Cara untuk semak liputan amat penting jika anda mahu mengubah ke telco yang lain. Takut lagi teruk pula lepas dah tukar. Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan, dan salah satunya adalah menggunakan OpenSignal. Namun, ramai yang mempersoalkan ketepatan OpenSignal kerana mungkin mereka mendapat hasil yang berbeza daripada dunia sebenar.
Jadi adakah OpenSignal ini langsung tidak tepat? Sebenarnya data yang diperoleh OpenSignal datang dari pengguna juga. Ia dilakukan berdasarkan metrics OpenSignal, yang mana mereka mengumpul data dari berbilion individu dan di 100 juta peranti di seluruh dunia yang direkod pada setiap hari dan setiap jam.
Menurut OpenSignal juga, data tersebut diambil dari pengguna sebenar telefon pintar dan berasaskan pengalaman sebenar pengguna, yang kemudiannya dilaporkan berdasarkan di mana lokasi pengguna termasuklah indoor atau outdoor, ataupun di pedalaman. Jadi ia bukan simulasi atau anggaran semata-mata.
Di samping itu, data bukan diambil setakat berdasarkan ujian kelajuan yang dilakukan oleh pengguna, tetapi sebahagian besarnya dikumpul dari ujian automatik yang berjalan di latar belakang tanpa interaksi pengguna. Ini merupakan kaedah yang lebih dekat dengan pengalaman di dunia sebenar kerana ujian dilakukan secara rawak dalam suatu masa.
Dalam masa sama, mereka juga mengukur pengalaman rangkaian hujung ke hujung dari peranti pengguna melalui pelbagai halangan dan rintangan hingga sampai ke Rangkaian Penyampaian Kandungan (CDN) seperti Google, Akamai dan Amazon.
Untuk hasil yang lebih tepat, OpenSignal mengguna pakai beberapa kaedah untuk tentukan liputan sambungan internet mengikut kategori. Sebagai contoh, ketersediaan capaian diukur sehingga mana pengguna mendapat capaian internet berdasarkan lokasi yang mereka selalu pergi.
Sementara itu, pengalaman menstrim video diukur dari peranti pengguna menerusi kualiti gambar dan masa loading video menggunakan sesuatu rangkaian pengendali.
Tambahan pula, pengalaman liputan 4G dan 5G pula diukur mengikut bagaimana pengguna mengalami rangkaian 4G dan 5G di sesebuah lokasi. OpenSignal juga mengukur kelajuan muat naik dan muat turun, yang mana diambil berdasarkan purata kelajuan ujian yang pengguna dapat menggunakan sesebuah telco itu.
Oleh itu, data OpenSignal peroleh telah diteliti melalui proses yang datang dari pengguna juga. Juga banyak pendekatan yang diambil untuk mereka menentukan liputan dan capaian internet di sesebuah tempat, dan data bukannya diambil secara sembarangan.
Walau bagaimanapun, jika anda mendapat hasil yang berbeza dari OpenSignal, anda boleh guna cara lain untuk semak liputan, seperti semak di laman web Jendela oleh SKMM. Tapi kalau nak lagi pasti, anda beli je sim kad lepas tu uji sendiri dekat kawasan anda okay.