Jenama Huawei sememangnya sinonim dengan produk kecergasan. Paling terbaru ini, Huawei memperkenalkan jam pintar Watch Fit 3 untuk pasaran Malaysia. Apa yang menariknya, rekaan model Watch Fit 3 terbaru ini telah diperbaharui sepenuhnya dan ia boleh dilihat menyerupai jam pintar Apple Watch.
Penggunaan jam juga serasi dengan peranti Android dan iOS, dan ia hadir dengan pelbagai fungsi untuk menjejak kesihatan dan kecergasan. Lagi menarik, ia juga ada satu fungsi yang jarang ada pada jam pintar lain.
Watch Fit 3 dilancarkan di Malaysia pada harga bermula RM599 dan model yang saya nak reviu ini adalah berharga RM699. Perbezaan dua model ini terletak pada tali, dengan model lebih mahal gunakan tali sama ada nylon atau kulit, manakala model lebih murah gunakan tali silikon.
Jadi, dengan harga yang dikenakan, adakah Watch Fit 3 ini berbaloi untuk anda pertimbang dapatkan berbanding kebanyakan jam pintar lain? Jadi di sini saya nak ceritakan ulasan saya mengenai Watch Fit 3.
Rekaan Watch Fit 3
Bermula dengan rekaan, sekali pandang jam Watch Fit 3 ini nampak macam bukan jam kecergasan biasa tapi seperti jam mewah. Ini sebab rekaannya berkotak kemudian ada butang di sisi untuk kawalan yang dipanggil ‘Rotating Crown’, yang mana sangat identikal dengan jam pintar siri Apple Watch.
Ini juga merupakan pembaharuan besar berbanding model Watch Fit 2 yang kelihatan seperti band atau gelang pintar biasa kerana badannya berbentuk segi empat tepat serta ada skrin yang lebih kecil. Untuk Watch Fit 3 ini, ia hadir dengan paparan lebih besar menggunakan panel AMOLED, membolehkan kandungan dilihat dengan jelas, dan warna yang terpapar pada skrin juga cantik.
Selain itu, apabila guna bawah skrin pun tak ada masalah sebab kecerahan paparannya sangat tinggi mencapai sehingga 1,500 nits. Lagi menarik, tahap kecerahan skrinnya juga boleh ditetapkan untuk berubah secara automatik tak seperti sesetengah jam pintar murah lain yang tak dilengkapkan dengan sensor cahaya.
Selain itu, skrin Watch Fit 3 ini juga hadir dengan pelbagai preset muka jam, memungkinkan anda menggayakan rupa dan maklumat yang anda nak pada muka. Anda boleh mengubah muka jam dengan menekan lama pada muka jam, dan boleh juga mengubah suai maklumat yang ingin ditunjukkan pada muka jam tertentu.
Katakanlah yang di dalam jam tidak mencukupi, anda boleh muat turun lebih banyak preset muka jam di aplikasi Huawei Health.
Berbalik kepada rekaan, Watch Fit 3 ini menggunakan badan aluminium dan butang rotating boleh digunakan untuk mengawal jam sama dengan ianya boleh dipusing untuk mengskrol ataupun ditekan untuk digunakan sebagai kawalan jam. Yang menariknya, memusing butang ini akan ada maklum balas haptik yang agak baik. Anda juga ada keupayaan untuk mengubah tahap kekuatan haptik.
Selain itu, terdapat juga lagi satu butang di bawah yang berfungsi untuk menjejak aktiviti kecergasan dengan menekannya membawa kepada semua mod sukan yang ada.
Pelbagai warna dan kemasan tali
Daripada segi kemasan jam, ia datang dalam beberapa pilihan. Tapi untuk model pada saya ini adalah berwarna kelabu eksklusif dengan tali nylon dan butang ‘Rotating Crown’ berwarna merah. Tali jam yang digunakan adalah bersaiz 20mm. Namun, walaupun saya sukakan sentuhan warna merah pada butang tersebut, sejujurnya saya kurang gemar dengan tali nylon sebab ia menyerap air dan membuatkan rasa kurang selesa apabila basah.
Tetapi, macam biasa, kalau nak tukar tali jam pun boleh dan dapat dilakukan dengan sangat mudah kerana gunakan mekanisme sekali tekan butang di bawah jam untuk pisahkan tali pada badan. Oleh disebabkan itu, ia tak serasi digunakan dengan tali jam standard lain.
Selain nylon, jam Watch Fit 3 ini juga tersedia dengan beberapa pilihan warna dan tali lain. Ini termasuk untuk warna putih eksklusif dengan tali jam kulit, serta model dengan tali silikon berwarna putih, hijau, merah jambu dan hitam. Jadi anda ada pilihan yang pelbagai mengikut kesesuaian.
Secara keseluruhan, saya memang sukakan rupa jam ini serta badannya pun sangat ringan, langsung tidak berat semasa berada di tangan. Oh ya, tidak lupa juga jam ini diiktiraf kalis air 5ATM, bermakna anda boleh bawanya bersama ketika berenang dengan boleh diselam sedalam 50 meter.
