Tengah malam waktu Malaysia tadi, pengasas bersama OnePlus, Carl Pei melancarkan telefon pintar terbaru syarikatnya, OnePlus 5T. Ia seperti versi naiktaraf kosmetik dari OnePlus 5, tetapi sebenarnya dipertingkatkan bukan sahaja di luar, tetapi di dalamnya.
Apa yang terlebihnya? Ia boleh dilihat dengan mudah apabila melihat muka hadapannya. Skrin OnePlus 5T kini lebih panjang dari OnePlus 5. Ia mengikut trend masakini menggunakan paparan bernisbah 18:9.
Berbanding skrin 5.5-inci di OnePlus, skrin OnePlus 5T berukuran 6.01-inci dengan resolusi HD Penuh+ (2160×1080). Ukuran badannya pula tidak banyak berubah. Tetapi disebabkan ruang skrin memenuhi 80% muka hadapan, pengimbas capjari dialihkan ke belakang.
Sebagai pilihan tambahan, OnePlus kini menyediakan sistem pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin. Ia tidaklah secanggih Apple FaceID yang merakam secara 3D, tetapi dapat mengecam dengan pantas dan tepat.
Selepas saiz skrin, perbezaan terbesar kedua adalah di ruang kamera. Ia masih dua kamera belakang dan satu kamera hadapan, tetapi OnePlus mengubah sensor yang digunakan untuk dua kamera belakang.
Lensa pertama masih menggunakan sensor IMX398 16MP f/1.7. Tetapi lensa kedua digantikan dari sensor IMX350 kepada IMX367K, mengekalkan 20MP tetapi dengan apertur lebih luas f/1.7. Menurut OnePlus, gandingan sensor baru ini direka untuk cahaya malap, memberikan hasil tangkapan yang lebih cerah.
Tenaga dalaman masih kekal sama. Ia menggunakan pemproses Qualcomm Snapdragon 835, pilihan RAM antara 6GB dan 8GB, serta storan dalaman UFS2.1 sebesar 64GB atau 128GB. Berita baik lagi, OnePlus 5T masih memiliki port audio 3.5mm.
Di samping naik taraf yang agak banyak ini, masih terdapat ruang yang boleh OnePlus pertingkatkan jika benar-benar mahu bersaing di kelas elit telefon pintar flagship.
Beberapa fungsi yang dilihat hanya terdapat di kelas elit ini adalah seperti kalis air dan debu serta pengecasan tanpa wayar. OnePlus juga dilihat tidak membesarkan kapasiti bateri dalam OnePlus 5T, kekal 3,300mAh yang dicas pantas menggunakan DashCharge USB-C.
Dengan tambahan perkakas baru, OnePlus 5T dijual sedikit tinggi berbanding OnePlus 5. Ia kini berharga USD499 bagi model 64GB, dan USD559 untuk 128GB. Hanya warna hitam ditawarkan buat masa awal ini, dan jualan akan bermula pada 21 November di Amerika Syarikat, Eropah dan India.
Untuk rujukan, OnePlus 5 sebelum ini dijual di Malaysia pada harga RM2,388 (64GB) dan RM2,688 (128GB). Maklumat lanjut tentang telefon terbaru ini boleh disemak di laman web OnePlus 5T.