Realme telah mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan telefon pintar kelas permulaan terbaharu, Realme 14x di Malaysia tidak lama lagi. Ia merupakan pengganti kepada Realme 12x yang dilancar sekitar Mei tahun lalu, tetapi masih mengekalkannya sebagai telefon pintar 5G dengan julat harga RM1000.
Tarikh pelancaran Realme 14x telah pun ditetapkan pada hari Jumaat, 24 Januari 2025. Menurut Realme, Realme 14x akan membawakan empat naik taraf termasuk binaan lebih teguh dan tahan lasak, rekaan ergonomik untuk cengkaman yang lagi selesa, ciri AI lebih pintar yang meningkatkan produktiviti serta penggunaan cip lebih berkuasa.
Bagaimanapun, tidak banyak maklumat spesifikasi yang didedahkan oleh Realme Malaysia berkenaan Realme 14x, selain yang ia akan diperkasa cip MediaTek 6300 5G dan ada skrin 120Hz, seperti yang dinyatakan pada imej pelancaran Realme 14x di Malaysia.
Memandangkan Realme 14x telah pun dilancarkan di India pada bulan lepas dengan cip yang sama, kita dapat tahu yang model Malaysia akan berkongsi sedikit persamaan spesifikasi dengan model di India.
Spesifikasi Realme 14x
Di India, Realme 14x dikuasakan cip MediaTek 6300 5G yang dipadankan dengan RAM sehingga 8GB dan storan 128GB. Bahagian skrinnya menggunakan paparan sebesar 6.67″ jenis LCD dengan resolusi HD 720p dan kadar penyegaran 120Hz. Kecerahan puncak yang disokong panel adalah 625 nits.
Untuk perlindungan, Realme 14x ini ada rekaan tahan lasak dengan rintangan jatuh bergred tentera, serta diiktiraf kalis air dan debu IP69/68. Ia juga didatangkan dengan fungsi SonicWave Water Ejection untuk mengeluarkan lebih air daripada speaker.
Bahagian kamera Realme 14x dilengkapi dengan kamera utama 50MP dan kamera hadapan 8MP. Tenaga telefon disalurkan oleh bateri berkapasiti 6,000mAh dengan sokongan pengecasan 45W. Sistem bunyinya adalah jenis mono dan ia ada pengimbas cap jari di sisi.
Ciri ketersambungan yang ia ada termasuk 5G, Bluetooth 5.3 dan WiFi 5. Ia menjalankan Realme UI 5.0 berasaskan Android 14.
Harga Realme 14x bawah RM1,000?
Maklumat harga dan varian yang ditawarkan di pasaran tempatan sudah tentu akan didedahkan sewaktu pelancarannya di Malaysia yang akan diadakan beberapa hari lagi. Apa yang pasti, harganya akan diletakkan pada paras sekitar RM1,000. Sebagai perbandingan, Realme 12x dilancarkan pada hagra RM899 untuk RAM 8GB dan storan 128GB, manakala RM1,099 untuk RAM 8GB dan storan 256GB.
Mari kita sama-sama nantikan pelancaran Realme 14x yang berlangsung pada 24 Januari nanti.