Selepas lebih sebulan OnePlus Nord 4 dilancar di pentas antarabangsa, kini OnePlus Malaysia telah mengumumkan ketibaannya di Malaysia. OnePlus Nord 4 merupakan telefon kelas pertengahan premium yang diperkasa cip Snapdragon terkini, serta diberikan naik taraf besar pada bahagian bateri, pengecasan, serta memiliki badan jauh lebih nipis berbanding generasi sebelumnya.
Harga dan tempahan awal OnePlus Nord 4 di Malaysia
Kepada yang berminat, tempahan awal OnePlus Nord 4 telah pun dibuka bermula 23 Ogos dan akan berakhir pada 30 Ogos ini. Harga jualan OnePlus Nord 4 di Malaysia adalah pada RM2,599 untuk konfigurasi RAM 16GB dan storan 512GB. Anda boleh dapatkannya di stor online OnePlus, Lazada dan juga Shopee.
Menariknya, mereka yang menempah awal OnePlus Nord 4 turut akan diberikan kepala pengecas OnePlus 100W bernilai RM199 secara percuma. Lebih banyak penjimatan turut disediakan kepada mereka yang menempah awal di E-store, Direct D dan kedai jenama OnePlus, dengan OnePlus menawarkan potongan harga RM100, menjadikannya pada harga RM2,499.
Spesifikasi OnePlus Nord 4
Bermula daripada paparan, OnePlus Nord 4 ini masih mengekalkan saiz sama seperti Nord 3. Ia didatangkan dengan skrin AMOLED 6.74-inci dengan resolusi 2772×1240 dan kadar segar semula 120Hz. Skrinnya ada kecerahan puncak setinggi 2,150 nits, cakupan warna sRGB 100% dan sokong HDR10+.
Apa yang menariknya, skrin Nord 4 ada bezel ultra nipis hanya 1.46mm dan kini menggunakan badan diperbuat daripada logam unibody dengan nipis 7.99mm. Sebagai perbandingan, Nord 3 ada ketebalan 8.2mm. Panel belakangnya juga menggunakan rekaan dwitona dengan satu daripada warna yang tersedia ada kemasan bertekstur.
Atas papan utama, OnePlus Nord 4 diperkasa cip Snapdragon 7+ Gen 3 dengan gandingan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 4.0 sehingga 512GB. Bahagian bateri dinaik taraf pada 5,500mAh dengan sokongan pengecasan lebih pantas, SuperVOOC 100W. OnePlus dakwa untuk cas dari 0 ke 100% hanya mengambil masa 28 minit.
Di bahagian pengimejan, model terbaru ini menampilkan sistem dua kamera iaitu kamera utama 50MP OIS F1.8 gunakan sensor Sony LYTIA dan kamera ultralebar 8MP F2.2. Tiada kamera telefoto mahupun makro disediakan. Untuk selfie pula, terdapat kamera hadapan 16MP F2.4.
Daripada segi perisian, ia akan menjalankan Oxygen OS 14.1 berasaskan Android 14. Antara ciri AI yang akan dibawakan pada Nord 4 termasuk AI Best Face dan AI Clear Face untuk tambah baik gambar, serta AI Eraser untuk padam objek dalam gambar dan AI Article Summary bagi menyediakan rumusan apa yang terpapar pada skrin.
Selain itu, tahap kekalisan air yang disokong adalah IP65 dan OnePlus memaklumkan Nord 4 menerima kemas kini OS selama 4 tahun dan kemas kini keselamatan 6 tahun. Lagi ciri lain yang ada pada Nord 4 termasuk NFC, Bluetooth 5.4, 5G dan WiFi 6. Ia akan tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu perak, hijau dan hitam.
Sebagai perbandingan dengan generasi sebelumnya OnePlus Nord 3, model terbaru OnePlus Nord 4 ini RM400 lebih mahal tetapi didatangkan dengan banyak peningkatan. Ia termasuk penggunaan storan lebih baik UFS 4.0, badan lagi nipis, cip lebih baru, bateri besar 5,500mAh dan kemas kini OS satu tahun lebih panjang.
Namun, sementara sesor kamera utamanya diperbaharui kepada Sony LYTIA, Nord 4 terbaru ini kehilangan kamera makro 2MP.
Untuk maklumat lanjut tentang spesifikasi, anda boleh layari laman produk OnePlus Nord 4.