Xiaomi antara pengeluar yang sering menghangatkan lagi segmen telefon pintar kelas pertengahan. Kali ini, Xiaomi telah memperkenalkan telefon terbaru di bawah jenama Redmi mereka dengan melancarkan siri telefon Redmi Note 13 pada pertengahan Januari lalu.
Seperti biasa, ia didatangkan dalam beberapa model dan varian tertinggi merupakan Redmi Note 13 Pro+. Untuk model Pro+ kali ini, Xiaomi telah menaik taraf model terbaru ini dengan ciri flagship seperti skrin melengkung AMOLED, diiktiraf kalis air dan debu IP68, serta kamera beresolusi tinggi yang berkeupayaan untuk mengezum lossless.
Redmi Note 13 Pro+ telah dilancarkan di Malaysia pada harga bermula RM1,599. Adakah penawaran terbaru Redmi Note 13 Pro+ ini lebih berbaloi dari pesaing sedia ada? Untuk ketahui lebih lanjut, di sini saya kongsikan ulasan saya mengenai Redmi Note 13 Pro+.
Spesifikasi Redmi Note 13 Pro+
- Cipset: MediaTek Dimensity 7200-Ultra
- RAM: LPDDR5 12GB
- Storan: UFS 3.1 512GB
- Skrin: AMOLED 6.67” FHD+ 120Hz
- Kaca: Corning Gorilla Glass Victus
- Kamera Utama: 200MP F1.65 OIS
- Kamera Ultralebar: 8MP F2.2
- Kamera Makro: 2MP F2.4 OIS
- Kamera Hadapan: 16MP
- Speaker: Stereo
- Bateri: 5,000mAh
- Pengecas: 120W USB-C
- Lain-lain: Kalis air IP68, NFC
Reka bentuk ‘Redmi Note’ diperbaharui
Untuk permulaan, saya akan bercerita tentang rekaannya. Dari luaran, ia masih lagi nampak seperti telefon dalam keluarga siri Redmi Note, cuma reka bentuknya telah diperbaharui. Ia ada dua modul kamera yang lebih besar pada panel belakang. Panel belakangnya juga menggunakan kemasan plastik glossy, berwarna putih dalam dua tona warna pada bahagian atas dan bawah telefon.
Sementara panel belakang ini berikan estetik yang cantik, penggunaan kemasan plastik glossy ini terasa agak licin semasa berada di dalam tangan. Ia juga meninggalkan sedikit kesan cap jar, tapi disebabkan unit pada saya ini berwarna putih, kesan cap jari itu tidaklah terlalu jelas.
Melihat dari sisi, telefon ini hadir dengan panel belakang dan skrin melengkung. Disebabkan itu, bingkai Redmi Note 13 Pro+ ini tersangatlah nipis dan saya perlu berhati-hati ketika memegang telefon, kerana ia membuatkan ruang untuk menggenggam terhad. Tambah pula tekstur panel belakangnya yang licin, pengalaman menggunakan tanpa casing tidak berapa syok.
Apa pun, keseluruhan binaan Redmi Note 13 Pro+ ini terasa cukup berkualiti seperti yang anda boleh jangka untuk telefon berkelas pertengahan. Di bawah telefon, terdapat port pengecas USB-C, slot kad sim dan speaker. Tiada jek audio 3.5mm.
Selain memiliki unit speaker di bahagian bawah, Redmi Note 13 Pro+ ini juga ada speaker di atas telefon dan earpiece yang menembak bunyi kehadapan. Oleh itu, bunyi yang ditawarkan telefon ini memang cukup lantang dan bagus untuk keperluan multimedia dan juga gaming.
Apa yang menarik adalah, Xiaomi telah mempertingkatkan Redmi Note 13 Pro+ ini untuk ada tahap kalis air dan debu IP68, berbanding model sebelum ini yang hanya mempunyai IP53. Kelebihan IP68 ini tiada habuk boleh masuk dan telefon boleh direndam sehingga kedalaman 1.5 meter.
Paparan melengkung cantik ada AOD
Paparan yang digunakan pada Redmi Note 13 Pro+ ini adalah jenis melengkung bersaiz 6.67-inci. Ia ada bezel yang nipis cuma dagunya sahaja sedikit tebal, walaupun tidaklah ketara dan bukan satu masalah kerana jika tidak melihat dengan teliti, ia nampak sekata. Paparan telefon ini menggunakan panel AMOLED. Untuk penggunaan macam menonton YouTube, menggunakan TikTok atau bermain game, ia tawarkan pengalaman yang sangat baik.
