Pembaharuan terbesar di iPhone 15 yang dinanti ramai peminat adalah penggunaan port USB-C. Walaupun semua model iPhone 15 kini menggunakan USB-C, ada sedikit perbezaan antara siri iPhone 15 dan iPhone 15 Pro.
Bagi iPhone 15 dan iPhone 15 Plus, ia menggunakan perkakas USB 2 pada sambungan USB-C. Ini membenarkan penghantaran data sehingga 480Mbps sahaja. Tetapi di iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max, USB-C yang digunakan adalah di peringkat USB 3 yang berkemampuan menghantar data sehingga 10Gbps.
Penghantaran data yang tinggi bukan sahaja penting untuk mengalihkan fail, tetapi ia membenarkan penstriman pada format dan resolusi lebih tinggi. Dengan USB 3, iPhone 15 Pro mampu menyalurkan paparan 4K sehingga 60FPS, berbanding 4K 30FPS di USB 2.
Bagaimanapun, Apple menyatakan kabel USB 3 perlu dibeli berasingan. Bermakna, prestasi penuh USB 3 pada iPhone 15 Pro tidak boleh dirasai terus di dalam kotak. Sebaliknya perlu membeli kabel USB 3 yang lain.
Di laman web Apple Malaysia, kabel yang menyokong USB 3 adalah kabel Thunderbolt 4 Pro. Apple menawarkan tiga saiz pada harga berikut:
- Kabel Thunderbolt 4 Pro USB-C 1m – RM399
- Kabel Thunderbolt 4 Pro USB-C 1.8m – RM649
- Kabel Thunderbolt 4 Pro USB-C 3m – RM799
Sememangnya sokongan penghantaran data pantas USB 3 sehingga 10Gbps agak mahal, berbanding USB 2 yang terhad dengan 480Mbps. Tetapi penggunaan sepantas ini sangat jarang diperlukan dalam situasi biasa. Ia mungkin penting untuk mereka yang cuba menghasilkan filem atau video berkualiti tinggi menggunakan iPhone 15 Pro.
Jika anda benar-benar perlukannya bersama iPhone 15 Pro, maka bolehlah dapatkan kabel Thunderbolt 4 di Apple Malaysia atau pengedar sahnya.