Siri Samsung Galaxy S24 baru sahaja diperkenalkan oleh Samsung pada pertengahan Januari lalu. Ia membawakan banyak perkara baru walaupun dari luaran tidak banyak yang berubah berbanding generasi sebelum ini.
Ini kerana Samsung memfokuskan pada perisian, di mana siri Galaxy S24 di suntik dengan pelbagai teknologi AI. Varian paling kompak Galaxy S24 juga tidak terkecuali dalam menerima naik taraf ini. Ia juga dikuasakan cip terbaru keluaran Samsung Exynos 2400.
Selain itu, adakah banyak perubahan lain pada Galaxy S24? Untuk ketahui lebih lanjut pembaharuan yang dibawa Samsung, teruskan baca reviu kami mengenainya.
Spesifikasi Galaxy S24
- SoC Exynos 2400
- RAM LPDDR5x 8GB
- Storan UFS 4.0 256GB/512GB
- Skrin Dynamic AMOLED 2X 6.2-inci (1-120Hz) 2,600 nits
- Kamera Utama 50MP F1.8 OIS
- Kamera telefoto 10MP F2.4 OIS 3x zum optikal
- Kamera ultralebar 12MP F2.2 120˚
- Kamera hadapan 12MP F2.2 PDAF
- Bateri 4,000mAh
- Pengecas pantas USB-C 25W, wayarles 15W
- Sistem operasi One UI 6 (Android 14)
- Rangkaian: 5G, LTE, Wi-Fi 6E, Bluetooth v 5.3
- Kalis air IP68
Terus terang kelihatan seperti iPhone
Sekilas pandang, memang seolah tiada perubahan pada Galaxy S24 terbaru ini berbanding model lama. Ia masih sebuah telefon kompak dengan memiliki tiga modul kamera di belakang dan panel belakang yang dilitupi kaca Corning Gorilla Victus 2 yang sama. Tetapi terdapat perubahan ketara pada rekaannya jika dilihat dengan teliti.
Dari segi binaan, apa yang baharu adalah bingkainya kini rata. Ini lantas menjadikannya nampak seperti sebuah iPhone. Malah warna yang ada pada saya ini juga sama seperti warna Gold pada iPhone 12 Pro yang saya guna. Apabila memegangnya juga saya rasa seperti sedang memegang sebuah iPhone, disebabkan sisi yang rata.
Tapi, secara jujurnya, Galaxy S24 ini rasa lebih kompak dan jauh lagi ringan berbanding iPhone 12 Pro. Ia terasa amat sedap apabila pegang di tangan dan saya dapat gunakannya dengan selesa. Ia kecil, kompak dan mudah dikendalikan satu tangan.
Selain itu, kedudukan butang, port pengecas dan slot kad sim masih kekal sama, yang mana satu perkara biasa untuk telefon Samsung sejak dari pengenalan Galaxy S20.
Perubahan ketara dapat dilihat pada hadapan telefon. Walaupun saiz badannya sama seperti model terdahulu, saiz skrin Galaxy S24 kini lebih besar sedikit pada 6.2 inci berbanding 6.1 inci kerana bezel skrinnya ketara lebih nipis dan sekata di semua sisi. Warna yang ditawar pada paparan ini juga ada kualiti sangat cantik dan imej nampak jelas.
Saya boleh katakan ini antara skrin paling bagus di telefon Android yang saya pernah guna setakat ini. Skrinnya dikatakan ada tahap kecerahan lebih tinggi. Walaupun sukar dibezakan, skrinnya memang nampak sangat jelas di bawah cahaya matahari, jadi tiada masalah penggunaan di luar.
Di samping itu, pengimbas cap jari ultrasoniknya juga masih terdapat di dalam skrin. Yang bagusnya, ia dapat mengecam jari dengan sangat pantas. Sentuh tidak sampai satu saat ia boleh mengecam jari dan membuka telefon. Jika bukan terpantas, ia antara yang paling pantas dapat mengecam jari untuk membuka telefon.
Exynos kini setaraf dengan Snapdragon
Galaxy S24 di pasaran Malaysia dikuasakan cip terbaru keluaran Samsung iaitu Exynos 2400. Agak mengecewakan ia tidak menggunakan Snapdragon 8 Gen 3. Tetapi, dari segi penggunaan harian, ia dapat berikan prestasi cukup pantas seperti yang dijangka pada sebuah peranti flagship. Bertukar antara aplikasi, melayari sosial media dan menstrim YouTube memang lancar.
Untuk uji tahap prestasinya, saya cuba memainkan game Call of Duty Mobile, dan ia boleh jalankannya dengan sangat baik. Malah game juga boleh ditetapkan dimainkan dalam tetapan tertinggi tanpa kelengahan bingkai.
Oleh itu, penggunaan cip Exynos kali ini sememangnya bukan satu kekurangan pada siri Galaxy S24 kerana ia dapat tawarkan prestasi yang selari dengan apa yang terdapat pada Snapdaragon 8 Gen 3. Untuk lebih jelas, anda boleh rujuk hasil ujian penanda aras Galaxy S24 di bawah.
Dapat dilihat Galaxy S24 memperoleh hasil yang tidak jauh beza dengan Samsung Galaxy S23 Ultra yang menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2. Galaxy S23 Ultra mendapat sebanyak 1,886 markah untuk teras tunggal dan 5,000 untuk berbilang teras.
