Belum sampai setahun Realme 12 Pro+ dilancarkan, kini Realme telah melancarkan sekuel terbaru, iaitu siri Realme 13 Pro yang terdiri daripada dua model serupa iaitu Realme 13 Pro dan 13 Pro+. Model Realme 13 Pro+ adalah model yang lebih tinggi dan macam generasi sebelum ini, kelebihan model Pro+ ini adalah ia memiliki kamera telefoto periskop dengan kemampuan zum jauh.
Namun, kali ini Realme telah menambah keupayaan fotografi AI yang dapat menawarkan imej lebih baik. Harganya pun kini lebih mahal, meningkat RM200 berbanding Realme 12 Pro+ terdahulu. Oleh itu, adakah naik taraf yang dibawakan memberikan alasan yang kuat untuk Realme menaikkan harganya?
Dalam artikel ini, saya nak kongsikan pengalaman dan pendapat saya menggunakan Realme 13 Pro+.
Spesifikasi Realme 13 Pro+
- SoC: Qualcomm Snapdragon 7s Gen 2
- RAM: 12GB
- Storan: 512GB
- Skrin: AMOLED, 6.7-inci, HD Penuh, 120Hz, 2,000 nits
- Kamera Utama: 50MP OIS Sony LYT-701
- Kamera telefoto periskop 50MP Sony LYT-600
- Kamera Ultralebar: 8MP
- Kamera Hadapan: 32MP
- Bateri: 5,200mAh
- Pengecas: USB-C 80W
- Audio: Speaker Stereo
- OS: Realme UI 5.0, Android 14
Rekaan atau rupa lebih elegan
Seperti biasa, kita mulakan dengan rekaan. Realme 13 Pro+ ini masih mewarisi rekaan Realme 12 Pro+ sebelum ini, tampil dengan bulatan besar di belakang di bahagian modul kamera dan skrin melengkung berukuran sama. Namun, sesuatu yang baru adalah, pada kemasan panel belakangnya. Realme 13 Pro+ kini menggunakan kemasan baharu berwarna emas yang katanya diinspirasi daripada seni Monet, memang berikan sentuhan lebih elegan. Sekilas pandang, nampak macam marmar pun ada.
Daripada segi tekstur panel belakang itu sendiri, teksturnya terasa lembut di tangan dan seakan sama dengan tekstur di Infinix Zero 30 yang saya pernah reviu sebelum ini. Di modul kamera pula, saiz bulatan dilihat masih tidak berubah, tetapi model 13 Pro+ ini kini ditambah dengan perkataan HYPERIMAGE+ untuk menunjukkan naik taraf pada sistem kameranya. Itu akan diceritakan lebih banyak nanti.
Walaupun rekaan telefon ini nampak cantik, bingkai telefon ini agak nipis dan susah nak genggam dengan baik disebabkan skrinnya yang melengkung. Malah, bingkai telefon juga terasa licin bila dalam tangan, jadikan saya tak berapa yakin nak gunakan telefon tanpa sarung. Mujurlah Realme ada berikan sarung dalam kotak dan uniknya ia ada tekstur yang macam kulit. Sedap sikit nak pegang.
Kualiti warna skrin sedikit kebiruan secara default
Berkenaan skrin, panel paparan yang digunakan Realme 13 Pro+ adalah AMOLED dan pada tetapan default, ia gunakan mod warna ‘vivid’. Akan tetapi, saya tak berapa gemar warna pada mod ini kerana tona warnanya lebih kepada biru dan secara peribadi saya lebih suka mod ‘Cinematic’ di bawah mod Pro. Tona warna nampak lagi warm, serta keseluruhan warna lagi terang dan cantik.
Tiada masalah pada kelajuan skrin dan ia terasa lancar serta responsif. Tapi, perlu diingatkan yang panel paparannya bukan jenis LTPO, jadi hanya sokong 60Hz atau 120Hz. Tak ada kadar penyegaran adaptif untuk jimat tenaga.
