Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini telah melancarkan bank digital ketiga Malaysia, Boost Bank. Ia dibangunkan dengan kerjasama Axiata dan RHB. Malah, digelar sebagai bank digital pertama dimiliki oleh syarikat dalam negara. Dua lagi bank digital yang telah dilancar sebelum ini, GXBank dimiliki oleh Grab dari Singapura, manakala AEON Bank oleh AEON Group dari Jepun.
Secara kasar, Boost Bank menawarkan perkhidmatan perbankan digital yang tidak banyak berbeza dengan GXBank. Pendaftarannya mudah, dilakukan menerusi aplikasi Boost Bank yang boleh dimuat turun dari Apple AppStore atau Google PlayStore.
Buka akaun paling mudah
Warganegara Malaysia yang memiliki MyKad serta berusia 18 tahun dan ke atas, boleh membuka akaun simpanan di Boost Bank. Tetapi ada satu yang berbeza, Boost Bank tidak memerlukan pengesahan pemindahan dana dari akaun bank lain.
Ini benar-benar memudahkan untuk individu yang pertama kali membuka akaun bank, terutama mereka yang berada di kampung dan jauh dari kemudahan perbankan fizikal selama ini, tetapi ada capaian internet.
Tetapi tanpa pengesahan akaun bank lain, akaun pengguna Boost Bank akan dihadkan simpanan ke RM10,000 sahaja. Menurut Boost Bank, mereka menggunakan keupayaan eWallet Boost untuk menawarkan perkhidmatan ini. Selepas pengguna membuat pindahan dana dari akaun bank lain, barulah dapat menikmati sepenuhnya perkhidmatan Boost Bank.
Kadar faedah berperingkat
Sama seperti bank digital lain, Boost Bank turut menawarkan kadar faedah sangat menarik untuk akaun simpanan mereka dan diberikan secara harian. Tetapi Boost memberikannya mengikut tahap. Malah, ia dibahagikan lagi mengikut akaun simpanan dan jar simpanan.
Untuk akaun Boost Basic, akan diberikan kadar faedah 0.5% untuk akaun simpanan dan 1.5% jika disimpan dalam jar simpanan.
Seterusnya akaun ‘Platinum President’, ia layak jika pengguna menyimpan sekurang-kurangnya RM2,000 di akaun simpanan atau jar simpanan. Di tahap ini, pengguna menikmati kadar faedah 2.5% p.a di akaun simpanan dan 3.2% p.a di jar simpanan. Tetapi sebagai promosi sehingga 31 Ogos 2024, di jar simpanan akan menikmati kadar faedah 3.6% p.a.
Yang teratas dipanggil tahap ‘Platinum Presiden with Partner Benefits’. Selain menyimpan minimum RM2,000, pengguna juga perlu berbelanja di rakan niaga terpilih untuk mengekalkan kadar istimewa ini. Ia menyediakan kadar faedah tetap 3.6% p.a tetapi ada kadar lebih tinggi sehjngga 30 September akan diumumkan kemudian.
Kad debit belum tiba
Walaupun Boost Bank telah mengiklankan tentang kad debit Mastercard mereka sebelum ini. Tetapi dalam pelancaran hari ini, kad debit ini masih belum sedia digunakan. Ia akan datang tidak lama lagi.
Uniknya, Boost Bank akan menawarkan dua warna untuk kad debit, antara hitam dan merah. Kad debit ini juga menampilkan semua maklumat kad seperti nama dan nombor di bahagian belakang kad.
Untuk maklumat lanjut tentnag Boost Bank, boleh layari laman web di sini. Jika anda berminat untuk membuka akaun Boost Bank, muat turun aplikasi Boost Bank di Apple AppStore atau Google PlayStore.