Warna pada panel skrin ini cantik dan terang, serta kandungan boleh nampak tajam dan jelas. Kecerahan skrin juga agak baik, kerana saya boleh gunakan di tempat cahaya terang tanpa masalah. Skrinnya juga laju ada kadar penyegaran 120Hz dan menariknya, ia boleh ditetapkan untuk berubah automatik antara 60Hz atau 120Hz berdasarkan kandungan yang dipaparkan bagi jimat tenaga.
Di samping itu, panel ini juga memiliki sokongan Always On Display (AOD). Tetapi ia bukanlah ‘Always’ dan hanya boleh menghidupkan skrin untuk masa 10 saat sahaja sebelum ia padam. Ini kerana ia tidak memiliki ciri kadar penyegaran adaptif 1 hingga 120Hz seperti yang terdapat pada telefon flagship.
Satu masalah yang saya hadapi pada paparan Redmi Note 13 Pro+ ini adalah skrin melengkungnya mengakibatkan saya kerap tersalah tekan pada bucu sisi apabila menonton YouTube atau menggunakannya secara umum. Tambah pula ia tidak menawarkan fungsi untuk mengelakkan sentuhan tidak sengaja pada bucu sisi skrin seperti yang terdapat pada telefon Infinix Zero 30 5G saya reviu sebelum ini.
Dalam pada itu, Redmi Note 13 Pro+ ini juga mempunyai sokongan pengimbas cap jari di dalam skrin. Pengimbas cap jari ini dapat berfungsi dengan pantas untuk membuka telefon, serta boleh mengecam jari walaupun jari sedikit basah.
Kamera berkeupayaan mengezum lossless
Kamera antara perkara yang ditekankan oleh Xiaomi untuk siri Note mereka, lebih-lebih lagi untuk Redmi Note 13 Pro+ kali ini. Ia dilengkapi dengan kamera utama resolusi besar pada 200MP dan tiada kamera telefoto. Lagi dua kamera adalah kamera ultralebar 8MP dan kamera makro 2MP.
Kamera utama 200MP ini adalah resolusi sama yang terdapat pada Redmi Note 12 Pro+ sebelum ini, tapi Xiaomi memaklumkan ia kini berupaya untuk mengezum lossless 4x, menawarkan kualiti seakan zum optikal. Jadi, apakah betul apa yang didakwa Xiaomi ini?
Semasa saya mencubanya sendiri, tangkapan gambar 4x zum memang nampak jelas dan tidak kelihatan seperti gambar yang di zum. Bangunan dalam gambar boleh dilihat dengan jelas.
Jika bandingkan dengan tangkapan 200MP yang kemudiannya di crop, hasil dan kualiti imej tidak jauh beza. Perkataan dan tekstur bangunan ada kualiti yang sama. Bezanya terletak pada warna. Zum loss 4x mempunyai rona warna kuning pada keseluruhan gambar, manakala gambar 200MP yang dipotong ada tona berwarna biru sedikit.
Untuk zum jauh, ia menyokong sehingga 10x zum digital. Kualiti zum sejauh ini tidaklah bagus sangat, tapi ia masih bolehkan nampakkan perkataan dan tingkat pada bangunan.
Beralih kepada gambar portrait, ia boleh ditangkap dengan cantik. Tahap bokeh yang dicipta bagus serta subjek diasingkan dari latar dengan baik termasuk pada helaian rambut halus.
Untuk tangkapan gambar biasa pula, ia berikan hasil cantik dan cukup memuaskan. Gambar nampak jelas dan tajam, serta ada warna natural dekat dengan dunia realiti. Anda boleh lihat sampel gambar di bawah.
Sementara itu, kamera Redmi Note 13 Pro+ ini juga dapat mengendali dengan baik tangkapan situasi yang malap. Masih boleh nampak perincian pada daun pokok di bahagian gelap.
Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai mod malam, dan hasil daripadanya, ia lebih mencerahkan persekitaran gelap dalam gambar berbanding mod biasa. Jadi, ini saya rasa lebih berguna untuk situasi yang memang tiada pencahayaan langsung. Jika ada pencahayaan, mod biasa sudah memadai.
Lebih menarik, Redmi note 13 Pro+ ini juga hadir dengan ciri edit AI. Antara ciri yang ada adalah, ia boleh memadam orang dalam gambar dan menambah bokeh pada imej selepas tangkapan. Tapi hasil yang diperoleh tidaklah baik mana. Bagi gambar yang dipadam, kesan padam nampak tidak asli dan sedikit pelik.
