Hot Wheels, syarikat pengeluar permainan kenderaan awal minggu ini mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan model Proton Saga diecast Edisi istimewa. Ia adalah model yang sama diumumkan tahun lepas, namun ia istimewa kerana rekaan kotak pembungkusnya adalah hasil seni tangan anak muda Malaysia.
Rekaan kotak pembungkus itu dilukis sendiri Saw Jane Harn, seorang kanak-kanak 9 tahun yang telah memenangi pertandingan menghasilkan rekaan kotak pembungkus Hot Wheels x PROTON Kid’s Design tahun lepas yang diumumkan sewaktu acara Art of Speed.
CU Mart menjual Hot Wheels Proton Saga Edisi Istimewa
Dalam perkongsian di media sosial rasmi CU Mart, mereka memaklumkan akan menjual Hot Wheels Proton Saga Edisi Istimewa ini. Malah, ia akan terdapat di semua cawangan CU Mart mulai hari Jumaat, 19 April 2024. Selagi stok masih ada.
Sehubungan itu, rakan kami di SoyaCincau, Chapree memulakan misi membeli Hot Wheels Proton Saga Edisi Istimewa di CU Mart. Tetapi di penghujung hari, dia hampa dan kecewa.
Tiada Stok di CU Mart
Sepanjang hari Jumaat, Chapree telah mengunjungi 10 cawangan CU Mart di sekitar Lembah Klang. Bermula dari SS15 Subang Jaya ke Dataran Glomac PJ, R&R Elmina Lebuhraya Guthrie, Shah Alam, TTDI sampai ke cawangan pertama CU Mart di Bandar Utama. Tiada stok ditemui di semua cawangan CU Mart
Menurut petugas di cawangan CU mart yang dikunjungi, tiada yang menyebut stok telah tiba. Jawapan yang diterima adalah, tidak tahu bila akan sampai, mungkin tiba dalam 1-2 minggu lagi, malah ada yang tidak tahu langsung mengenainya. Ada juga yang menjawab, ia terdapat di cawangan terpilih sahaja, bukan semua cawangan.
Tidak lama kemudian, Facebook CU Mart mengakui masalah ini dan sedang menyiasatnya. CU Mart turut meminta maaf kepada semua dan bekerja keras untuk memperbaikinya secepat mungkin.
Scalper Pula Ada Stok
Buat masa ini, tidak dapat dipastikan sama ada CU Mart sebenarnya sudah mula menjual Hot Wheels Proton Saga Edisi Istimewa, kerana tiada bukti ia kelihatan ada di kedai. Jika ada dijual, harga model ini dijangka sekitar RM10 ke RM20 sebuah.
Tetapi seperti yang disyaki sebelum ini, Hot Wheels Proton Saga Edisi Istimewa telah mula kelihatan dijual di atas talian. Berkemungkinan besar, mereka ini adalah apa yang kita panggil sebagai Scalpers, atau orang yang memborong banyak untuk dijual semula pada harga lebih tinggi.
Di Shopee, sudah kelihatan jualan Hot Wheels Proton Saga Edisi Istimewa tetapi dengan harga sehingga RM299. Ada penjual mengatakan, stok akan datang tidak lama lagi tetapi ada juga yang memiliki stok tersedia untuk dihantar.
Tidak dapat dinafikan bahawa Hot Wheels memiliki ramai peminat, ditambah lagi dengan edisi khas kereta keluaran Malaysia. Untuk CU Mart, mungkin boleh menyampaikan maklumat yang tepat kepada semua petugas cawangan supaya dapat memberi maklum balas yang tepat kepada pembeli.
Tentang scalpers, ini satu masalah yang sukar diatasi dengan mudah. Tetapi diharapkan, ia tidak melibatkan orang dalam yang menyapu habis stok ini untuk dijual semula.