Infinix baru sahaja memperkenalkan telefon gaming terbaru mereka, Infinix GT 20 Pro untuk pasaran Malaysia. Ia merupakan sekuel kepada telefon gaming Infinix GT 10 Pro sebelum ini, tetapi telah dipertingkatkan untuk ada spesifikasi yang lebih berkuasa dan paling menarik, walaupun masih mengekalkan estetik yang serupa, ia kini datang dengan rekaan lampu LED yang dipanggil Mecha Loop.
Malah, Infinix GT 20 Pro juga dipertingkatkan untuk ada skrin lebih pantas, cip bertaraf flagship Dimensity 8200 Ultimate dengan RAM LPDDR5X yang jauh lebih besar berbanding model terdahulu.
Namun, Infinix GT 20 Pro menyaksikan kenaikan harga sebanyak RM300 jika nak dibandingkan dengan GT 10 Pro. Model terbaru GT 20 Pro dilancarkan pada harga RM1,299. Jadi, dengan kenaikan harga yang dikenakan, adakah ini telefon gaming mampu milik terbaik setakat ini? Di sini saya nak kongsikan pengalaman saya berkenaan Infinix GT 20 Pro.
Spesifikasi Infinix GT 20 Pro
Sebelum pergi lebih lanjut ke ulasan, berikut saya kongsikan spesifikasi penuh Infinix GT 20 Pro.
- SoC: Mediatek Dimensity 8200 Ultimate 4nm
- Cip: Pixelworks X5 Turbo
- RAM: LPDDR5X 12GB
- Storan: UFS 3.1 256GB
- Skrin: AMOLED, 6.78-inci, HD Penuh, 144Hz, 1,300 nits
- Kamera Utama: 108MP OIS F1.75
- Kamera Makro: 2MP F2.4
- Kamera Potret: 2MP F2.4
- Kamera Hadapan: 32MP F2.45
- Bateri: 5,000mAh
- Pengecas: USB-C PD 3.0 45W
- Audio: Speaker Stereo ditala JBL
- OS: XOS 14 for GT, Android 14
Rekaan masih futuristik
Bermula dengan rekaan, macam yang dikatakan awal tadi, Infinix GT 20 Pro masih meneruskan rekaan futuristik lutsinar seperti model Infinix GT 10 Pro. Tapi kalau dilihat dengan lebih teliti, sebenarnya terdapat perbezaan ketara pada panel belakangnya walaupun keseluruhan estetiknya tidak banyak berubah.
Antaranya modul kameranya ada pepulau yang berlapis di tepi, serta hadir dengan lampu LED separa bulatan yang dipanggil Mecha Loop. Apa yang menariknya, lampu ini boleh berintegrasi dengan game tertentu macam Mobile legends, Genshin Impact, PUBG dan Free Fire. Contohnya, kalau kita tembak dalam PUBG, lampu akan berinteraksi dengan berkelip-kelip apabila ada bunyi tembakan, yang mana agak menarik.
Bukan itu sahaja, kesan lampu ini turut boleh diubah suai untuk notifikasi dalam empat tetapan macam Breathe, Meteor, Rhythm dan Gradient dengan lapan preset warna yang tersedia. Anda juga boleh tetapkan fungsi lampu untuk panggilan masuk, notifikasi, pengecasan dan lagu. Lagi menarik, kalau nak sentiasa hidupkannya pun boleh dengan mengaktifkan ‘Party Mode’. Tapi mod ini akan makan lebih banyak bateri.
Sejujurnya, saya memang suka akan rekaan GT 20 Pro terbaru ini kerana ia nampak unik dan lagi menyerlah berbanding kebanyakan telefon lain. Unit yang ada pada saya adalah berwarna Mecha Blue, dan terdapat lagi dua warna yang tersedia iaitu Mecha Orange dan Mecha Silver.
Sementara telefon ini ada estetik yang cantik, panel belakang plastiknya mengutip banyak kesan cap jari. Tapi nasib baik warnanya meminimumkan kesan cap jari yang ada.
Selain itu, bingkai telefon ini menggunakan kemasan jenis berkilat dan memegangnya cukup selesa kerana dimensinya tidak terlalu lebar serta bingkainya tidak terasa tajam dan licin. Jadi kalau nak guna tanpa sarung sekalipun rasa selamat dan modul kamera pun tak terbonjol keluar tapi rata.