UI seakan WatchOS
Baru sahaja saya katakan rekaan Watch Fit 3 ini seakan Apple Watch. Tapi bukan setakat itu sahaja persamaannya, kerana bahagian UI Watch Fit 3 ini juga sama seperti Apple Watch. Untuk perisian, Watch Fit 3 ini menjalankan sistem operasi HarmonyOS 4.2, iaitu sistem operasi yang sama diguna pakai pada jam-jam pintar Huawei terkini.
Antara muka ada ikon bulat yang masih sama seperti Watch Fit 2 yang menggunakan HarmonyOS 2.1, tetapi anda boleh menyapu untuk bergerak di bahagian antaramuka dengan lebih bebas. Serta anda boleh zum atau nyahzum menggunakan butang di sisi, sama seperti Apple Watch.
Jika anda mahu mengakses notifikasi, ia boleh dilakukan dengan menatal ke atas di muka utama jam. Tapi anda hanya boleh lihat notifikasi yang masuk dan masih tidak ada keupayaan untuk membalas mesej atau WhatsApp menggunakan jam.
Menatal ke bawah akan membukakan halaman seakan ‘Control Centre’ di telefon pintar. Daripada situ juga anda boleh melihat peratusan bateri. Kalau menatal ke kiri di skrin utama pula akan membuka widgets yang tersedia termasuk rekod kiraan langkah atau kecergasan, kesihatan dan juga kalendar.
Widgets yang ada juga boleh suaikannya dengan sehingga enam pilihan widgets. Menatal ke kanan pula membuka widgets untuk cuaca dan main henti musik.
Untuk fungsi yang lebih banyak, jam Watch Fit 3 ini turut boleh dipautkan pada telefon pintar menggunakan aplikasi Huawei Health. Sementara ia serasi digunakan bersama peranti Android mahupun iOS, aplikasi Huawei Health hanya tersedia dan boleh dimuat turun di Apps Store sahaja, tiada di Google Play Store.
Oleh itu, pengguna Android perlu muat turun melalui fail APK, yang mungkin sedikit menjengkelkan kerana tidak mendapat kemaskini secara langsung. Untuk keselamatan, pastikan anda hanya muat turun fail APK Huawei Health hanya di laman web Huawei dan jangan di laman web lain.
Banyak ciri kecergasan dan kesihatan yang disokong
Macam kebanyakan jam pintar lain, jam Watch Fit 3 ini dilengkapkan dengan pelbagai fungsi untuk keperluan kecergasan dan kesihatan, dengan diberikan naik taraf daripada model sebelumnya. Ia kini memiliki sistem TruSeen 5.5 dan TruSleep 4.0 untuk pemantauan kadar degupan jantung, tahap SpO2 dan tidur berterusan yang dipertingkatkan.
Semasa tidur, ia juga boleh memberitahu anda jika terdapat kelainan pada kadar degupan jantung, SpO2 dan juga pernafasan.
Untuk kecergasan, jam ini ada banyak mod yang anda boleh manfaatkan semasa bersukan, termasuk berenang. Ia juga boleh paparkan kiraan langkah harian anda dan lengkap dengan GPS terbina di dalam jam dan setakat saya mengujinya, sistem GPS pada jam dapat menjejak lokasi dan jarak larian dengan sangat tepat.
Selepas berlari, jam juga akan memaparkan semula laluan larian yang anda lakukan. Cumanya, satu masalah yang saya jumpa adalah GPS-nya mengambil masa lama untuk nak kunci lokasi.
Selain menjejak larian, jam ini turut menawarkan pelan kecergasan yang dapat membantu anda menyediakan rutin sukan. Ini berguna untuk anda yang nak kekal konsisten untuk kecergasan atau nak turunkan berat badan. Bercakap mengenai berat badan, jam ini turut mempunyai fungsi untuk menjejak kiraan kalori harian.
Tapi untuk lakukannya, anda perlu masukkan jumlah kalori pada setiap makanan yang diambil di dalam aplikasi Huawei Health. Anda juga tak perlu risau kalau tak tahu kalori pada sesuatu makanan sebab di aplikasi, ia dimuatkan dengan sejumlah preset makanan yang anda boleh pilih. Contohnya, anda boleh buat carian seperti nasi lemak, jenis-jenis nasi lemak bersama lauk yang anda ambil.
Lagi tentang kecergasan, jam ini juga adakala akan menghantar peringatan kepada pemakai untuk membuat senaman ringkas, dengan memaparkan animasi mudah untuk diikut. Katakanlah anda mahukan senaman yang lebih komprehensif, anda boleh akses di dalam aplikasi di bahagian Warm & Stretch.
Lebih serasi dengan peranti Android
Fungsi jam pintar ini tidak terhad pada itu. Ia juga sokong pelbagai fungsi seperti menjadi jam sebagai alat untuk menangkap gambar di telefon, dan jam turut boleh digunakan untuk menjawab panggilan kerana dilengkapi dengan mikrofon dan speaker terbina.