Mungkin tidak ramai yang kisahkan tentang haptik, tetapi saya nak tekankan yang maklum balas haptik pada telefon ini terasa premium bila menatal atau menaip, dan tak seperti telefon-telefon lain dalam segmennya.
Prestasi masih berkelas pertengahan
Beralih pada bahagian prestasi, saya tidak mengalami sebarang masalah lag atau kelengahan dengan Realme 13 Pro+ ini. Telefon terasa lancar dan mampu untuk jalankan pelbagai aplikasi dengan baik. Pada kebanyakan masa, saya gunakannya untuk melayari media sosial, menstrim video atau bermain game, dan semuanya rasa lancar tanpa sebarang lag berlaku.
Telefon ini digerakkan oleh cip Snapdragon 7s Gen 2, iaitu cip sama yang digunakan pada model generasi lepas. Kalau nak kata cip ini terlalu berkuasa itu tidaklah sebab hanya berkelas pertengahan, tetapi memadai pada penggunaan saya.
Kalau main game ringan Mobile Legends memang lancar. Tetapi walaupun lancar, grafik yang disokong sampai ‘High’ sahaja, tidak boleh ditetapkan pada ‘Ultra’. Kalau game berat macam Genshin Impact, barulah nampak jelas telefon ini kurang berkuasa. Game masih boleh dijalankan, tapi grafik kena turunkan ke ‘Low’ dengan 30fps untuk pengalaman bermain yang lagi lancar. Kalau main dengan tetapan Medium dan 60fps, memang tersekat-sekat dan tak boleh main.
Bagaimanapun, apa yang saya kagum adalah, telefon tak rasa panas walaupun main dalam tempoh lama. Ini mungkin disebabkan Realme melengkapkan 13 Pro+ ini dengan kebuk wap atau vapor chamber yang lagi besar berbanding generasi sebelumnya.
Bagi anda yang nak tahu hasil ujian penanda aras, berikut saya sertakan hasil ujian Realme 13 Pro+ ini peroleh di Geekbench 6 dan juga 3DMark.
Markah yang diperoleh Realme 13 Pro+ ini sebenarnya lebih kurang sama dengan Realme 12 Pro+ di Geekbench 6 dan 3D Mark. Jadi, boleh dikatakan tiada kenaikan prestasi berbanding generasi lepas, yang juga sesuatu yang tidak mengejutkan disebabkan penggunaan cip yang sama.
Sistem kamera dengan fotografi AI
Sama macam generasi lepas, Realme 13 Pro+ ini turut diiklankan didatangi dengan sistem kamera hebat dan kali ini menggunakan seni bina HYPERIMAGE+ dikuasakan AI. Kalau tengok daripada segi perkakasan, kamera utamanya masih ada kiraan megapiksel 50MP, tetapi gunakan sensor baru Sony LYT 701, manakala kamera telefoto periskop pula adalah 50MP guna sensor LYT 600. Kamera ultralebar pula tidak berubah 8MP.
Menangkap menggunakan kamera utamanya berikan hasil imej tajam dengan penghasilan warna yang cantik. Di kawasan cerah, tahap HDR juga dapat dikendalikan dengan baik di kamera utamanya. Tetapi hasil gambar malam kamera utama sedikit kurang memuaskan kerana gambar nampak gelap dan butiran tak dapat dikekalkan.
Saya juga perasan yang sewaktu menangkap, kadangkala mengambil masa sedikit lama untuk gambar diproses. Untuk lebih jelas, berikut adalah hasil tangkapan daripada kamera utama:
Kamera utama
Bagi kamera ultralebar pula, hasilnya ok ok sahaja dan kualitinya tidaklah setajam kamera utama. Saya juga tekankan yang warna kamera ultralebar dan kamera utama berbeza sedikit, dengan hasil daripada kamera ultralebar ada tona warna yang lebih warm, manakala kamera utamanya lebih natural.
