Microsoft baru-baru ini telah memperkenalkan Copilot+ PC. Ia merupakan penjenamaan ataupun kategori baharu yang diperkenal Microsoft bagi laptop Windows yang didatangkan dengan pelbagai fungsi AI terbina. Dalam kenyataan rasmi, Microsoft menyatakan laptop Windows Copilot+ PC adalah laptop terpantas dan terpintar yang pernah dibina.
Berbanding menjalankan tugas AI melalui awan, laptop Copilot+ PC ini direka untuk mampu memproses berbagai penggunaan AI terus di dalam komputer. Ini kerana, ia menggunakan perkakasan berkuasa yang memiliki keupayaan untuk memproses lebih 40 trilion operasi sesaat (TOPs) unit pemproses neural (NPU). Bukan itu sahaja, ia juga akan menawarkan jangka hayat bateri sepanjang hari dan akses pada banyak model AI canggih.
Selain itu, Microsoft turut memaklumkan yang mereka membawakan seni bina baharu untuk mencapai prestasi sehebat ini dengan menggabungkan kuasa pada CPU, GPU dan juga NPU yang berprestasi tinggi. Microsoft mendakwa yang Copilot+ PC ini 58% lebih pantas daripada MacBook Air 15 dengan cip M3.
Buat masa ini, laptop Copilot+ PC akan menggunakan cip keluaran Qualcomm yang berasaskan ARM. Ia juga perlu mempunyai keperluan spesifikasi yang ditetapkan Microsoft seperti sekurang-kurangnya ada RAM 16GB, storan SSD bersaiz 256GB dan juga NPU terbina, bersama-sama dengan butang Copilot pada papan kekunci.
Dengan Copilot+ PC, ia akan menawarkan ciri AI seperti Recall untuk melihat semula aktiviti yang anda telah lakukan di laptop, serta ciri melukis dan pengeditan imej menggunakan AI.
Bersama dengan pengumuman Copilot+ PC, Microsoft juga telah memperkenalkan dua laptop Copilot+ PC pertama iaitu Surface Pro dan Surface Laptop. Selain laptop Surface, Microsoft juga bekerjasama dengan beberapa pihak pengeluar lain untuk menghasilkan Copilot+ PC. Antaranya adalah Acer, ASUS, Dell, HP, Lenovo dan Samsung dan ia akan tersedia pada 18 Jun nanti.
Kesemua model yang disebutkan tadi akan menggunakan cip keluaran Qualcomm, manakala model dengan cip Intel dan AMD juga akan tersedia pada masa hadapan.
[Sumber: Windows]