Yang bagusnya, setakat ujian saya, suara pemanggil boleh didengar dengan sangat jelas melalui speaker jam dan suara saya turut kedengaran jelas menurut pihak pemanggil. Malah, kelantangannya boleh diubah menggunakan butang ‘Rotating Crown’.
Namun, paling menarik adalah jam ini turut hadir dengan ciri NFC terbina. Ia bukanlah berfungsi macam jam lain yang bolehkan anda membuat pembayaran wayarles melalui Apple Pay atau Google Pay, tetapi berfungsi dengan membenarkan anda menambah pelbagai kad NFC terus ke dalam jam.
Contohnya, anda boleh tambah kad akses rumah, sekali gus membolehkan anda menggunakan jam tanpa keluarkan kad, hanya tap pada pembaca. Setakat ini juga, saya juga tak pernah lagi mengalami sebarang masalah untuk pembaca membaca info kad melalui jam dan prosesnya sangat lancar.Untuk lakukannya, kad perlu ditambah ke dalam aplikasi Wallet di dalam aplikasi Huawei Health.
Walau bagaimanapun, satu perkara yang perlu ditekankan adalah, jam ini dilihat lebih serasi jika digunakan dengan peranti Android. Ini kerana fungsi NFC hanya boleh di akses di peranti Android sahaja, tiada di dalam aplikasi iOS. Agak pelik mengapa terdapatnya perbezaan antara dua platform. Harapnya Huawei boleh menambah fungsi ini di aplikasi iOS juga pada masa akan datang.
Sementara ia tidak boleh digunakan dengan pembayaran Apple Pay atau Google Pay, Huawei ada mengintegrasikan e-Wallet MCash pada jam Watch Fit 3. Sesudah anda pautkan akaun MCash anda pada jam, kemudian anda boleh buat pembayaran menggunakan akaun MCash melalui QR pada jam.
Tapi, masalahnya, tak ramai yang gunakan MCash dan ia juga tak tersedia di kebanyakan kedai untuk digunakan sebagai pembayaran. Lagi bagus kalau Huawei berikan sokongan Touch ‘n Go eWallet sebab lagi ramai yang guna dan ia satu ciri yang telah pun terdapat pada jam Huawei Watch GT 4.
Kecil tapi hayat bateri bagus
Bercerita berkenaan bateri pula, saya dapat gunakan jam sehingga 10 hari dalam satu isian penuh dengan penggunaan kasual seperti yang didakwa Huawei. Ini termasuk menggunakan GPS ketika bersukan, NFC, menjejak tidur dan memantau kadar degupan jantung berterusan. Untuk saiz sekecil ini, prestasi bateri yang ditawarkan memang cukup baik.
Nak mengecas pula, ia ambil masa kurang daripada sejam untuk penuh atau lebih tepat sekitar 51 minit. Bagaimanapun, jam ini tidak menyokong pengecasan wayarles Qi, hanya boleh dicas menggunakan pin magnetik di bawah jam. Tapi, satu benda menjengkelkan tentang pin magnetik ini adalah anda perlu letakkan pin dengan betul pada pin pengecasnya, kalau tidak pin tidak melekat pada jam.
Kesimpulannya, berbaloi ke?
Secara keseluruhan, tak dinafikan Watch Fit 3 ini sememangnya jam pintar yang lengkap dalam semua aspek. Walaupun nampak macam klon jam Apple dan tak mempunyai rupa yang original, sekurang-kurangnya Huawei implementasikan rupa dan ciri untuk Watch Fit 3 dengan sangat baik. la ada skrin besar cantik, rekaan menarik dengan butang ‘Rotating Crown’, ringan, serta jangka hayat bateri sangat memberangsangkan.
Tambahan pula ia ada GPS, fungsi untuk jawab panggilan dan paling menarik boleh tambah kad NFC ke dalam jam. Satu fungsi yang jarang ada dekat jam pintar lain. Cuma, satu kelemahannya adalah perbezaan fungsi yang ditawarkan pada peranti Android dan iOS. Kalau anda guna iOS dah tak dapat guna fungsi NFC.
Pada harga RM699, Watch Fit 3 ini sememangnya jam pintar berbaloi dengan harga dan ciri yang ditawarkan. Boleh lihat pesaing rapat kepada Watch Fit 3 ini adalah Amazfit Active yang baru sahaja diperkenal Februari lalu. Dengan harga RM629, Amazfit Active ada banyak ciri yang serupa dengan skrin AMOLED lebih kecil 1.72-inci, tapi ada hayat bateri lagi panjang dan lebih banyak mod sukan.
Selain itu adalah Xiaomi Watch S3 yang berharga RM549. Skrinnya AMOLED tapi kecil 1.43”, berbentuk bulat dengan bateri lebih besar. Watch S3 ini juga ada NFC, tapi hanya boleh guna untuk pembayaran gunakan Xiaomi Pay, tak boleh tambah kad NFC macam Watch Fit 3.
Jadi, apa tanggapan anda tentang Huawei Watch Fit 3? Berbaloi ataupun tidak? Tinggalkan pendapat anda di ruangan komen.