Tapi kalau nakkan sarung, Infinix juga ada sertakan sarung dalam kotak yang direka khas untuk telefon ini sebab ada potongan untuk lampu LED-nya. Seperkara lagi, GT 20 Pro juga kini diiktiraf IP54, jadi anda tak perlu risau kalau terkena percikan air.
Skrin pantas dengan speaker ditala JBL
Tambah baik pengalaman gaming pada telefon Infinix GT 20 Pro ini adalah pada bahagian paparannya. GT 20 Pro menyokong kadar penyegaran lebih pantas 144Hz, jadikan pergerakan skrin lebih lancar semasa gaming. Selain itu, panel AMOLED yang dimiliki juga ada warna yang cantik dengan kontras hitam yang baik, serta kandungan juga nampak tajam dan jelas.
Bukan itu sahaja, kecerahan puncak skrinnya juga sangat memberangsangkan semasa penggunaan di bawah cahaya matahari. Kandungan boleh nampak dengan jelas dan tajam. Selain itu, seperkara yang lagi bagus pada paparannya adalah GT 20 Pro ada bezel yang lebih nipis berbanding GT 10 Pro.
Tak lupa juga pengimbas cap jari ada di dalam skrin dan setakat saya gunakannya, ia boleh mengecam dengan pantas.
Sistem bunyi pada Infinix GT 20 Pro masih jenis stereo. Tapi ia telah dipertingkatkan untuk ada sentuhan daripada pakar audio JBL. Tidak dinafikan kualiti bunyinya baik, bass sedap dengan kelantangan yang kuat. Tapi bunyinya tak seimbang dan hanya kuat di bahagian bawah sahaja.
Namun, satu perkara yang hilang pada GT 20 Pro adalah ia kini tiada jek audio 3.5mm. Jadi kalau anda nak gunakan fon telinga berwayar, ia masih boleh tapi perlu gunakan dongle.
Dalam masa yang sama, seperkara yang bagus pada GT 20 Pro ini adalah sistem haptiknya. Infinix mendakwa mereka gunakan motor getaran paksi X untuk GT 20 Pro kali ini, dan ia memang ternyata memberikan tindak balas getaran yang terasa berkualiti dan tak terasa seperti telefon murah.
Prestasi gaming hebat
Perkara yang paling utama ditujukan pada telefon ini sudah tentu prestasi gaming-nya. Untuk GT 20 Pro kali ini, ia dikuasakan cip berkuasa MediaTek Dimensity 8200 Ultimate 4nm cip bertaraf flagship yang lagi hebat daripada cip Dimensity 8050 di model sebelum ini. Bukan setakat cip hebat, RAM dan storan yang digunakan GT 20 Pro juga pantas iaitu LPDDR5X dan USF 3.1. Ini sekali gus menjadikannya telefon paling berkuasa dalam kelasnya.
Untuk ketaui lebih lanjut berkenaan prestasi, saya kongsikan hasil ujian penanda aras yang GT 20 Pro diperoleh di Geekbench 6, 3DMark dan Antutu.
Dapat dilihat markah GT 20 Pro ada lebih tinggi berbanding GT 10 Pro untuk ujian di 3DMark dan Antutu. Tapi berbeza pula di Geekbench 6 kerana markahnya lebih rendah daripada apa yang GT 10 Pro dapat. Ini termasuk untuk markah berbilang teras dan teras tunggal.
Sungguhpun begitu, kalau tengok daripada penanda aras sahaja tak mencukupi. Jadi saya cuba bermain beberapa game untuk tengok sejauh mana prestasi sebenar telefon ini. Apa yang boleh saya kata, GT 20 Pro ini mampu untuk jalankan segala game yang dilemparkan padanya dengan sangat cemerlang.
Untuk game PUBG, game boleh dimain dengan tetapan grafik paling tinggi dengan lancar tanpa sebarang kelengahan. Kalau di Genshin Impact pula, game juga boleh dimainkan dengan sangat lancar walaupun dengan tetapan ‘Highest’ dan 60FPS. Permainan langsung tidak tersangkut-sangkut dan grafik juga nampak cantik.
Kalau game berat macam PUBG dan Genshin Impact pun ia boleh jalankan dengan sangat baik, game esports seperti Mobile Legends lagilah boleh jalankan tanpa masalah dalam tetapan paling tinggi. Senang kata, anda boleh main apa sahaja game pada telefon ini dan ia mampu jalankannya dengan baik.
