Hari yang ditunggu sudah tiba. Tanggal 28 November 2023 adalah hari Proton lancarkan model sedan baharu Proton S70. Ini adalah sedan pertama Proton selepas diambil alih Geely dan yang pertama selepas Proton Persona tahun 2016.
Harga Proton S70 di Malaysia
Berikut adalah harga penawaran siri Proton S70 di Malaysia:
- Proton S70 1.5T Executive – RM73,800
- Proton S70 1.5T Premium – RM79,800
- Proton S70 1.5T Flagship – RM89,800
- Proton S70 1.5T Flagship X – RM94,800
Setiap pembelian akan ditawarkan pakej-pakej berikut:
- Jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan
- Data 1GB/bulan untuk 5 tahun (Flagship & Flagship X)
- 6 kali caj buruh percuma
- Kadar pinjaman serendah 2.34% p.a
- Program Insurans Proton
Kemudian, 3,000 pendaftaran pertama dengan pendaftaran sebelum 29 Februari 2024 akan terima:
- Aerokit bernilai RM3,130 (Flagship X sahaja)
- Baucar servis RM500 (Premium & Flagship sahaja)
- Program Insurans Proton dinaik taraf
Spesifikasi Proton S70 di Malaysia
Ramai orang marah Proton bandingkan S70 dengan Honda City dan Toyota Vios. Alasan Proton untuk bertindak sedimikan adalah sebab harganya yang kompetitif dengan model segmen B tadi.
Varian paling asas menerima kelengkapan seperti 6 beg udara SRS, sistem lane change assist, brek parkir jenis elektrik,, roda 16”, kerusi fabrik, dan sistem inforia 8”. Yang bagusnya, enjin dan transmisinya kekal sama merentasi varian.
Bila anda naik ke varian Premium, anda dapat lampu depan LED, lampu belakang hujung ke hujung, kerusi kulit sintetik, dan kamera undur.
Flagship dan Flagship X adalah varian paling mahal. Spesifikasi antara mereka adalah hampir sama, dengan kelebihan Flagship X adalah pada sunroof dan beberapa kelebihan minimum yang lain.
Varian Flagship ada kelebihan berbanding Premium daripada segi kehadiran ADAS, sistem pemantau tekanan tayar (TPMS), roda 17”, speedometer LCD 10.3”, kerusi pemandu berkuasa elektrik, sistem inforia 12.3”, kemudahan pengecasan wayarles, dan kamera 360 darjah.
Proton S70: Geely Emgrand yang dinusantarakan
Ramai sedia maklum yang Proton S70 dibangun berasaskan Geely Emgrand. Sungguhpun begitu, Proton tidaklah mengambilnya bulat-bulat. Jurutera-jurutera Proton masih perlu melakukan pengubahsuaian bagi memenuhi cita rasa pengguna tempatan, bermula dengan rekaan fizikalnya sendiri.
Paling ketara adalah pada jeriji pelindung radiator yang menggunakan rekaan batik “Infinite Weave”, sama seperti model-model Proton sedia ada. Pada segi saiz, ia didapati lebih lebar daripada Proton Persona, Honda Civic, Toyota Corolla, Honda City, dan Toyota Vios.
Lebih tinggi daripada Honda Civic, Toyota Corolla tapi lebih rendah daripada Proton Persona dan Toyota Vios. Kemudian, jarak tayarnya adalah lebih panjang berbanding Persona dan dua segmen B popular Honda dan Toyota. Anda kata but Perodua Bezza besar? Proton S70 lagi besar. Ia ada XXXL ruang penyimpanan.
Lagi bahagian yang menerima talaan jurutera tempatan adalah enjin dan transmisi.
Proton memaklumkan yang Proton S70 telahpun diuji selama 75,000 jam dan menempuhi perjalanan sejauh 1.2 juta kilometer untuk disuaikan dengan keadaan jalan dalam negara. Proton X70 ditunjangi enjin 1.5L turbo yang dipadankan dengan sistem DCT 7 kelajuan.
Gandingan ini mengeluarkan 150Ps dengan tork setinggi 226Nm. Daripada sesi test drive yang saya sertai, saya boleh akui yang kenderaan ini selesa untuk dipandu. Penalaan suspensionnya baik dan jadikannya ruang kabin minimum gegaran walaupun saya pandunya di seksyen yang penuh bonggol dan permukaan jalan kasar.
Dah lama saya tak rasa seperti ini pada sebuah sedan Proton. Kali terakhir adalah Proton Perdana. Preve dan Persona pun agak keras. Turbo pada sedan? Berdesup perginya. 0 kepada 100 dalam masa bawah 10 saat. Namun saya nak mengadu sikit bahagian pecutan.
Di garisan mula, bila kaki tekan pedal, agak ketara lagging antara input dengan respons enjin. Mungkin jurutera proton boleh main lagi dengan mapping enjin untuk minimumkan lag. Dalam comfort mode okay lagi. Kalau dalam sportmode, agak bahaya jugalah. Tangan dah pula stereng, kereta tak pergi lagi.
Proton S70 dilengkapi sejumlah ciri bantu pandu dan ia mirip dengan apa yang ditawarkan Proton X90.
Berikut saya senaraikan ciri-ciri bantu pandu yang akan anda nikmati.
- Autonomous Emergency Braking
- Forward Collision Warning
- Adaptive Cruise Control with Stop & Go
- Intelligent Cruise Control
- Lane Departure Warning
- Lane Departure Prevention
- Lane Centering Control
- Traffic Sign Information
- Intelligent High Beam Control
- Lane Change Assist Door Opening Warning
- Rear Collision Warning
- Rear Cross Traffic Alert
Proton S70 tidak mempunyai ciri Automatic Parking Assist seperti yang dinikmati Proton X90. Proton S70: 5 port USB, pengecasan wayarles, dan sistem inforia.
Di bahagian kabin, kemudahan-kemudahan yang disediakan adalah cukup sama ada untuk penumpang depan ataupun penumpang belakang. Sejumlah 5 port USB disediakan. 2 port untuk kegunaan penumpang depan dan 1 port di bahagian cermin depan untuk dashcam. Ada pad pengecas wayarles disediakan untuk pengecasan bebas kabel.
Penumpang belakang boleh memanfaatkan 2 port USB, satu Type-A dan satu lagi Type-C. Sistem inforia untuk varian Flagship dan Flagship X adalah bersaiz 12.3” LCD beresolusi 720p. Ia menjalankan sistem operasi Atlas OS dan aplikasi-aplikasi penstriman terkenal boleh dimuat turun melalui gedung dalam talian yang disediakan untuk anda isi storan dalaman 64GB dan RAM 8GB.
Sistem navigasi juga disediakan terus ke papan pemuka namun ia bukanlah Waze ataupun Google. Lagi yang kurang menarik adalah ia masih tidak menyokong Android Auto dan juga Apple CarPlay.
Itulah dia Proton S70, sedan bersaiz segmen C dengan harga segmen B. Jadi, apa pendapat anda tentang kenderaan ini? Pastinya akan masuk dalam pertimbangan yang sedang usyar kereta 5 tempat duduk tapi bosan dengan rekaan crossover.
Bacaan berkaitan
Kerajaan yakin EV keluaran Proton dan Perodua lebih mampu milik dihasilkan menjelang 2025
Proton S70 akan dilancar 7 hari lagi, pendaftaran minat dibuka sekarang
Proton S70: 5 perkara yang perlu anda tahu tentang pesaing Honda Civic dan Toyota Corolla ini