Terdapat pelbagai kegunaan untuk tablet yang tiada pada telefon pintar. Melukis atau mencatat nota adalah salah satu daripadanya. Untuk keperluan itu, anda perlulah mencari tablet dengan sokongan pen stailus dan terdapat banyak pilihan tersedia dengan pelbagai tanda harga dari murah hinggalah mahal berkelas flagship.
Tetapi, jika anda tidak perlukan tablet flagship dan mahukan tablet sokong pen stailus paling berbaloi dengan harga masih mampu milik, di sini saya nak bantu anda. Siap ada yang anda boleh dapat pada harga bawah RM1,000 sahaja tau. Jadi, tanpa membuang masa, ini adalah senarai tablet tersebut.
1. Redmi Pad Pro

Pertama adalah Redmi Pad Pro baru yang sahaja diperkenal pada akhir Jun. Ia merupakan tablet termurah dalam senarai berharga RM999 yang ada sokongan stailus Redmi Smart Pen generasi pertama. Pen itu juga ada hayat bateri sehingga lapan jam. Bagaimanapun, pen stailus tidak didatangkan sekali dan perlu beli berasingan pada harga RM199.

Meskipun mampu milik, tablet ini ada paparan LCD besar 12.1-inci 120Hz dengan resolusi 2.5K, menjadikannya amat sesuai untuk melukis dan mencatat nota. Prestasi pun cukup tinggi dikuasakan Snapdragon 7s Gen 2 dan ia ada bateri paling besar 10,000mAh di samping menyokong pengecasan 33W. Cuma, kekurangannya ia tidak ada sokongan internet LTE.
Anda boleh dapatkan Redmi Pad Pro di Lazada dan Shopee.
2. Honor Pad 9

Kedua adalah Honor Pad 9. Tablet ini hadir dengan skrin LCD besar 12.1-inci 120Hz beresolusi tinggi 2.5K serta menyokong pen stailus Honor Choice Pencil. Lagi menarik, pen stailus juga didatangkan sekali bersama pakej pembelian, dan macam Redmi Smart Pen, ia ada hayat bateri sehingga 8 jam penggunaan.

Selain paparan besar, tablet ini ada prestasi cukup pantas dengan diperkasa cip Snapdragon 6 Gen 1, malah tablet turut tersedia dalam varian 5G. Maka, bolehlah anda gunakan tablet di mana sahaja tanpa perlu bergantung terhadap WiFi. Uniknya, tablet ini juga ada dimuatkan dengan sebanyak 8 speaker. Tetapi harganya sedikit mahal untuk varian 5G, iaitu RM1,799, berbanding WiFi pada RM1,499.
Anda boleh dapatkan Honor Pad 9 di Lazada dan Shopee.
3. iPad 10th Generation

Jika anda berada dalam ekosistem Apple, boleh dapatkan iPad 10th Gen. Meskipun sudah berusia hampir dua tahun, ia masih ada prestasi tinggi dipacu cip flagship Apple Bionic A14. Skrinnya agak kecil 10.9-inci menggunakan panel LED, tapi gunakan rekaan tanpa bezel dan tak ada butang Touch ID di bawah skrin seperti generasi sebelumnya, sebaliknya ada di butang kuasa.
Skrinnya juga menyokong penggunaan Apple Pencil generasi pertama, serta stailus boleh berikan masa penggunaan sehingga 12 jam.

Selain itu, tablet juga masih akan menerima sokongan iPadOS 18 terbaru yang dijangka tiba pada September. Bagaimanapun, iPad 10th Gen ini agak mahal kerana harga RM1,799 hanya mendapatkan anda varian WiFi dan storan kecil 64GB, dengan model selular pula pula berharga RM2,549. Storan besar 256GB pun ada, tetapi perlu tambah lagi RM750.
Anda boleh dapatkan iPad 10th Gen di Lazada dan Shopee.
4. Samsung Galaxy Tab S9 FE

Seterusnya adalah Samsung Galaxy Tab S9 FE. Ia adalah tablet Samsung berkelas pertengahan yang menyokong stailus S Pen. Lagi berbaloi sebab tablet ini didatangkan sekali bersama S Pen. Pen stailus itu boleh digunakan di atas skrin LCD 10.9-inci, tapi dengan kadar penyegaran sedikit rendah 90Hz. Cip yang digunakan ada prestasi biasa sahaja, tapi memiliki varian WiFi dan 5G, dengan harga bermula RM1,799 untuk storan 128GB.

Kapasiti bateri tablet tidaklah besar mana, 8,000mAh, tetapi ia sokong pengecasan pantas 45W. Menariknya tablet ini juga ada pengiktirafan kalis air IP68 bukan sahaja pada tablet, tetapi juga pada S Pen. Istimewanya, tablet ini juga satu-satunya menyokong mod komputer DeX untuk menambah baik produktiviti.
Anda boleh dapatkan Samsung Galaxy Tab S9 FE di Lazada dan Shopee.
5. Huawei MatePad 11.5S PaperMatte Edition

Tablet Huawei MatePad 11.5S ini juga antara baharu yang diperkenal pada bulan Jun. Ia adalah tablet paling unik kerana gunakan paparan ibarat kertas untuk berikan pengalaman melukis lebih realisitik dan gunakan salutan kurang silau. Nak melukis pun syok sebab skrinnya besar 11.5-inci jenis LCD 2.8K dengan kadar penyegaran paling pantas 144Hz.

Tablet ini juga menyokong stailus Huawei M-Pencil generasi ke-3, paling hebat sebab ada tahap tekanan mencecah 10,000 untuk lakaran lebih tepat dan berlatensi rendah gunakan teknologi NearLink. Pen stailus juga boleh didapatkan percuma dengan pembelian tablet pada harga RM2,499 untuk storan 256GB.
Tablet ini dikuasakan cip Kirin 9000WL, tapi tiada sokongan LTE atau 5G. Hanya WiFi sahaja.
Anda boleh dapatkan Huawei MatePad 11.5S di Lazada dan Shopee.