CMF, jenama mampu milik dari Nothing dah lancarkan CMF Buds Pro 2 sekitar awal Julai lepas. Ia merupakan kesinambungan daripada CMF Buds Pro. Macam semua produk CMF lain, Buds Pro 2 ini dikatakan menawarkan ciri premium tetapi mesra bajet. Ia dilancarkan di Malaysia pada harga RM299.
Pada harga tersebut, ia dilengkapkan dengan penyaring hingar aktif (ANC), kalis percikan air, dan ada kualiti audio yang sedap. Lagi menarik, ia juga datang dengan warna yang menyerlah dan diberi kelainan pada segi rekaan, terutamanya pada bekas pengecasnya yang lengkap dengan dail boleh diputar.
Jadi, dalam artikel ini, saya nak berkongsikan ulasan saya mengenai CMF Buds Pro 2 dan memperincikan segala perkara mengenai prestasi audio, tahap ANC, hayat bateri, kualiti panggilan dan keseluruhan pengalaman menggunakan CMF Buds Pro 2.
Buka kotak
Sebelum itu, mari kita buka kotak dan lihat apa yang ada di dalamnya.
Kotaknya biasa sahaja tiada apa yang istimewa sangat. Membukanya akan menemukan anda pada bekas pengecas fon putik itu sendiri. Kemudian, kalau keluarkan kotak di bawah bekas fon putik akan menemukan anda kepada kabel pengecas USB-C ke USB-C dan tip telinga silikon yang ada.
Serta, dekat tengah-tengah kotak bahagian dalam juga ada kod QR untuk muat turun aplikasi Nothing X.
Bekas pengecas unik dengan dail
Seterusnya, saya nak bercakap mengenai bekas pengecasnya. Ia hadir dengan rekaan berbentuk kuboid, rekaan yang sama dengan CMF Buds diperkenal sekitar April lepas. Malah memiliki dail yang boleh diputar yang sama. Tetapi, perbezaannya adalah, dail pada bekas Buds Pro 2 ini boleh berfungsi untuk digunakan sebagai kawalan dan bukan hanya aksesori semata-mata. Fungsinya akan diceritakan dengan lebih banyak kemudian.
Di atas bekas juga anda akan nampak logo CMF yang biasa ada pada produk CMF, dan untuk kemasan, bekas pengecasnya menggunakan kemasan plastik matte lembut di keseluruhan permukaan. Fizikalitinya tidaklah terlalu besar dan agak ringan mudah di bawa dalam poket. Namun, secara jujurnya, kualiti binaan bekas Buds Pro 2 ini terasa agak murah. Tetapi masih boleh diterima sebab ia merupakan fon putik mampu milik.
Sejurus membuka bekas, anda akan jumpa fon putik dan di dalam juga, terdapat tulisan ‘CMF by Nothing bersama-sama dengan butang di tengah-tengah fon putik untuk ‘pairing’. Di depan bekas pula terletaknya lampu indikator untuk status pairing atau bateri fon putik.
Tetapi walaupun binaannya rasa agak murah, engselnya ada kualiti yang baik dan bunyi ‘klik’ yang sedap apabila ditutup. Cumanya, saya selalu keliru bila di sisi mana nak buka bekas sebab rekaannya berbentuk kotak.
Melihat pada bahagian kanan pula, anda akan temui port USB-C untuk keperluan mengecas. Perlu untuk anda tahu juga yang bekas pengecas ini tidak sokong pengecasan wayarles macam fon putik Nothing Ear 2.
Rekaan selesa dipakai
Fon putik Buds Pro 2 ini menggunakan rekaan bertangkai macam model fon putik CMF yang lain dan memiliki tip silikon. Buds Pro 2 ini didatangkan dalam beberapa pilihan warna iaitu oren, putih, hitam dan macam yang ada pada saya ini, berwarna biru. Sebenarnya, saya agak kurang berkenan dengan warna biru ini sebab nampak terlalu menyerlah dan pelik bila pakai, lebih suka kalau warna yang biasa putih ataupun hitam.