Tetapi, apa yang saya perasan telefon terasa agak cepat panas apabila menggunakannya untuk menangkap gambar di luar. Bermain game ataupun sewaktu ujian penanda aras tidak pula telefon jadi terlalu panas. Mungkin sistem pengimejannya menggunakan kuasa memproses yang lebih, jadikan ianya lebih panas.
Keupayaan AI dipertingkat
Di samping penggunaan cip baru, perkara terbesar pada siri Galaxy terbaru ini adalah keupayaan AI yang ia miliki. Dengan Galaxy AI, Galaxy S24 ini boleh mengedit gambar menggunakan AI. Ini termasuk memadam objek dalam gambar, mengalih dan memperbaik gambar.
Apabila memadam objek dalam gambar, ia akan mengisi kekosongan dalam gambar menggunakan AI. Hasil ruang yang dijana AI nampak natural, tetapi tidaklah sempurna jika dilihat betul-betul. Namun, ia masih membantu jika anda memerlukannya untuk memadam atau menghilangkan objek yang mengganggu dalam gambar.
Walau bagaimanapun, perlu tahu yang untuk menggunakan ciri ini, ia memerlukan sambungan internet. Ini kerana ia memproses gambar melalui awan dan bukannya terus dalam telefon.
Lebih hebat, pada Galaxy S24 ini juga ia ditambah dengan ciri AI yang boleh menterjemah secara terus ketika panggilan menggunakan Call Live Assist. Saya agak terkejut betapa baiknya ciri ini berfungsi. Ia boleh menterjemah percakapan saya, dan juga menterjemah percakapan pemanggil. Untuk ciri ini, ia menyokong sejumlah bahasa seperti bahasa inggeris, korea, jerman dan banyak lagi. Malangnya, bahasa melayu tidak disokong untuk ciri ini.
Tetapi menggunakan ciri ini, ia akan menjadikan perbualan sedikit lambat daripada biasa kerana anda perlu tunggu percakapan anda diterjemah, dan tunggu pula percakapan pemanggil diterjemah. Tapi anda boleh pilih untuk beri pemanggil dengar suara asal atau terjemahan sahaja.Namun, setakat saya cuba, ia dapat berfungsi dan menterjemah dengan baik, tetapi masih ada beberapa frasa yang ia gagal terjemah dengan tepat.
Untuk gunakannya, ia perlu diaktifkan terlebih dahulu. Apabila membuat panggilan, akan terpapar ciri Call Live Assist dan boleh dipilih untuk hidupkan atau matikannya.
Tambahan pula, Galaxy S24 ini juga dilengkapkan dengan ciri “Circle to Search”. Ia membolehkan anda untuk membulatkan apa-apa di skrin dan ia akan automatik mencari sesuatu objek dalam bulatan menerusi carian Google. Ini amat mudahkan anda untuk mencari sesuatu tanpa perlu muat turun gambar, dan muat naik semula menggunakan reverse image.
Keupayaan AI ini tidak terhad pada itu sahaja. Terdapat ciri AI yang membolehkannya untuk melengkapkan ayat pada mesej. Jika anda menulis ayat ringkas, ia akan menyediakan pilihan ayat dan anda boleh pilih nada yang anda mahu hantar kepada penerima. Ini sangat berguna jika anda sedang melakukan kerja dan mahu menghantar mesej dengan cepat.
Tiada perubahan pada kamera
Jika ada perkara yang tidak berubah pada Galaxy S24, adalah pada bahagian sistem kameranya. Walaupun ia memiliki ciri edit gambar, kamera yang menangkapnya masih menggunakan tiga buah kamera di belakang sama seperti model terdahulu. Ia adalah kamera utama 50MP, kamera telefoto 10MP dan kamera ultra lebar 12MP.
Jadi, boleh jangkakan prestasi kamera tidak banyak berubah berbanding Galaxy S23, di mana ia dapat hasilkan gambar jelas dengan warna yang agak cantik. Anda boleh lihat sampel gambar yang disertakan di bawah.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, walaupun ia paling kecil dalam keluarganya, Galaxy S24 ini merupakan telefon kompak terbaik. Rekaan sisi ratanya sedap dipegang, dan skrin kecilnya amat mudah untuk dikendali. Walaupun tidak menerima naik taraf resolusi skrin seperti model Plus, paparannya masih cantik tawar pengalaman bermultimedia dan penggunaan media sosial sangat baik.
Ciri AI yang ia miliki sudah tentu perkara yang ditekankan. Mungkin ramai yang pertikaikan Samsung melakukan langkah ini kerana tiada banyak perubahan yang boleh dilakukan pada perkakasan, tetapi ia sangat berguna, lebih-lebih lagi untuk ciri Live Translate sewaktu panggilan.
Selain itu, penggunaan cip Exynos 2400 juga mungkin akan mengecewakan beberapa pihak. Tetapi, Exynos 2400 ini memang ternyata lebih baik berbanding Exynos generasi sebelum ini dan ada prestasi sama seperti Snapdragon 8 Gen 3.
Jika nak dibandingkan Galaxy S24 dengan pesaing lain macam iPhone 15, penawaran Samsung ini jauh lagi bagus sebab badannya lebih kompak, ringan serta ada skrin pantas 120Hz dengan AOD. Malah, ia juga ada sistem kamera lagi mantap kerana ada kamera telefoto. Jadi, dari segi penawaran telefon kompak, Galaxy S24 ini memang tiada tandingan.
Jika anda ada bajet RM4,000 untuk dibelanjakan pada sebuah telefon flagship kompak, Galaxy S24 ini merupakan pilihan lebih baik berbanding iPhone 15. Kalau berminat, anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.