Peminat permainan video di telefon pintar hari ini menerima khabar gembira apabila RedMagic, pengeluar peranti gaming telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka, siri RedMagic 9 Pro. Pelancaran ini untuk pasaran China dan menampilkan dua model yang agak serupa.
RedMagic 9 Pro dan RedMagic 9 Pro+ berkongsi kuasa dan prestasi tinggi yang serupa, dengan sedikit perbezaan pada saiz RAM, bateri dan kuasa mengecas. Lebih menarik, RedMagic menampilkan satu teknologi antik yang sudah sekian lama pupus iaitu kamera belakang tanpa bonjol.
Harga dan Ketersediaan RedMagic 9 Pro
Walaupun pelancaran ini untuk pasaran China, RedMagic turut menyatakan tarikh telefon terbaru ini akan dilancar dan dijual di peringkat antarabangsa. Untuk China, tempahan awal telah dibuka mulai 23 November dan jualannya akan bermula pada 28 November 2023.
Berikut adalah varian dan harganya di China:
RedMagic 9 Pro
- Black (RAM 8GB + Storan 256GB) – CNY4,399 (~RM2,880)
- Black (RAM 12GB + Storan 256GB) – CNY4,799 (~RM3,142)
- Transparent Silver (RAM 12GB + Storan 256GB) – CNY4,999 (~RM3,273)
- Transparent Black (RAM 12GB + Storan 256GB) – CNY4,999 (~RM3,273)
- Black (RAM 12GB + Storan 512GB) – CNY5,199 (~RM3,404)
- Transparent Silver (RAM 12GB + Storan 512GB) – CNY5,399 (~RM3,535)
- Transparent Black (RAM 12GB + Storan 512GB) – CNY5,399 (~RM3,535)
RedMagic 9 Pro+
- Black (RAM 16GB + Storan 256GB) – CNY5,499 (~RM3,600)
- Transparent Silver (RAM 16GB + Storan 256GB) – CNY5,699 (~RM3,731)
- Transparent Black (RAM 16GB + Storan 256GB) – CNY5,699 (~RM3,731)
- Black (RAM 16GB + Storan 512GB) – CNY5,799 (~RM3,797)
- Transparent Silver (RAM 16GB + Storan 512GB) – CNY5,999 (~RM3,928)
- Transparent Black (RAM 16GB + Storan 512GB) – CNY5,999 (~RM3,928)
- Black (RAM 24GB + Storan 1TB) – CNY6,999 (~RM4,583)
Tarikh pelancaran dan ketersediaan global
Meskipun China dilancar dengan dua model berbeza, kebiasaannya pasaran antarabangsa hanya akan menerima satu model sahaja iaitu Pro. Tiada model Pro+.
Versi antarabangsa ini akan dilancar pada 18 Disember 2023, diikuti tawaran awal dibuka pada 27 Disember 2023. Jualan terbuka pula akan bermula pada 3 Januari 2024.
Kita boleh menjangkakan ia pasti tiba ke Malaysia, tetapi tarikh jualannya mungkin sedikit lewat berbanding tarikh antarabangsa. Sebelum ini, RedMagic 8S Pro dilancar di peringkat global pada 22 Jun dan dilancar di Malaysia pada 3 Ogos 2023.
Spesifikasi RedMagic 9 Pro
RedMagic memastikan telefon pintar terbaru mereka memiliki prestasi tertinggi. Ia dikuasakan cip terbaru Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 3 4nm, bersama RAM LPDDR5X sehingga 12GB untuk model Pro, dan sehingga 24GB bagi Pro+. Storan pula jenis UFS 4.0 dari 256GB sehingga 1TB.
Keunikan telefon RedMagic adalah kipas penyejuk terbina di dalam peranti. Kali ini siri RedMagic 9 Pro dipasang dengan sistem penyejuk ICE 13 bersama kipas yang berputar selaju 22,000RPM serta lampu RGB. Ini membantu mengurangkan haba yang dilepaskan dan meningkatkan kestabilan peranti untuk menjalankan permainan berkuasa tinggi.
Skrin hadapannya jenis AMOLED keluaran BOE, berukuran 6.8-inci FHD+ (2480×1116) dan kadar penyegaran 120Hz. Kecerahannya mencecah 1,600nits. Ia ada kamera hadapan tersembunyi di belakang skrin generasi ke-5, serta pengimbas capjari di dalam skrin. Menambah kehebatan skrin ini adalah teknologi PWM 2,160Hz yang mengurangkan keletihan mata.
Kamera hadapan yang tersembunyi itu memiliki sensor 16MP. Manakala di belakang, ia datang dengan dua kamera iaitu kamera utama 50MP menggunakan sensor Samsung JN5 dan OIS, serta kamera ultra lebar 50MP dengan sensor Samsung JN1.
Bermain game kini lebih lama di RedMagic 9 Pro kerana ia dilengkapi bateri ebesar 6,500mAh. Pengecas juga ditingkatkan kepada 80W. Tetapi di RedMagic 9 Pro+ bateri dikecilkan kepada 5,500mAh, manakala pengecas lebih berkuasa iaitu 165W. Port USB-C pula jenis USB 3.2, boleh menghantar data lebih pantas dan menyokong paparan luar lebih tinggi.
Sistem bunyi stereo diuruskan menerusi dua pembesar suara linear 1115K tetapi menembak ke tepi. Ia menyokong teknologi Snapdragon Sound dan DTS:X Ultra. Jika perlu sambungan berwayar, jek audio 3.5mm turut disediakan.
Perkara terpenting sudah pasti adalah butang bahu, yang menambah pengalaman bermain lebih hebat. Telefon ini juga dihiasi dengan rekaan ala Cyberpunk dan beberapa garis lampu RGB untuk meningkatkan lagi keseronokan bermain game.
Sistem operasi Android 14 digunakan, dilapisi antaramuka REDMAGIC OS 9.0. Ia juga hadir dengan perisian Game Space yang dikuasakan pembantu AI untuk mengenal pasti permainan dan menyediakan tetapan terbaik untuknya.
Terdapat tiga kemasan disediakan untuk dipilih bagi siri RedMagic 9 Pro iaitu hitam, hitam lutsinar dan perak lutsinar. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk RedMagic 9 Pro di China.