Redmagic 9 Pro merupakan salah satu telefon gaming yang dinantikan ramai peminat gaming. Ia telah dilancar akhir tahun lepas, lebih awal daripada pengumuman ketibaan Asus ROG Phone 8 Pro. Rata-rata, ramai mengatakan bahawa Redmagic 9 Pro adalah telefon gaming terbaik tahun 2024, disebabkan langkah Asus yang membuang banyak perkara kegemaran gamers pada ROG Phone 8 Pro.
Kalau ROG Phone 8 Pro abaikan keinginan kaki gaming tegar, Redmagic 9 Pro mengukuhkan lagi semua perkara yang kaki gaming mahukan pada telefon pintar. Ia ada speaker simetri, skrin penuh tanpa lubang dan takuk, serta kamera tersembunyi tak menonjol dan membonjol.
Di sini, saya akan berkongsi tentang ulasan, pandangan dan pengalaman saya tentang Redmagic 9 Pro. Anda boleh menonton video ini atau membacanya di bawah.
Spesifikasi Redmagic 9 Pro Sleet
- Cipset: Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 4nm
- RAM: LPDDR5X 12GB
- Storan: UFS 4.0 256GB
- Skrin: BOE Q9+ AMOLED 6.8″ FHD+ 120Hz
- Kaca: Corning Gorilla Glass 5
- Kamera Hadapan: 16MP UDC (sembunyi belakang skrin)
- Kamera Utama: 50MP OIS Samsung JN5
- Kamera Ultralebar: 50MP Samsung JN1
- Speaker: Stereo
- Bateri: 6,500mAh
- Pengecas: 80W berwayar USB 3.2
- Lain-lain: Kipas RGB 22,000 RPM
Berikut adalah harga jualan Redmagic 9 Pro di Malaysia
- Sleet (RAM 12GB + storan 256GB) – RM3,499
- Snowfall (RAM 16GB + storan 512GB) – RM4,399
- Cyclone (RAM 16GB + storan 512GB) – RM4,399
Telefon Redmagic 9 Pro boleh dibeli daripada pengedar sah Redmagic di Malaysia, serta atas talian di Lazada dan Shopee.
Rekaan nipis rata penuh
Redmagic sebenarnya dah guna rekaan badan rata sejak Redmagic 8 Pro tahun lepas. Ia dikekalkan untuk Redmagic 9 Pro tetapi dipertingkat lagi. Paling ketara pada kamera belakang sebab tiada bonjolan langsung. Kamera belakang ni tenggelam sepenuhnya. Memang seronok nak pegang dan tak rasa takut calar bonjolan kamera.
Rekaan petak rata ni pun rasanya lebih sedap dipegang semasa main game. Redmagic juga dah luaskan lagi ruang sentuhan butang bahu sebanyak 90%, menjadikan pengalaman main game kali ini lebih baik. Tahun lepas saya mengadu tentang kurangnya respon butang bahu Redmagic 8 Pro. Kini Redmagic 9 pro jauh lagi bagus, sangat responsif. Skrin petak pun terasa lebih luas sikit berbanding skrin bucu melengkung, ditambah lagi lubang kamera tidak kelihatan di skrin.
Prestasi tertinggi
Dari segi prestasi, Redmagic 9 Pro ni memang setanding dan setaraf dengan ROG Phone 8 Pro yang saya review sebelum ni. Kedua-duanya guna cipset, ram dan storan yang sama berkuasa tinggi. Nak tau lebih lanjut, saya kongsikan markah dari ujian tanda aras AnTuTu, Geekbench 6, dan 3Dmark Wild Life.
Jelas kelihatan ia sama hebat dengan ROG Phone 8 Pro dan dengan mudah tapau peranti yang menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2.
Main Game: Genshin Impact
Untuk uji lebih mendalam, kenalah main game. Macam biasa, saya uji dengan game Genshin Impact. Grafik ditetapkan ke High dan FPS ke 60. Permainan sangat lancar, kekal 60 FPS sepanjang masa, serta tidak ada lengah dan tersangkut. Tapi warna skrin saya rasa kurang menyerlah berbanding skrin ROG Phone 8 Pro.
