Nampaknya kerajaan Malaysia sedang ke arah untuk memodenkan sistem panggilan kecemasan negara. Dalam satu pengumuman, TM memaklumkan mereka telah memeterai perjanjian bersama kerajaan Malaysia untuk mengguna pakai sistem panggilan kecemasan baharu, Next Generation Emergency Services (NG999) bagi menggantikan Malaysian-Emergency Responses 999 (MERS999) sedia ada.
Sebagai salah satu cara untuk lakukannya, sistem panggilan kecemasan terbaru ini akan ditambah dengan ciri kecerdasan buatan AI serta teknologi canggih untuk menganalisis data. Sistem ini juga akan mengintegrasikan penggunaan peta digital berasaskan web, ID pemanggil, perkhidmatan geolokasi dan aplikasi mudah alih pintar ke dalam proses pengendalian insiden kecemasan.
Justeru, sistem NG999 ini akan dapat meningkatkan lagi kecekapan serta mengurangkan masa respon perkhidmatan kecemasan di seluruh negara. Berbanding sistem MERS999 yang diperkenal sebelum ini, ia berfungsi dengan menyatupadukan pangkalan data perkhidmatan kecemasan dan agensi-agensi berkaitan ke dalam satu talian.
Untuk makluman anda, TM juga adalah syarikat yang mengendali sistem MERS999 sejak ia diperkenal pada tahun 2007.
Selain itu, TM turut memaklumkan mereka akan memperkenalkan aplikasi baharu untuk NG999 untuk membolehkan pengguna untuk berkomunikasi bersama petugas kecemasan melalui teks, imej dan video. Ini pastinya dapat mempertingkatkan komunikasi antara pemanggil dan petugas kecemasan, misalnya menghantar gambar semasa di lokasi insiden.
Menerusi pemeteraian ini, TM dilantik untuk menyediakan infrastruktur rangkaian, platform, pengurusan panggilan dan juga perkhidmatan sokongan lain dalam sistem NG999. Perjanjian konsensi adalah selama 12 tahun, dengan 1 tahun adalah untuk fasa pembangunan, manakala 11 tahun lagi adalah untuk menguruskan perkhidmatan.
Menurut dokumen PDF perjanjian konsensi, nilai perjanjian yang ditandatangani adalah berjumlah RM1.25 bilion. Untuk pelaksanaannya, dijangka sistem NG999 akan beroperasi selewat-lewatnya pada tahun hadapan, menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Sekiranya sistem NG999 dilaksana kelak, pengguna juga tidak perlu risau kerana nombor perkhidmatan kecemasan masih kekal di talian 999, kerana pembaharuan sistem hanya melibatkan sistem panggilan kecemasan beroperasi.
[Sumber: TM / Harian Metro]