Anda mungkin kurang biasa atau tidak pernah dengar jenama Technics. Ia merupakan sebuah jenama fon telinga mewah di bawah Panasonic. Sungguhpun begitu, Technics ada menawarkan barisan fon telinga yang bagus, tetapi sudah tentu dengan harga premium.
Penawaran terbaru mereka adalah Technics EAH-AZ80. Berada dalam kategori premium, harganya di Malaysia adalah RM1,599. Adakah Technics EAH-AZ80 ini berbaloi pada harga yang dikenakan? Dalam artikel ini saya akan berkongsikan pendapat saya mengenainya setelah seminggu menggunakannya.
Rekaan selesa di telinga
Dari segi rekaan, fon telinga Technics AZ80 hadir dalam bentuk bulat tanpa bertangkai. Terdapat label Technics pada permukaan bulat tersebut yang mana juga berfungsi sebagai sensor sentuh untuk kawalan. Saiz fon putik adalah ideal, yang mana tidaklah terlalu besar untuk muat dalam kebanyakan telinga pemakai.
Sebaik sahaja menyarungkan fon putik, ia terletak dengan selesa dalam telinga dan berikan padanan sempurna pada saya. Fon putik malah tidak terasa mudah untuk terkeluar dari telinga walaupun ketika saya menggoncangkan kepala atau memakainya ketika jogging.
Jadi pendek kata, AZ80 mampu berikan kedapan yang cukup sempurna dan selesa, sekurang-kurangnya untuk saya. Tip telinga didatangkan dalam beberapa saiz dan saiz M berikan padanan yang paling sesuai pada saya. Terdapat lagi 6 pilihan saiz tip yang boleh dipilih iaitu XS (ada 2 saiz) , S (ada 2 saiz), L dan XL yang tersedia di dalam kotak.
Untuk bekas pengecas, ia tampil dengan rekaan kompak yang minimalis dengan menggunakan kemasan aluminium berus berwarna hitam. Selain hitam, AZ80 ini juga tersedia dalam warna perak. Keseluruhan dimensi bekas pengecasnya agak kompak serta ringan yang mana memudahkan saya untuk membawanya dalam poket.
Dibelakang bekas terletaknya port USB-C untuk mengecas bekas. Selain itu, bekas pengecas ini juga dilengkapi sokongan pengecasan wayarles Qi. Jadi anda boleh gunakan apa-apa pengecas wayarless yang terdapat din pasaran, malah mengecas boleh dilakukan menggunakan telefon yang sokong pengecasan terbalik seperti Samsung Galaxy S23.
Bukan tertumpu pada bass sahaja
Beralih kepada perkara terpenting bagi sesebuah fon telinga, iaitu kualiti audio. Untuk penjelasan, saya bukanlah seorang audiofilia mahupun pentaksub audio. Tetapi pada telinga saya, bunyi yang diberikan memang ketara jauh lebih baik daripada fon putik OnePlus Nord Buds 2 yang jauh lebih murah saya guna sebelum ini.
Kualiti audionya ada kejelasan yang sangat baik bolehkan saya dengar bunyi yang tersembunyi yang saya tidak dengar sebelum ini. Selain itu, kualiti vokal kedengaran sangat jelas dan ia ada pementasan bunyi yang cukup luas. Apabila mendengar lagu, saya boleh kenalpasti arah bunyi instrumen dengan setiap bunyi instrumen diasingkan dengan baik.
Di samping itu, bahagian bass atau low end yang dihasilkan cukup ketat dan berdentum walaupun pada tetapan default. Terasa bergegar di telinga lagi-lagi bagi lagu yang memiliki bassline berat. Untuk nota tinggi ia masih dapat kekalkan perincian tanpa mengalami sebarang herotan walaupun audio berada pada kelantangan tinggi.
Bagaimanapun, audio boleh diubah suai mengikut kesukaan dari preset yang tersedia dalam aplikasi Technics Audio Connect. Atau terdapat juga preset yang boleh ditetap secara manual untuk bunyi lebih disesuaikan jika anda mahu.
Sebagai fon telinga premium, AZ80 ini pastinya memiliki penyaring hingar aktif (ANC). Ia boleh dihidup atau dimatikan menerusi aplikasi Technics dan tahap ANC juga boleh dilaras. Saya dapati ANC mampu pekakkan telinga dari kebanyakan bunyi luar tetapi bukan untuk bunyi yang terlalu kuat seperti bunyi tren LRT, walaupun ANC ditetapkan pada tahap maksimum.
Terdapat juga mod ambien yang mana menggunakan mikrofon untuk mengutip bunyi sekeliling. Tetapi bunyi hingar yang melaluinya agak perlahan dan kedengaran tidak natural, lebih-lebih lagi apabila bertukar pada mod ‘Attention’. Jelas bunyi terasa dipertingkatkan dengan kasar.