Lagi menarik, menyumbang pada kelancaran Infinix GT 20 Pro adalah cip khas untuk skrin Pixelworks X5 Turbo yang ia lengkapi. Dengannya, telefon mampu untuk kekalkan skrin pada 120FPS dan ia sememangnya bukan gimik sebab benar-benar buatkan game terasa lebih lancar.
Bagaimanapun, sewaktu bermain telefon memang terasa agak panas. Tapi hanya kalau bermain dalam sesi yang lama sahajalah. Tapi yang bagusnya, kepanasan ini tidak mengganggu prestasi telefon dan game masih boleh dimain dengan lancar.
Pelbagai fungsi gaming melalui Xarena Dar Link
Sebagai telefon gaming dalam siri GT, Infinix GT 20 Pro ini juga dilengkapkan dengan perisian XArena. Dengannya, anda boleh membuat pelbagai tetapan khas untuk game dan ia boleh diakses semasa dalam game dengan meleret di tepi skrin.
Kebanyakan ciri yang ada masih sama seperti telefon GT 10 Pro macam membolehkan pengguna mengubah tahap prestasi, aktifkan Bypass Charging serta ada fungsi Magic Button untuk jadikan butang kelantangan sebagai butang tambahan semasa gaming. Tapi, apa yang barunya, ia kini ada mod ‘Esports’ untuk bolehkan anda fokus pada game dengan menghalang notifikasi serta meningkatkan prestasi gaming dalam pelbagai aspek termasuk cip, sentuhan pada skrin dan juga rangkaian.
Bila hidupkan mod ini, prestasi memang terasa sedikit lancar, tapi tidaklah terlalu jauh berbeza. Selain daripada menghalang segala notifikasi yang masuk, anda juga perlu tahu yang mod ini agak kuat makan bateri dan akan menghalang ‘gesture’ bermakna anda perlu mematikannya terlebih dahulu jika mahu keluar daripada game.
Selain itu, dengan XArena juga, anda akan peroleh fungsi Smart Cooling untuk mengawal suhu telefon dalam keadaan optimum dengan mengurangkan prestasi. Tapi setakat ini saya tak pernah lagi hidupkannya kerana telefon tidak pernah menjadi terlalu panas hinggakan ia tidak selesa untuk dipegang.
Hayat bateri memberangsangkan
Bercakap pasal bateri pula, kapasiti baterinya adalah sebesar 5,000mAh sama macam GT 10 Pro. Ini bermakna ia ada jangka hayat bateri yang baik. Saya boleh gunakannya hingga ke akhir hari tanpa masalah, tapi kalau main Genshin Impact agak cepat juga bateri habis sebab main 1 jam jadikan bateri dari 100% ke 73%.
Untuk mengisi bateri semula pun tak lama, saya mengecas dari 15% ke 100% hanya mengambil masa kurang daripada 1 jam. Tapi Infinix GT 20 Pro ini sokong PD 3.0 jadi anda boleh gunakan pengecas lain untuk mengecas dengan pantas dan tak terhad pada pengecas Infinix sahaja.
Macam yang dikatakan tadi, GT 20 Pro ini ada sokongan pengecasan Bypass Charging dan anda bukan sahaja boleh aktifkannya untuk keperluan gaming sahaja, tapi boleh juga bukan sewaktu gaming. Ia boleh diaktifkan melalui tetapan bateri di ‘Settings’. Tambah baik, Infinix masih memberikan kabel pengecasan berbentuk L yang memudahkan anda untuk mengecas sambil menggunakan telefon atau bermain game.
OS dan antaramuka bersih
Daripada segi sistem operasi, Infinix GT 20 Pro menjalankan Android 14 yang diselaputi sistem operisi XOS 14. Antaramuka yang ia ada agak kemas dan bersih daripada bloatware. Kalau ada pun hanya satu atau dua sahaja. Tak macam satu sistem operasi tu yang penuh dengan bloatware dan iklan.
Tetapi apabila menatal ke kanan, ia tidak membuka Google Discover macam telefon lain tapi sebaliknya akan membuka halaman widget. Ini perkara yang saya tak kisah sangat sebab lagipun saya memang tak gunakan Google Discover.
Macam Infinix Zero 30 yang saya reviu sebelum ini, GT 20 Pro ini juga ada fungsi untuk paparkan notifikasi terus pada lubang kamera di hadapan. Tapi ia diberi nama Dynamic Bar dan tak macam telefon Infinix lain yang dipanggil Magic Ring. Tapi fungsinya sama sahaja untuk paparkan status pengecasan, panggilan, rakaman suara dan pengecaman muka. Fungsi AI Folax juga tersedia pada GT 20 Pro, tapi ia terhad untuk tugas menterjemah sahaja dan tidak ada aplikasi khas seperti yang ada pada Infinix Zero 30.
