Honor mungkin tak mahu terlepas kehangatan Unpacked 2024 Samsung apabila mereka turut memperkenalkan telefon boleh lipat mereka, Honor Magic V3 dan Honor Magic Vs3 dalam minggu yang sama. Honor Magic V3 membawakan beberapa perubahan fizikal dan komponen dalaman untuk bersaing terus dengan Galaxy Z Fold 6.
Honor Magic V3 lebih nipis dan kalis air
Berbanding Honor Magic V2 yang mempunyai ketebalan (tidak termasuk bonggol kamera) 9.9mm, edisi kali ini mempunyai ketebalan 9.2mm sementara berat turun kepada 226g daripada 231g tanpa mengorbankan spesifikasi. Perubahan fizikal paling besar adalah kedudukan modul kamera yang kini terletak di bahagian tengah berbanding di penjuru kiri.
Namun, Magic V3s dilihat masih kekalkan kedudukan kamera di penjuru kiri.
Mekanisme engsel juga telah diperbaik. Honor telah melakukan ujian keteguhan lipat dan buka sebanyak 500 ribu kali. Akhirnya, telefon boleh lipat Honor boleh duduk sebaris dengan siri Samsung Z apabila ia kini kali air pada paras IPX8.
Spesifikasi teknikal Honor Magic V3 & Magic Vs3
Honor Magic V3 dan Vs3 mempunyai spesifikasi hampir serupa kecuali di bahagian kamera, cip pemproses, dan bateri.
Panel paparan bahagian luar mereka menggunakan panel LTPO sebesar 6.43” beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula boleh laras sehingga 120Hz dan kecerahan puncak 2,500nits. Apabila dibuka, pengguna dihidangkan dengan panel paparan LTPO sebesar 7.92” beresolusi 2344 x 2156 px, juga dengan kadar segar semula boleh laras yang sama. Kedua-dua paparan luar dan dalam menyokong Dolby Vision dan HDR serta input daripada stailus untuk pertingkat produktiviti pengguna.
Honor Magic V3 dab Magic Vs3 juga dilengkapi pengimbas cap jari di bahagian sisi yang disekalikan dengan butang perumah.
Atas papan utama, Honor Magic V3 diperkasa SoC Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 sementara Magic Vs3 ditunjangi SoC Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2. Namun, kedua-dua gunakan pilihan konfigurasi RAM + Storan maksimum yang sama iaitu pada tahap 16GB LPDDR5X dan 1TB UFS 4.0.
Untuk mengawal selia haba yang terhasil daripada komponen berprestasi tinggi, unit vapor chamber telefon telah diperbesar dan mengandungi materi titanium.
Di jabatan pengimejan, Magic V3 ada tiga buah kamera belakang dan dua buah kamera di bahagian panel paparan. Bermula di belakang, telefon ini ada kombinasi kamera 50MP (utama), 50MP telefoto 3.5x optikal, dan 40MP ultralebar. Kamera selfie pula menggunakan kamera 20MP yang sama. Daripada angka-angka ini, ia nampaknya sedikit lebih baik berbanding kamera Honor Magic 6 Pro.
Magic Vs3 mempunyai konfigurasi yang sedikit berbeza. Di baahgian belakang, ia ada kamera utama 50MP, kamera ultralebar 40MP, dan kamera telefoto 8MP. Kamera di paparan pula sama iaitu 16MP.
Honor Magic V3 ada sistem bateri berkapasiti 5,150mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W dan pengecasan wayarles 50W. Magic Vs3 juga menyokong sistem pengecasan yang sama namun kapasiti bateri pada 5,000mAh.
Honor Magic V3 setakat ini hanya ditawarkan untuk pasaran China pada harga seperti berikut:
- 12GB + 256GB – CNY8,999 (RM5,780)
- 16GB + 512GB – CNY9,999 (RM6,440)
- 16GB + 1TB – CNY10,999 (RM7,080)
Berikut adalah harga jualan Honor Magic Vs3
- 12GB + 256GB – CNY6,999 (RM4,440)
- 16GB + 512GB – CNY7,699 (RM4,150)
- 16GB + 1TB – CNY8,699 (RM5,600)
Sebagai perbandingan, Honor Magic V2 masuki Malaysia pada awal tahun ini pada harga RM6,999 dan ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu RAM 16GB dan storan 512GB.
Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.