Chery Malaysia mengumumkan kereta elektrik pertama, Omoda E5 telah tiba di Pelabuhan Klang. Chery juga merancang untuk mengadakan pratonton bersama media untuk merasai sendiri kemampuan kereta elektrik baru Chery.
Berdasarkan kenyataan media yang diberikan, kemasukan Chery Omoda E5 bagi merebut peluang dalam pertumbuhan EV di pasaran rantau Asia Tenggara, khususnya Malaysia. Ini seiring dengan sasaran nasional bagi kenderaan elektrik merangkumi 15% daripada jumlah volum industri (TIV) menjelang 2030.
Lengkap dengan 16 ADAS, jarak pemanduan sehingga 450km
Chery Omoda E5 merupakan varian kereta elektrik penuh jimat tenaga dengan penggunaan tenaga ultra-rendah 15kWj bagi setiap 100km. Jarak pemanduan maksimumnya dikatakan sehingga 450km bagi setiap pengecasan penuh. Dengan teknologi pengecasan pantas, Omoda E5 hanya memerlukan masa sekitar 35 minit untuk mengecas bateri daripada 20% hingga 80%.
Untuk spesifikasi Malaysia, Omoda E5 ini akan dilengkapi dengan 16 fungsi Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) seperti seperti pemantauan titik buta, amaran terbalik, dan brek kecemasan automatik yang mampu mengenali pejalan kaki dan penunggang basikal. Ia juga akan ditawarkan dengan tujuh pilihan warna badan dengan tiga pilihan warna dalaman.
Reka bentuk luaran Omoda E5 ini kalau hendak dibandingkan dengan Omoda 5 petrol, bezanya cuma terletak pada bahagian jeriji hadapan. Untuk varian EV diberikan sentuhan grill bertutup, ini kerana kereta tersebut tidak memerlukan bantuan udara untuk penyejukan enjin.
Walau bagaimanapun setakat ini masih tidak dapat dipastikan tarikh pelancaran sebenarnya. Jadi pada yang berminat, kenalah bersabar sikit ya.