Bagaimanapun, jika mengetepikan perkara itu, fon putik ini rasa memang selesa semasa dalam telinga. Tak rasa berat dan fon putik tak rasa mudah nak jatuh walaupun goncangkan kepala dengan kuat. Maknanya, fon putik ni juga sesuai untuk dibawa semasa berlari.
Tambah baik untuk berlari adalah, fon putik ini ada pengiktirafan kalis percikan air dan debu IP55, lebih baik daripada kebanyakan fon putik di luar sana. Malah AirPods Pro 2 yang harga jauh lebih mahal pun ada IP54.
Berkenaan tip silikon pula, fon putik ini didatangkan dalam tiga pilihan saiz termasuk S dan L. Sedia ada dipasang pada fon putik adalah saiz M, yang juga menyediakan kedapan paling sesuai untuk saya. Kalau nak tukar tip, anda boleh cabut sahaja tip pada fon putik dan sarungkan yang baru.
Oh ya, untuk gunakan fon putik, ia serasi dengan iOS dan Android kerana boleh disambungkan pada aplikasi Nothing X. Cara untuk sambungkan pun mudah, hanya perlu pilih fon putik.
‘Basshead’ pasti suka
Jadi, bagaimanakah bunyi yang dihasilkan Buds Pro 2 ini? Pendek kata ia memang ‘bass heavy’. Jika anda kaki bass, pasti anda akan sukakannya. Tetapi yang bagusnya, walaupun bunyi bassnya berdentum, ia tak mengatasi bunyi lain macam vokal dan instrumen lain, dengan kedua-dua bahagian mid dan treble masih kedengaran lunak dan jelas. Erti kata lain, kualiti audionya cukup sedap, walaupun ada bass yang kuat. Perlu untuk anda tahu yang audio yang saya katakan ini adalah pada tetapan default, iaitu Pop.
Terdapat beberapa lagi preset lain yang pengguna boleh ubah sekiranya sambungkan fon putik pada aplikasi Nothing X. Antaranya adalah Classical, Rock, Electronic, Enhanced Vocal ataupun ataupun custom yang membolehkan anda untuk menyesuaikan bass, mid atau treble mengikut citarasa anda.
Tetapi, ia ada satu lagi preset, iaitu Dirac Opteo. Ini paling saya suka sebab preset ini menjadikan bunyi kedengaran lagi penuh berbanding preset Pop. Agak sukar untuk percaya fon putik pada harga ini boleh hasilkan kualiti bunyi sesedap ini.
Cumanya, satu perkara yang perlu ditekankan adalah, apabila bertukar ke preset Dirac Opteo dari mana-mana preset lain, ia akan memberhentikan seketika lagu. Kalau bertukar selain preset Dirac Opteo ke preset lain, ia tidak akan mengacau main balik lagu dan lagu kekal dimainkan.
Sementara itu, katakanlah bass yang ada tak cukup, anda boleh naikkan tahap bass sehingga level 5, dan mematikannya kalau anda tak perlukan bass kuat. Tetapi, kalau matikan memang muzik terasa kosong sikit. Jadi, lebih elok anda hidupkan sahaja fungsi Ultra Bass.
Bukan itu sahaja, fon putik ini juga ada ciri Spatial Audio dengan ianya boleh diaktifkan melalui aplikasi Nothing X. Walau bagaimanapun, bila hidupkan fungsi Spatial Audio ini, bunyinya tak bergerak ikut kepala pun tetapi hanya meningkatkan kelantangan serta tambah baik sedikit kualiti lagu. Tetapi, bunyi sekelilingnya cukup bagus lah.
Secara keseluruhan, saya boleh katakan kualiti bunyi yang ditawarkan memang sangat bagus ada kualiti jelas dan paling penting bass sedap dan berdenutm.