Menggunakan ciri edit Galaxy AI di siri Galaxy S24 untuk padam subjek ada hasil jauh lebih baik kerana kekosongan yang diisi semula dalam gambar nampak natural. Anda boleh lihat hasilnya pada reviu saya tentang telefon Samsung Galaxy S24 dan juga TikTok kami.
Sementara itu, untuk gambar yang ditambah bokeh, ia juga tidak mengasingkan subjek dengan latar belakang dengan baik. Malah, gambar juga terlihat seperti ada kesan ‘miniature’. Jadi lebih baik tangkap sahaja menggunakan mod portrait berbanding mengubahnya kemudian.
Beralih pada kamera hadapan, ia menggunakan kamera 16MP dan hasil daripadanya juga agak bagus. Gambar tajam dan warna kulit nampak natural dan cantik.
Selain itu, kamera hadapan ini juga boleh digunakan untuk menangkap gambar portrait. Gambar yang dihasilkan ada kualiti yang baik seperti tangkapan biasa. Bokehnya cantik dan subjek diasingkan dengan bagus helaian rambut. Tapi ia masih tidak sempurna kerana bokeh pada bahu baju tidak dikaburkan sepenuhnya.
Kamera utamanya juga mempunyai sokongan OIS dan EIS di mana ia boleh merakam sehingga 4K 30fps. Tetapi kualiti videonya bukanlah yang terbaik, walaupun 30fps, pergerakan dalam video jelas kelihatan tidak seberapa lancar.
Sementara itu, untuk menguji OIS, merakam video apabila berjalan, ia bergegar dengan teruk walaupun nampak kesan ia cuba untuk menstabilkan video. Namun, ia juga ada mod ‘Steady’ dan dengannya, video nyata lebih stabil tapi masih ada kesan gegaran apabila berjalan. Boleh kata yang hasil OIS dan EIS ini tidak berapa bagus.
Prestasi hebat kelas pertengahan
Berada dalam kelas pertengahan, Redmi Note 13 Pro+ ini dipacu cip MediaTek Dimensity 7200 Ultra. Ia sebuah cip yang dibina dari proses 4nm, dan ia dapat tawarkan prestasi cukup berkuasa untuk kegunaan harian. Melancar atau bergerak antara aplikasi memang sangat lancar.
Selain itu, ia juga boleh menampung permainan dengan baik. Game berat seperti Genshin Impact turut boleh dimain dengan lancar, malah untuk tetapan tertinggi. Grafik nampak cantik, tetapi kadang-kadang ia masih akan mengalami kejatuhan bingkai.
Tetapi yang bagusnya, ia ada fungsi Game Turbo untuk meningkatkan kadar bingkai supaya lebih tinggi pada permainan. Walaupun tidak banyak perubahan, game memang terasa sedikit laju apabila dalam pergerakan pantas. Nak aktifkannya boleh dibuat dengan meleret pada bahagian kiri atas skrin.
Sewaktu bermain, telefon agak suam tetapi tidak terlalu suam hingga menjadikan telefon tidak selesa untuk dipegang. Kepanasan ini juga tidak mengganggu prestasi telefon semasa gaming yang mana satu perkara bagus.
Untuk ketahui lebih lanjut tentang prestasi pada telefon ini, di sini saya kongsikan ujian penanda aras yang diperoleh dalam Geekbench 6 dan 3D Mark.
Menjalankan MIUI 14, tapi akan sokong HyperOS
Menunjang sistem operasi telefon ini adalah MIUI 14. Nama sahaja 14 tapi ia masih berasaskan Android 13. Bagaimanapun, Redmi Note 13 Pro+ ini juga akan menerima kemaskini HyperOS berasaskan Android 14 terbaru pada masa depan. Jadi anda tidak perlu risau tentang kemas kini.
Keseluruhan pengalaman menggunakan sistem operasi ini tiada apa yang nak dikeluhkan. Prestasi lancar, ikon dan antaramuka juga nampak kemas. Di halaman rumah, menatal dari atas kiri ke bawah membolehkan pengguna mengakses notifikasi, manakala dari atas kanan pula akan membuka ‘Control Center’.
Apa yang saya tidak suka, menatal ke atas telefon ia akan membawa ke carian Google. Tidak macam telefon Android lain yang menunjukkan keseluruhan aplikasi apabila menatal ke atas.
Namun, walaupun antaramuka nampak kemas, sebenarnya ada banyak aplikasi bloatware dan game yang sudah diprapasang dalam telefon. Mujurlah ada daripadanya yang boleh dipadam.Yang lagi teruk, bukan bloatware sahaja MIUI 14 ini ada, iklan pun penuh dalam sesetengah aplikasi. Kalau nak tutup iklan ini perlu buka satu-satu aplikasi dan matikan dari situ.