Multipoint dan fungsi kesan fon putik yang berguna
Menyambungkan fon telinga pada aplikasi Technics Audio Connect membenarkan AZ80 mengakses sejumlah ciri lain. Dari aplikasi juga anda boleh melihat peratusan bateri, menetapkan kawalan sentuh fon putik dan sepertimana yang dikatakan tadi boleh mengubah EQ audio atau mengubah tahap ANC.
Satu perkara menarik adalah ia ada sokongan multipoint berikan fon putik mampu dipasangkan kepada tiga peranti serentak. Ciri ini amat memudahkan saya yang sering bertukar sambungan antara laptop dan telefon. Tak perlu putuskan sambungan. Fon putik akan kesan secara automatik input media dari peranti yang dimainkan.
Untuk sambungkan fon putik pada peranti kedua, ia boleh dilakukan dengan memicit kedua-dua belah fon putik yang akan membawa ke mod ‘pairing’.
Seperkara lagi ciri menarik, AZ80 ini ada ciri untuk mengesan fon putik sama ada dengan memainkan bunyi pada fon putik atau boleh dikesan menerusi peta. Tetapi bunyi yang dimainkan agak perlahan, jadi mungkin sedikit sukar untuk mencarinya jika terjatuh di ruang sempit.
AZ80 ini juga boleh mengesan apabila pemakai mengeluarkan fon putik dengan menghentikan lagu yang mana memudahkan apabila ada orang bertanyakan sesuatu.
Sambungan yang disokong adalah Bluetooth 5.3 dan ia tersedia bersama codec AAC dan LDAC untuk menstrim lagu pada kualiti tinggi. Tetapi malangnya tidak menyokong codec AptX yang lebih baik. Namun pada saya AAC dan LDAC sudah cukup memadai. Anda juga perlu tahu LDAC hanya boleh digunakan bersama sambungan pada 2 peranti serentak sahaja, manakala tiga peranti akan hadkan pada penggunaan codec SBC sahaja.
Hayat bateri bagus
Mengenai hayat bateri fon putik AZ80, seperti yang didakwa Technics, saya mendapati masa penggunaan lebih kurang 7 jam bersama ANC dihidupkan. Secara ringkasnya, hayat bateri yang ada cukup bagus. Namun saya dapati fon putik sebelah kanan lebih cepat habis bateri berbanding kiri.
Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu masalah besar kerana saya sememangnya akan mengecas semula sebelum fon putik kehabisan bateri. Bersama bekas pengecas, saya boleh mengisi tenaga pada fon putik sehingga 3 kali sebelum ia betul-betul kering.
Mengecas semula bekas pula tidak mengambil masa lama, hanya perlukan sekitar sejam setengah untuk penuh. Kalau anda terlupa mengecas sekalipun, pengecasan dalam masa beberapa minit saya dapati boleh bertahan sehingga satu jam.
Suara saya kedengaran jelas
Apabila membuat panggilan menggunakan fon putik AZ80 ini, saya tidak hadapi isu pemanggil tidak mendengar suara dengan jelas. Agak mengagumkan untuk fon telinga bersaiz ini kerana saya sering hadapi masalah suara tidak kedengaran jelas menggunakan OnePlus Nords Buds 2.
Menurut Technics, AZ80 dimuatkan sebanyak 8 mikrofon dengan teknologi JustMyVoice. Di dalam aplikasi juga, tersedia ciri untuk menguji suara untuk bolehkan pengguna mengetahui bagaimana suara terdengar ketika panggilan. Apabila saya mengujinya, teknologi JustMyVoice ini ketara cuba untuk meningkatkan suara saya daripada bunyi latar belakang, mengakibatkan nada suara berbunyi seperti robot. Tetapi ia sememangnya membantu untuk jadikan suara kedengaran lebih jelas.
Kesimpulan
Technics AZ80 adalah fon telinga yang menyerlahkan ‘premium’ pada segala aspek yang ia miliki. Ini termasuk kualiti audio cemerlang, rekaan selesa, kedapan ANC baik dan padat dengan ciri berguna. Tetapi pada tanda harga premium RM1,599, terdapat banyak lagi jenama lain yang mampu menawarkan ciri yang serupa pada harga lebih rendah.
Sebagai contoh Sony WF-1000XM5 yang berharga RM1,399 ataupun AirPods Pro gen-2 yang berharga RM1,099. Kedua-duanya tawarkan bunyi yang premium, dan terkenal dengan tahap ANC-nya yang cemerlang. Walau bagaimanapun, satu ciri yang tiada pada kedua-dua fon putik tetapi dilengkapi Technics AZ80 ialah ciri sambungan multipoint sehingga 3 peranti.
Pada harganya, saya rasakan Technics AZ80 masih sebuah fon telinga wayarles yang berbaloi menawarkan keseluruhan pakej yang baik, tetapi hanya jika harga bukan satu masalah untuk anda.