Tahap ANC sangat baik
Seperkara menarik pada fon putik ini adalah, walaupun murah, ia turut memiliki fungsi ANC. Menurut CMF, tahap ANC-nya boleh singkirkan bunyi luar sampai 50dB. Nak hidupkan ANC boleh tekan lama pada permukaan fon putik dan selepas ANC dihidupkan, akan ada bunyi ‘dumm’ menandakan anda dalam mod ANC. Agak kuat juga bunyinya berbanding fon putik lain yang saya pernah guna.
Tetapi setelah hidupkan ANC, fon putik benar-benar dapat pekakkan telinga daripada segala bunyi luar dengan sangat baik. Ia boleh singkirkan bunyi bising macam vakum atau tren lebih baik daripada Galaxy Buds FE yang saya gunakan. Tambah menarik, tahap ANC fon putik ini turut boleh dilaras dari rendah hingga paling tinggi, dan ia juga ada mod Adaptive untuk laraskan tahap ANC secara pintar.
Namun, yang saya perasan dengan mod Adaptive ini, ia tak dapat ubahkan kekuatan ANC berdasarkan persekitaran, tetapi ubah secara rawak. Ini kerana, tahap ANC-nya sama sahaja walaupun suasana berubah daripada bunyi bising ke senyap. Cuma adakala kekuatan ANC berkurangan tiba-tiba walaupun tiada perubahan pada bunyi persekitaran.
Selain ANC, fon putik ini juga dilengkapkan dengan mod ‘Transparency’. Yang bagusnya, bunyi yang dikutip daripada mikrofon ada kualiti yang sangat jelas. Segala bunyi yang masuk di telinga tak kedengaran pelik tetapi natural. Hal ini dimungkinkan dengan enam mikrofon yang dimuatkan pada fon putik, atau lebih jelas tiga mikrofon di setiap fon putik.
Disebabkan itu juga, pengalaman panggilan pada fon putik ini juga agak baik. Setakat saya mengujinya, pemanggil boleh dengar suara saya dengan jelas dan nyata tanpa sebarang masalah. Jadi, kalau anda yang suka bergayut sambil pakai fon putik, CMF Buds Pro 2 ini pasti tak mengecewakan anda.
Kawalan lebih banyak melalui aplikasi Nothing X
Macam yang dikatakan awal tadi, penggunaan fon putik ini boleh disambungkan pada aplikasi Nothing X menggunakan sambungan Bluetooth 5.3. Ini juga bermakna ia serasi dengan peranti iOS dan Android. Tetapi telefon Android dan laptop Windows ada kelebihan sebab fon putik ini sokong sambungan pantas menggunakan Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair.
Disebabkan saya gunakan iPhone 12 Pro, saya perlu sambungkan fon putik secara manual pada aplikasi. Tetapi nak sambung pada aplikasi pun tak susah, hanya buka aplikasi dan pilih fon putik CMF Buds Pro 2. Dengan menyambungkan fon putik pada aplikasi, ia akan membukakan lebih banyak fungsi kawalan fon putik serta bekas pengecasnya, selain mengubah segala tetapan preset audio atau hidupkan Spatial Audio.
Fon putik ini juga menyokong kawalan melalui sentuhan pada permukaan fon putik dengan kawalan seperti tap dua kali untuk ke lagu seterusnya, tap tiga kali untuk main balik, tap dan sentuh lama untuk hidupkan ANC, secara default. Tap dua kali dan sentuh lama pula boleh disesuaikan untuk laraskan kelantangan audio atau pembantu virtual.
Setiap satu fon putik juga boleh disesuaikan untuk fungsi berlainan mengikut kesukaan anda. Namun, yang kurang syoknya, ia tak sokong main atau henti lagu dengan kawalan sentuh sekali, dan hanya boleh disesuaikan pada tetapan tap dua kali sahaja. Tak macam Galaxy Buds FE yang boleh tekan sekali pada fon putik untuk main/henti lagu, yang mana memudahkan sekiranya ada orang datang dan bertanyakan sesuatu
Namun begitu, Buds Pro 2 ini ada ciri pengesanan fon putik dalam telinga yang dapat hentikan muzik jika fon putik dikeluarkan daripada telinga.