Seperti yang dikata awal tadi, Redmi Note 13 Pro+ ini mempunyai pengimbas cap jari dalam skrin, Tapi, satu perkara menarik yang terdapat pada pengimbas cap jari ini adalah, ia juga boleh berfungsi sebagai keperluan kesihatan bagi mengukur kadar nadi.
Ia boleh mengukur kadar nadi dengan meletakkan jari lama pada pengimbas. Setakat saya mengujinya, ia menunjukkan keputusan yang berbeza berbanding ukuran di Apple Watch. Jadi walaupun ia ada, anda tidak boleh percaya bulat-bulat pada pengukur ini.
Hayat bateri bagus, tapi pengecasan lagi bagus
Bateri yang dilengkapi pada telefon ini adalah 5,000mAh, kapasiti biasa yang anda boleh jumpa pada telefon Android lain. Tapi, prestasi yang dapat ditawar telefon ini memang sangat bagus. Ia dapat bertahan hingga ke akhir hari dalam penggunaan biasa macam menonton YouTube dan menggunakan media sosial. Bermain Genshin Impact dalam masa 2 jam juga hanya memakan 35% sahaja.
Selain ada jangka hayat bateri yang bagus, sistem pengecasan yang disokong telefon ini juga baik. Ia menyokong pengecasan HyperCharge 120W. Xiaomi mendakwa ia boleh mengecas sehingga 100% dalam masa hanya 19 minit. Dalam ujian saya, ia dapat mengecas dengan pantas, tetapi tidak sepantas yang didakwa.
Walaupun telah mematikan perlindungan pengecasan dan juga hidupkan ‘Boost Charge’, saya mengambil masa 39 minit untuk mengecas dari 5% hingga ke 100%. Meskipun begitu, ia masih kelajuan yang sangat memberangsangkan bagi sebuah telefon berkelas pertengahan.
Namun, ia tidak dilengkapkan dengan ciri gaming seperti ‘Bypass Charging’ untuk penjagaan bateri semasa bermain game. Tetapi bagusnya, kepala pengecas 120W dan juga kabel diberikan sekali dalam kotak. Tak perlu beli berasingan.
Telefon kelas pertengahan terbaik?
Secara keseluruhan, saya boleh katakan Redmi Note 13 Pro+ antara telefon kelas pertengahan terbaik buat masa sekarang. Ada banyak penambahbaikan yang Xiaomi kenakan untuk model Note Pro+ kali ini. Dengan harga bermula RM1,599, sukar untuk menyaingi apa yang ditawarkan oleh Xiaomi pada Redmi Note 13 Pro+.
Ia ada rekaan menarik dengan skrin melengkung ada AOD, prestasi bagus untuk gaming dari cip Dimensity 7200 Ultra dan diiktiraf untuk ada kalis air dan debu IP68, satu ciri yang kebanyakannya terdapat pada telefon flagship. Lagi bagus, Redmi Note 13 Pro+ ini juga akan terima naik taraf sistem operasi HyperOS.
Tidak dilupakan juga sistem kameranya yang hebat dapat tawarkan hasil berkualiti dengan zum lossless jelas. Ciri edit AI yang ia ada bukanlah bagus seperti yang terdapat pada siri Galaxy S24. Tetapi yang penting, ia ada pengecasan pantas mengagumkan pada 120W dan jangka hayat bateri panjang. Jarang telefon lain ada keupayaan mengecas pantas sebegini apatah lagi dalam lingkungan harga bawah RM2,000.
Jadi, apa pendapat anda tentang Redmi Note 13 Pro+, auto beli ke tak? Kalau beli sekalipun memang anda tidak rugi dan dapat sebuah telefon yang serba boleh dalam keseluruhan aspek penggunaan.
Jika ada pesaing lain yang dilihat setaraf dengan Redmi Note 13 Pro+, ia adalah Xiaomi 13T. Jika dibandingkan, Xiaomi 13T sebenarnya masih mendahului dari aspek spesifikasi yang ditawarkan. Ia ada cip lebih baik, sistem kamera Leica dengan telefoto, dan skrin 144Hz. Kelebihan Redmi Note 13 Pro+ pula ia didatangkan dengan storan lebih besar pada 512GB dan pengecasan pantas 120W.
Kalau anda berminat dengan Redmi Note 13 Pro+ ini, anda boleh dapatkannya di Lazada dan juga Shopee.