gambar dalam format RAW.
Apabila video yang direkod dalam GP-Log dipindah ke aplikasi penyuntingan, LUT boleh digunakan untuk menaikkan warna mengikut objektif si penyunting. LUT sangat memudahkan proses colour grading kerana ia berfungsi berasaskan formula matematik yang jadikan hasilnya konsisten sepanjang masa berbanding bergantung kepada mata penyunting semata-mata.
05. Hypersmooth 6.0
Ciri penstabil imej digital HyperSmooth juga katanya ditambah baik. Ia kini menganalisis 4x lebih data berbanding HyperSmooth 5.0. Cumanya berdasarkan helaian spesifikasi, Horizon Lock 360 darjah masih kekal sama dan Horizon Levelling 27 darjah juga masih sama.
Saya akan kongsikan dengan anda lebih lanjut kalau saya boleh nampak perbezaan antara HyperSmooth 5.0 dengan HyperSmooth 6.0. Versi 5.0 pun dah cukup baik pada pendapat saya.
06. Max Lens Mod 2.0
Max Lens Mod juga ditambah baik kini versi 2.0. Ia dilapor lebih kompak dan lebih ringan. Malahan katanya ia kini 2 kali ganda lebih tahan calar. Ketahanan sebegini memang diperlukan Max Lens Mod kerana lensanya yang terbonjol keluar serta tiada perumah khas untuk melindunginya.
Selain binaan dan kualiti yang ditambah baik, pengoperasiannya masih sama. Ia boleh diguna pakai pada GoPro Hero 9, 10, dan 11 sekiranya anda ada mana-mana model terdahulu.
Max Lens Mod 2.0 pada Hero 12 Black akan unlock fungsi khas pada kamera ini. Anda boleh rekod video 4K60 ataupun 1080p120 dalam sudut pandang paling luas. Sudut padang yang boleh dicapai adalah 177 darjah, lebih luas berbanding mana-mana kamera aksi di luar sana dan ia lebih luas berbanding Max Lens Mod 1.0 155 darjah.
Kesimpulan
Peminat di Malaysia boleh mendapatkan GoPro Hero 12 Black dalam beberapa konfigurasi daripada pengedar sah GoPro di seluruh Malaysia, serta Stor Rasmi GoPro di Shopee. Harga rasminya adalah seperti berikut:
- GoPro Hero 12 Black – RM1,999
- GoPro Hero 12 Black Creator Edition – RM2,799
Pengguna Hero 8 dan kebawah yang perlu naik taraf, saya sangat sarankan naik taraf ke model ini kerana ia ada segala-gala yang Hero 9, 10, 11 ada tapi hayat bateri lebih panjang dan segala macam aksesori mounting boleh diguna pakai pada kamera baharu ini jangan risau.
Pengguna Hero 9, 10, 11 pula kalau ada bajet lebih bolehlah berkira-kira naik taraf kerana pada saya model-model itu sudah cukup baik kecuali Hero 11 yang ada sensor lebih besar dan keupayaan rakaman dalam nisbah 8:7.