Di samping itu, kalau anda nak gunakan telefon GT 20 Pro ini sebagai alat kawalan jauh pun boleh sebab ia ada pemancar infra merah terbina. Nak akses pun senang boleh dilakukan terus dari ‘Control Centre’.
Kamera bagus, tapi tanpa HDR
Bahagian kamera semestinya bukan perkara utama yang anda mahu pada telefon ini. Meskipun begitu, sistem kameranya boleh kata agak baik dan berguna jika anda perlukan. Ia ada kamera utama 108MP dengan dua lagi adalah kamera depth dan makro. Tiada lensa ultralebar.
Hasil daripada kamera utamanya agak memberangsangkan. Gambar tajam dan warna yang dihasilkan pun cantik. Tapi hanya jika tanpa HDR kerana pemprosesan HDR pada kameranya terlalu kasar jadikan gambar terlalu terang. Seolah gambar seperti ‘overexposed’ pun ada. Jadi, lebih elok anda matikan sahaja fungsi HDR baru gambar nampak lebih elok.
Untuk tahu lebih lanjut, anda boleh lihat sampel gambar yang diambil daripada Infinix GT 20 Pro di bawah.
Bagi anda yang berminat untuk tahu hasil zum pada telefon ini, ia ada hasil yang biasa sahaja. Sistem kameranya mengezum digital sehingga 10x dan kualiti zum jauhnya biasa sahaja, tapi masih bolehkan anda nampak perkataan pada bangunan.
Untuk selfie pula, ia ada kamera hadapan resolusi besar 32MP. Gambar selfie yang diambil daripada pun bagus dengan warna kulit yang agak natural. Tapi kualiti muka tak berapa tajam dan mod Portrait pula berikan bokeh yang hanya berat di hanya atas gambar.
Walau bagaimanapun, GT 20 Pro kini tidak dilengkapkan dengan lampu LED flash di atas skrin sepertimana yang GT 10 Pro sebelum ini ada. Nak guna flash untuk selfie masih boleh, tapi hanya cerahkan suasana melalui skrin.
Telefon gaming paling berbaloi?
Pada harga RM1,299, Infinix GT 20 Pro sememangnya pilihan yang sangat menarik untuk gamer di luar sana. Ia memberikan pengguna di Malaysia untuk merasai pengalaman gaming sangat mengasyikkan tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak.
Ia ada prestasi antara yang tertinggi dalam kelasnya daripada cip Dimensity 8200 Ultimate. Bukan itu sahaja, rekaannya juga menyerlah dengan lampu LED, skrin laju 144Hz serta lengkap dengan banyak fungsi menarik untuk gaming macam Magic Button, Bypass Charging dan juga mod Esports. Pengecasan pun pantas sokong PD 3.0.
Tapi sudah tentulah ia tak sempurna dan ada beberapa perkara yang boleh ditambah baik. Contohnya pemprosesan HDR yang lebih baik dan tidak terlalu kasar serta speaker yang lebih seimbang. Malah, ia juga tidak ada jek audio 3.5mm dan kamera ultra lebar.
Sebagai perbandingan, Infinix GT 20 Pro dilihat bersaing rapat dengan Poco X6 Pro. Dilihat penawaran Infinix lebih murah, tetapi Poco X6 Pro ada prestasi lebih tinggi kerana guna cip Dimensity 8300 Ultra dan storan lagi pantas UFS 4.0. Tapi rekaannya tak semenarik GT 20 Pro.
Satu lagi pesaing GT 20 Pro adalah iQoo Z9. Sebenarnya prestasi GT 20 Pro jauh lebih baik, tapi iQoo Z9 ada kapasiti bateri lagi besar dan ada tahap kekalisan air lebih bagus IP64. Tapi harga iQoo Z9 pun lagi mahal.
Bagaimanapun, sukar untuk tandingi apa yang Infinix tawar pada GT 20 Pro. Jika anda gamer tegar yang tak kisahkan pasal kamera dan mahukan telefon dengan rekaan unik dan banyak fungsi, GT 20 Pro adalah jawapannya. Jika berminat, anda boleh dapatkan Infinix GT 20 Pro di Lazada dan Shopee.