Kamera ultralebar
Kamera periskop boleh zum jauh, tapi kurang memuaskan
Prestasi zum telefon ini sebenarnya tidak berubah berbanding model sebelum ini. Lensa telefoto periskop Realme 13 Pro+ mampu mengezum sehingga 6x dengan kualiti lossless dan sehingga 120x secara digital. Hasil imej zum jauh 6x atau sehingga 30x masih buahkan imej yang masih jelas, tetapi saya dapati yang tahap HDR-nya tidak berapa konsisten.
Ini kerana, apabila zum 6x atau lebih daripada itu, kadangkala gambar ditangkap tanpa HDR, lantas mengakibatkan keseluruhan gambar kelihatan gelap dan suram. Boleh lihat bahagian langit pada imej zum 6x nampak gelap, jauh berbeza dengan gambar zum 3x yang kelihatan lagi cerah. Ini mungkin sesuatu perkara yang Realme boleh perbaiki pada model akan datang.
Jika anda tertanya bagaimana hasil zum sehingga 120x, macam biasa gambar akan ada banyak noise dan kelihatan kabur, tetapi masih berguna kalau nak nampakkan kepada ada perkataan yang terlalu jauh.
Ciri yang terdapat di mod Street
Sistem kamera Realme 13 Pro+ turut ada mod ‘Street’ dan ia sama sahaja tawarkan zum sampai 6x dengan kiraan mm, boleh zum sehingga 144mm. Lagi perkara yang ada dalam mod ini adalah anda boleh pilih untuk tukar fokus kepada manual dengan boleh melaraskan menggunakan slider yang ada.
Terdapat juga fungsi Auto Zoom yang saya rasakan berguna kalau anda mahukan tangkapan zum yang cepat, kerana anda hanya perlu tap sekali dan kamera akan mengezum 2x pada subjek.
Hasil kamera hadapan
Selfie pula boleh ditangkap menggunakan kamera 32MP. Hasil daripadanya agak baik dan jelas, cuma boleh nampak warna kulit tidak berapa asli dan sekata sangat sebab ada bahagian kulit yang nampak kemerah-merahan.
Fungsi AI baharu di sistem kamera
Selain perubahan perkakasan kamera, tambahan ciri terbaru untuk model Realme Pro kali ini adalah fungsi AI. Ada beberapa ciri yang diperkenalkan dan antaranya adalah AI Ultra Clarity. Fungsi ini membuatkan warna lagi menyerlah dengan menggelapkan kawasan gelap pada gambar.
Fungsi AI Ultra Clarity, AI Eraser dan AI Audio Zoom
Kemudian ada juga AI Eraser yang anda boleh guna untuk padam objek yang tak diingini dalam gambar. Pada ujian saya, hasilnya agak baik tetapi tak sempurna kalau objek yang dipadam terlalu besar.
Rakaman di telefon ini turut didatangkan dengan fungsi AI Audio Zoom yang dapat meningkatkan suara seiring dengan pengezuman yang kita lakukan. Ibarat kita semakin dekat dengan subjek sewaktu merakam. Masa main balik video, memang jelas kelantangan suara dinaikkan seolah-seolah telefon dibawa dekat ke subjek semasa merakam, agak menarik juga.
AI Smart Loop
Fungsi AI di telefon ini tidak terhad pada sistem kameranya sahaja. Ia juga ada ciri lain macam AI Smart Loop yang membenarkan kita copy apa-apa kandungan macam gambar atau teks dengan mudah ke aplikasi lain, dengan meleret ke kiri atau kanan skrin telefon. Macam Magic Portal di Magic 6 Pro pun ada.
AI Screen Recognition
Lagi yang menarik, terdapat juga fungsi AI Screen Recognition yang membenarkan pengguna untuk imbas perkara yang ada di skrin. Tetapi ia sokong digunakan diaplikasi tertentu saja macam YouTube, TikTok dan Instagram. Agak menarik juga sebab lepas copy apa sesuatu boleh mengaktifkan AI Smart Loop untuk bawakan benda yang disalin ke aplikasi lain.