Dail pada bekas fon putik turut boleh diubah suai fungsi kawalannya melalui aplikasi yang sama. Dail itu boleh ditekan ataupun diputar, dengan boleh ditetapkan untuk berfungsi untuk main/henti lagu, skip lagu, aktifkan pembantu virtual atau mod kependaman rendah dengan kawalan seperti tekan sekali, dua kali, tiga kali ataupun tekan lama.
Bagaimanapun, semasa mencuba mod kependaman rendah, saya rasakan tak ada banyak perbezaan berbanding dengan mod biasa. Untuk menonton video sudah cukup bagus. Tetapi kalau untuk gaming, memang terasa agak lag sikit bunyi. Ini mungkin sebab mod Low Lag ini hanya boleh digunakan dengan telefon CMF ataupun Nothing. Tetapi itupun hanya serendah 120ms sahaja, yang mana bukanlah terbaik kerana ada lagi fon putik di luar sana dengan kependaman rendah sekitar 40ms.
Namun bila hidupkan mod ini, akan terdapat suara ‘Low Lag Mode On’ untuk bezakan anda sedang di mod mana.
Tak dinafikan butang dail pada bekasnya memang agak berguna untuk ubah kelantangan audio berbanding menekan di fon putik. Tetapi sebenarnya, saya jarang gunakan dailnya. Saya rasa lebih senang dan cepat untuk ubah kelantangan melalui telefon ataupun laptop yang saya sedang gunakan, berbanding perlu mencapai bekas pengecasnya yang saya letak di dalam poket ataupun di atas meja.
Selain itu, fon putik ini juga mampu disambungkan pada dua peranti serentak, dan ia berfungsi dengan baik untuk bertukar input antara dua peranti. Tetapi, ia tak boleh hentikan input pada peranti audio yang sedang dimain secara automatik dengan mainkan audio di peranti kedua.
Dalam aplikasi juga, terdapat fungsi untuk menguji kesesuaian tip telinga fon putik untuk anda ketahui tip yang digunakan sesuai atau tidak, serta fungsi untuk mencari fon putik dengan memainkan bunyi pada fon putiknya sekiranya ia hilang dan tidak dapat dikesan.
Hayat bateri memadai
Beralih berkenaan bateri pula, saya boleh gunakan fon putik sehingga 7 jam dengan ANC kadang kala hidup atau mati, yang mana cukup bagus untuk fon putik kategori ini. Ia juga sebenarnya lebih kurang sama dengan dakwaan CMF, yang memberitahu fon putik dapat berikan masa penggunaan sehingga 6.5 jam main muzik dengan ANC dihidupkan.
Dengan bekas pengecas, saya mengecas fon putik tiga atau empat kali sebelum bekas pengecas betul-betul kehabisan bateri. Untuk mengecas penuh bekas, ia ambil masa sekitar satu jam untuk penuh menggunakan port USB-C. Seperti yang boleh anda jangka, sebagai fon putik dalam kategori mampu milik, bekasnya tak menyokong pengecasan wayarles.
Fon putik mampu milik terbaik?
Secara keseluruhan, CMF Buds Pro 2 ini memberikan nilai yang mengagumkan dengan ciri dan pakej yang ditawarkan. Ia ada rekaan selesa dan ringan, kalis air IP55, serta ada butang dail unik yang boleh digunakan untuk pelbagai kawalan. Kualiti audio yang dihasilkan juga sangat baik dengan bass berdentum. Tetapi sudah tentulah tidak sebaik fon putik mewah seperti Technics AZ80 yang saya pernah reviu sebelum ini.
Tetapi untuk harga terlalu murah hanya RM299, sukar untuk tak suka CMF Buds Pro 2 ini. Malah, fungsi ANC-nya juga berfungsi dengan sangat baik untuk menyingkir bunyi luar. Jadi, sekiranya anda mahukan fon putik bajet yang lengkap, boleh pertimbangkan CMF Buds Pro 2 ini. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.