Samsung yang mendominasi pasaran telefon boleh lipat sejak kebelakangan ini perlu buka mata kerana pesaing-pesaingnya sudah mula merapatkan jurang. Salah seorang daripada pesaing itu ialah Oppo menerusi Oppo Find N3 Flip. Oppo Find N3 Flip adalah iterasi kedua telefon flip Oppo Find N2 Flip yang mereka lancarkan dalam tahun 2022 lalu.
Daripada segi fizikaliti, Oppo Find N3 Flip mengekalkan sebahagian besar rupa paras Find N2 Flip. Dimensinya terasa sama bila berada di dalam tangan sama ada dalam keadaan tertutup ataupun terbuka. Skrin sekundernya juga didapati sama besar dan skrin bahagian dalam juga mempunyai ketebalan bingkai yang sama.
Yang berbeza adalah modul kamera luar yang kini ada tiga buah kamera dan satu lagi adalah pada kehadiran butang slider seperti OnePlus. Sekiranya Find N3 Flip dikenakan casing, itu sajalah cara untuk membezakannya dengan Find N2 Flip.
Oppo FInd N3 Flip ditawarkan dalam tiga warna iaitu Cream Gold, Misty Pink, dan Sleek Black.
Oppo memaklumkan yang mereka membangunkan Flexion Hinge yang ditambah baik. Masih mengekalkan ciri sifar renggang apabila dilipat, ia kini 25% lebih kuat kerana diperbuat daripada materi stainless steel bergred aeroangkasa.
Kalau dulu ia diuji untuk buka dan lipat sebanyak 400,000 kali, engsel baharu ini diuji 600,000 dan katanya boleh tahan 16 tahun lamanya dengan beranggapan anda buka dan lipat sebanyak 100 kali sehari.
Seperti yang diceritakan tadi, skrin luar Oppo Find N3 Flip didapati sama seperti sebelumnya. Saiznya adalah sebesar 3.26” (720 x 382) menggunakan panel AMOLED. Panel AMOLED juga digunakakn untuk skrin utama tapi sedikit lebih baik. Ia ada kadar segar semula 120Hz, sebesar 6.8” pada resolusi 2520 x 1080.
Skrin yang cerah dan jitu warna itu dipadankan pula dengan speaker stereo yang pada saya, okay untuk speaker kerdil tapi masih tak boleh saingi speaker ROG Phone yang tahap bass lebih padu.
Skrin sekunder boleh menyalurkan info-info seperti notifikasi daripada aplikasi tanpa perlu anda buka lipatan telefon. Hanya buka untuk melihat notifikasi yang penting sahaja.
Sejurus keluar kotak, Oppo Find N3 menjalankan sistem operasi ColorOS 13.2 berasaskan Android 13. Daripada penggunaan awal, tiada apa yang boleh diadu. Semuanya berjalan lancar, sama seperti Find N2 Flip yang dulu. Untuk ulasan lebih mendalam tentang penggunaan, reviu penuh akan diutuskan di kemudian hari.
Kelancaran ini mungkin disumbang oleh penggunaan cip baharu. Untuk model ini, Oppo mengenakan MediaTek Dimensity 9200. Ini adalah cip flagship daripada Mediatek yang dibangunkan untuk bersaing dengan siri Snapdragon 8. Ia bergandingan dengan RAM 12GB dan storan 512GB.
Mari bercerita lebih lanjut tentang komponen pengimejan Oppo Find N3 Flip. Ia kini ada tiga buah kamera yang berspesifikasi tinggi.
Kamera utamanya menggunakan sensor 50MP IMX890 berjarak fokal 24mm F1.8. Kemudian ia juga ada kamera ultralebar 48MP IMX581 14mm F2.2 diikuti kamera telefoto 32MP IMX709 47mm F2.0. Kamera keempat letaknya di dalam dengan sensor 32MP IMX709 21mm F2.4 untuk anda ambil selfie.
Anda boleh manfaatkan ciri lipat telefon ini untuk mengambil gambar. Tak perlu anda gunakan tripod untuk pegang telefon sebaliknya lipat dalam bentuk L dan gunakan separuh badannya sebagai penyangga di atas permukaan untuk ambil gambar.
Membekalkan tenaga kepada telefon ini adalah sistem bateri berkapasiti 4,300mAh dengan sistem pengecasan 44W SuperVOOC. Sebagai perbandingan, Samsung Galaxy Z Flip5 mempunyai kapasiti bateri 3,700mAh dengan pengecasan maksimum pada paras 25W.
Spesifikasi atas kertas menunjukkan yang Oppo Find N3 Flip sekurang-kurangnya setaraf kalau tak lebih baik daripada Samsung Galaxy Z Flip5. Walau bagaimanpun, kenapa siri Find N Flip tidak segah siri Galaxy Z Flip? Besar kemungkinan adalah ketiadaan ciri kekalisan air. Mana taknya, telefon berharga RM5,000 tidak rintang, siapa yang mahu taruh keyakinan terhadapnya, bukan?
Harga jualan Oppo Find N3 Flip di Malaysia
Oppo Find N3 Flip ditawarkan pada harga RM4,399. Tempahan awal untuk memilikinya dibuka sehingga 27 Oktober 2023 dengan beberapa penawaran menarik untuk penempah awal. Antaranya adalah jaminan skrin retak bernilai RM699, rebat tempahan awal RM200 dan peluang untuk beli jaminan tambahan bernilai RM499 pada harga RM249 dan casing bernilai RM149 pada harga RM49 sahaja.
Sebagai perbandingan, harga Z Flip5 adalah seperti berikut:
- RAM 8GB + Storan 256GB – RM3,999
- RAM 8GB + storan 512GB – RM4,499
Buat yang berminat untuk mendapatkan siri Oppo Find N3, anda boleh lakukannya menerusi gedung dalam talian Oppo Malaysia.