Hayat bateri mengagumkan
Bahagian bateri Realme 13 Pro+ telah dinaik taraf untuk ada kapasiti lagi besar. Berbanding 5000mAh di Realme 12 Pro+, Realme 13 Pro+ kini ada bateri 5,200mAh di dalam. Walaupun kenaikan tidaklah terlalu banyak, saya agak terkejut dengan prestasi bateri telefon ini. Saya boleh gunakan telefon sehingga dua hari sebelum bateri betul-betul kering.
Masa screen-on-time yang dapat dicapai adalah sehingga 7 jam, paling panjang di telefon pintar yang saya pernah reviu setakat ini. Main Mobile Legends 2 jam pun hanya makan bateri 20%. Kalau kehabisan bateri, telefon ini boleh diisi dengan pantas, ambil masa 50 minit untuk penuh kerana sokong pengecasan 80W.
Tetapi kekurangannya, ia tak ada pengecasan wayarles, iaitu satu ciri yang sepatutnya ada pada lingkungan harganya.
Antara muka penuh aplikasi diprapasang
Mengulas tentang sistem operasi pula, sistem operasi yang digunakan adalah Realme UI 5.0 berasaskan Android 14. Saya tiada masalah dengan antara mukanya, tetapi satu masalah adalah banyak sangat aplikasi yang dah dipra-pasang sejurus hidupkan telefon. Ada juga yang diletakkan dalam folder. Tetapi mujurlah aplikasi dan folder ini boleh dipadam.
Adakah Realme 13 Pro+ pilihan paling berbaloi?
Secara keseluruhannya, saya rasakan Realme 13 Pro+ ini adalah telefon yang cukup bagus dalam banyak aspek. Namun, selain daripada fungsi AI, ia tidak banyak berubah berbanding generasi sebelumnya. Kemampuan zum jauh masih sama macam Realme 12 Pro+ walaupun gunakan sensor baharu, dikuasakan cip sama serta keseluruhan rekaan pun tidak banyak berubah, kecuali kemasan panel belakangnya.
Sementara ia mampu zum jauh, tahap Dynamic Range dan penghasilan warna kamera periskopnya juga kurang memuaskan. Tetapi tidaklah semuanya negatif tentang sistem kameranya. Kamera utama Realme 13 Pro+ ada hasil bagus untuk situasi dengan cahaya mencukupi, serta ciri fotografi AI macam AI Ultra Clarity dan AI Eraser sememangnya berguna jika anda mahukan tingkatkan kualiti gambar dan memadam objek.
Selain itu, kelebihan lain telefon ini juga ia memiliki jangka hayat panjang dan sokong pengecasan pantas. Meskipun prestasi yang telefon ini ada sudah cukup bagus, tetapi pada harganya, anda boleh dapat telefon lebih berprestasi tinggi. Malah, boleh juga dapat telefon yang ada pengecasan wayarles.
Alternatif kepada Realme 13 Pro+
Realme 13 Pro+ berharga RM2,299 dan pada saya, ada beberapa alternatif yang lagi baik. Contohnya Xiaomi 14T, dijual pada harga RM2,199 untuk varian RAM 12GB dan storan 512GB. Xiaomi 14T turut dilengkapi kamera telefoto 50MP yang ditala Leica, prestasi lebih berkuasa dengan cip Dimensity 8300-Ultra dan sokong pengecasan wayarles pantas 50W. Malah, Xiaomi 14T juga ada tahap kekalisan air IP68 berbanding IP65 di Realme 13 Pro+.
Selain itu, pilihan lain yang ada adalah Honor 200 Pro yang berharga RM2,499 untuk konfigurasi RAM 12GB dan storan 512GB. Telefon Honor ini juga diperkasa cip flagship Snapdragon 8s Gen 3 yang jauh lebih berkuasa, ada kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 2.5x serta juga sokong pengecasan wayarles pantas 66W.
Apa tanggapan anda tentang Realme 13 Pro+ ini, adakah ia berbaloi pada harga RM2,399? Tinggalkan pendapat anda di ruangan komen. Kalau anda berminat, anda boleh beli Realme 13 Pro+ di Lazada dan Shopee.