Tapi kelebihan terbesar Redmagic 9 Pro ni suhu, telefon ni memang tak sepanas ROG Phone 8 Pro bila main game lama-lama. Kalau ROG Phone 8 Pro tu saya rasakan panasnya suam, untuk Redmagic 9 Pro ni kurang suam. Kipas RGB dalam badan memang buat telefon sejuk. Satu lagi saya rasakan, bunyi kipas tidak sebising Redmagic 8 Pro dulu. Memang lagi seronok main game.
Pendek kata, main game di Redmagic 9 Pro lebih mengasyikkan daripada Redmagic 8 Pro sebab kipas kurang bising, suhu lebih tenang baik dan butang bahu lebih responsif. Bagi sistem bunyi, untuk saya yang telinga tak sensitif ni rasanya sama bagus.
Kamera masih hauk
Tetapi macam mana pula untuk pengguna yang turut mahu gunakan telefon ni untuk bermain media sosial, tangkap gambar dan video dan muat naik? Untuk itu, saya uji pula kamera.
Apa yang saya dapat, masih sama kecewa macam telefon Redmagic sebelum ini. Saya rasa lebih kecewa bila bandingkan dengan kamera ROG Phone 8 Pro. Kamera depan dalam skrin masih gagal hasilkan gambar yang lebih menyerlah. Gambar nampak kusam bila kurang cahaya dan kalau ada silau, ia terjejas teruk.
Untuk kamera utama, kualiti gambar dalam suasana cerah sangat bagus. HDR boleh membezakan ruang gelap bayang dan bahagian cerah. Tapi sebagai telefon mahal, zum di redmagic 9 pro sangat gagal. Walaupun kini popular dengan ‘in-sensor zoom’ yang beri kualiti lossless tanpa lensa telefoto, kamera Redmagic 9 Pro tak ada fungsi ini. Disebabkan ini, mungkin lebih baik miliki telefon kedua kelas pertengahan yang ada kamera depan dan kamera utama yang lebih baik.
Berikut adalah gambar yang diambil menggunakan kamera Redmagic 9 Pro.
Mora naik taraf terbesar
Satu perkara yang saya boleh katakan naik taraf terbesar di Redmagic 9 Pro ni adalah Mora. Mora ni, buat yang tak kenal adalah watak atau maskot bagi telefon Redmagic. Dalam bahasa anime, kita panggil waifu.
Sebenarnya ia tak membantu main game pun, tapi ia boleh menjadi teman kalau rasa bosan berseorangan. Macam, anda boleh borak dengan dia dan bergurau senda. Anda juga boleh bergambar dengan dia kalau tak nak bergambar seorang.
Pendek kata, ini cuma fungsi tambahan yang tak membantu main game pun. tapi mungkin boleh membantu mental pemain.
Nak beli ke tak beli Redmagic 9 Pro
Akhir sekali, dengan beberapa naik taraf dan kecanggihan yang ada pada Redmagic 9 Pro ni, patut ke beli? Mula-mula sekali kena tau harga, model Sleet saya ni ada RAM 12gb dan storan 256GB berharga RM3,499. Kalau model Snowfall atau Cyclone yang ada RAM 16gb dan storan 512GB, harganya RM4,399. Memang agak mahal, tapi tak mahal sangat untuk telefon gaming baru dengan cipset terbaru.
Untuk kaki gaming tegar, lepas dah cuba ROG Phone 8 Pro, saya lebih suka untuk cadangkan beli Redmagic 9 Pro sebab pengalaman bermain game lebih mengasyikkan. Tetapi dengan kualiti kamera yang masih hauk, ia sukar untuk dijadikan telefon kegunaan biasa, lagi-lagi yang wajib muat naik gambar dan swafoto ke media sosial.
Apa pula pendapat anda, adakah ROG Phone 8 Pro lebih daripada Redmagic 9 Pro ni? cuba kongsi kenapa anda rasa begitu dalam ruang komen ya. Saya masih percaya Redmagic 9 Pro lebih baik. Layak menjadi telefon gaming terbaik 2024.