Kalau anda ada sekitar RM1,000 untuk dibelanjakan untuk sebuah telefon, ada banyak pilihan yang bagus anda boleh dapat. Tetapi, disebabkan banyak pilihan itulah mungkin susahkan anda nak pilih. Jadi untuk bantu anda, di sini saya nak senaraikan 5 telefon terbaik yang anda boleh dapat bawah RM1,200 di Malaysia.
Bajet sekitar ini memang berpatutan sebab anda boleh dapat telefon dengan spesifikasi bagus, dan yang penting ada sokongan 5G. Tambah pula ada banyak jenama telefon yang lancarkan telefon pintar terbaru mereka untuk tahun 2024. Nak tahu apa senarai telefon terbaik itu? Jom saya terangkan.
Anda juga boleh tonton penerangan saya untuk 5 telefon terbaik bawah RM1,200 untuk tahun 2024
1. Redmi Note 13 5G
Saya akan mulakan senarai ini dengan Redmi Note 13 5G. Telefon ini masih segar di pasaran kerana baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada bulan Januari lepas. Telefon ini ada 5G dan dikuasakan cip Dimensity 6080 yang digabungkan dengan RAM LPDDR4X 8GB dan storan 256GB UFS 2.2.
Kelebihan telefon ni ia guna skrin AMOLED 6.67-inci FHD+ dengan kadar penyegaran 120Hz, serta sokong kecerahan puncak pada 500 nits. Rekaan skrin pun menarik sebab guna lubang tempatkan kamera depan yang beresolusi 16MP. Di belakang, ia mengguna pakai sistem tiga kamera iaitu kamera utama 108MP dan kamera ultralebar 8MP.
Sokongan pengecasan pun pantas pada 33W, dan kepala pengecas diberikan sekali dalam kotak. Bateri berkapasiti 5,000mAh boleh anda temui di dalam telefon.
Anda boleh dapatkannya pada harga RM1,099 di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Redmi Note 13 5G.
2. Samsung Galaxy A15 5G
Telefon kedua adalah Samsung Galaxy A15 5G, jangan tersilap dengan model 4G. Galaxy A15 5G ini perlu tambah RM100 sahaja berbanding model 4G dan harganya masih bawah RM1,200. Pada harga itu, ia dikuasakan cip MediaTek Dimensity 6100+ dengan RAM 8GB dan storan 256GB.
Untuk skrin, ia menggunakan skrin Super AMOLED 6.5-inci 90Hz pada resolusi FHD+. Galaxy A15 ini datang bersama sistem operasi One UI 6 berasaskan Android 14 terbaru. Tambah menarik sebab Samsung beri jaminan kemaskini OS 4 kali dan juga sehingga 5 tahun kemaskini keselamatan. Tak ada telefon lain dalam senarai ini yang bagi jaminan sepanjang ini.
Selain itu, sistem pengimejannya juga bagus, ada kamera utama 50MP, kamera ultralebar 5MP dan juga kamera makro 2MP, berserta kamera hadapan 13MP. Baterinya pun besar 5,000mAh, cuma kekurangannya ia ada pengecasan 22.5W sahaja dan speaker hanya mono.
Anda boleh dapatkannya pada harga RM1,199 di Lazada dan Shopee. Sebarang maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Samsung Galaxy A15 5G.
3. Vivo Y100 5G
Antara semua telefon dalam senarai, Vivo Y100 5G ini merupakan telefon paling baru dilancarkan, lebih spesifik pada hujung Februari lalu. Ia juga paling unik sebab gunakan kemasan kulit pada panel belakang. Skrin pula sebesar 6.67-inci jenis AMOLED 120Hz dan terdapat pengimbas cap jari dalam skrin.
Ia hadir dengan kapasiti RAM LPDDR4X 8GB dan storan UFS 2.2 256GB, dikuasakan oleh cip Snapdragon 4 Gen 2 4nm. Menghidupkan komponen telefon adalah bateri berkapasiti 5,000mAh. Kelebihan telefon ini adalah ia ada pengecasan terpantas 80W. Vivo dakwa ia mampu mengecas sehingga 80% dalam masa 30 minit sahaja.
Lagi menarik, walaupun ada pengecasan pantas, Vivo jamin kesihatan bateri boleh kekal atas 80% sampai 4 tahun.
Selain itu, ia juga hadir dengan speaker stereo yang katanya 300% lebih kuat dan diiktiraf kalis air dan debu IP54. Bahagian kamera juga tak kurang hebat, ia guna kamera utama 50MP dan kamera ultra lebar 8MP.
Anda boleh dapatkannya di Lazada dan juga Shopee pada harga RM1,199. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Vivo Y100 5G.
4. Poco X6 5G
Kalau cakap pasal telefon murah, memang tidak akan lari dengan nama Poco. Kali ini, ia adalah Poco X6. Dilancar pada Januari lepas, ia dikuasakan cip berkuasa tinggi Snapdragon 7s Gen 2. RAM pantas LPDDR4X 8GB turut disediakan, bersama storan UFS 2.2 seluas 256GB.
Macam Poco X5 terdahulu, Poco X6 ini menggunakan panel Flow AMOLED 120Hz berukuran 6.67-inci FHD+, tapi dipertingkatkan untuk ada kecerahan puncak 1,800 nits dan dilindungi kaca Corning Gorilla Victus. Bateri berkapasiti 5,100mAh terdapat di dalam dengan kuasa mengecas tinggi 67W.
Untuk sistem bunyi, ia ada speaker stereo diiktiraf Hi-Res dan Dolby Atmos, serta mempunyao jek audio 3.5mm. Malah, terdapat juga kalis air dan debu IP54 dan ia akan datang dengan HyperOS berasaskan Android 14. Ia ada tetapan tiga kamera, kamera utama 64MP, kamera ultralebar 8MP dan kamera makro 2MP.
Anda boleh dapatkannya pada harga RM1,059 di Lazada dan Shopee. Ketahui lebih lanjut di laman produk Poco X6 di sini.
5. Oppo A79 5G
Yang terakhir, Oppo A79 5G. Ia merupakan model yang kemaskini daripada model A78 5G. Prestasi hebat telefon ini disediakan dari cip MediaTek Dimensity 6020, dengan kombinaasi RAM LPDDR4X 8GB dan storan UFS 2.2 bersaiz 256GB. Panel belakang yang disarungkan juga agak unik, ia menggunakan kemasan seakan bulu berkilau.
Skrin yang digunakan biasa sahaja jenis LCD LTPS 90Hz berukuran 6.72-inci FHD+. Tapi ia ada kalis percikan air IPX4 dan speaker stereo yang kelantangannya boleh mencapai 300%. Selain itu, pengecasan yang disokong pantas iaitu SuperVOOC 33W dengan Kapasiti bateri 5,000mAh yang menerimanya.
Kekurangannya lagi, sistem kameranya tidak dilengkapkan dengan kamera ultralebar. Ia ada kamera utama 50MP dan kamera kedua 2MP.
Anda boleh dapatkannya pada harga RM1,199 di Lazada dan juga Shopee. Sebarang maklumat lanjut anda boleh layari laman produk Oppo A79 5G.