Selepas siri Realme 13 dilancarkan sekitar Oktober tahun lalu, kini Realme telah memperkenalkan model pertama dalam sekuel terbaru siri Realme 14, iaitu Realme 14x di Malaysia. Ia merupakan telefon kelas pertengahan dan pengganti kepada Realme 12x yang dilancar Mei 2023.
Seperti Realme 12x, Realme 14x masih diposisikan sebagai telefon 5G mampu milik, tetapi dengan fungsi AI yang lebih lengkap dengan Realme menggelarkannya sebagai telefon 5G AI terbaik untuk kelas permulaan.
Selain 5G dan fungsi AI baharu, apakah perkara menarik yang Realme bawa pada Realme 14x dan apakah kelebihan dan kekurangan pada telefon pintar ini? Dalam artikel ini, saya akan berkongsikan ulasan serta pendapat saya tentang Realme 14x selepas menggunakannya buat beberapa ketika.
Spesifikasi Realme 14x 5G
- Cipset: Mediatek Dimensity 6300 5G
- RAM: 8GB
- Storan: 256GB, kad MikroSD sehingga 1TB
- Skrin: LCD 6.4″, FHD+ 2400×1080, 90Hz, 1,000nits
- Bateri: 5,000mAh
- Pengecas: SuperVOOC 15W USB-C
- Kamera Hadapan: 8MP
- Kamera Belakang: 50MP
- OS: Realme UI 6.0 berasaskan Android 15
- Speaker: Mono, jek audio 3.5mm
Rekaan badan teguh, kalis air IP64
Seperti biasa, kita mulakan dengan rekaan. Realme 14x menggunakan bingkai sisi rata dengan kemasan belakang plastik matte, yang boleh dilihat sangat mirip dengan Realme C75. Apabila dalam tangan, telefon terasa ringan dan selesa untuk digenggam, malah bingkainya juga tidak rasa tajam.
Dimensi telefon yang agak kurus juga memudahkan telefon digunakan satu tangan. Untuk warna, unit yang kami terima adalah berwarna hitam yang bagusnya, ia tidak mengutip cap jari. Jadi kalau tak pakai sarung sekali pun bukan satu masalah.
Secara keseluruhan, saya rasakan binaannya cukup kukuh, tetapi tidaklah terasa premium. Tetapi satu kelebihan yang diketengahkan Realme untuk telefon ini adalah, ia menggunakan rekaan tahan lasak dan mampu untuk serap hentakan jatuhan dengan baik.
Bagi menguji ketahanan telefon ini, saya cuba jatuhkannya daripada paras kepala sebanyak 2-3 kali, dan telefon masih berfungsi sepenuhnya. Tetapi sudah tentu ada sedikit kesan-kesan calar pada bingkainya. Kalau tak nak calar, pasang sahaja pelindung getah yang Realme bagi dalam kotak.
Selain itu, telefon ini juga diiktiraf kali air dan debu IP64, jadi kalau terkena percikan air memang bukan masalah. Tetapi yang menariknya, ia lengkap dengan fungsi “SonicWave Ejection bolehkan lebihan air dikeluarkan daripada speaker. Setakat saya uji, ia memang berkesan untuk keluarkan air, tetapi perlu naikkan kelantangan pada paling kuat.
Pengimbas cap jari pun terdapat di butang kuasa dan setakat saya cubanya, ia dapat mengecam jari dengan pantas. Lagi menarik sebab butang kuasanya turut ada fungsi Dynamic Button untuk lebih banyak kawalan telefon. Dengannya, anda boleh gunakan fungsi seperti tap dua kali untuk tukar mod kepada Vibrate dan sapu ke atas atau bawah untuk laraskan kelantangan audio.
Skrin tidak berapa tajam, tapi ada tahap flicker rendah
Di paparan, Realme 14x ada skrin yang agak besar juga, berukuran 6.4-inci. Panel paparannya ada kecerahan memadai untuk penggunaan di luar serta cukup responsif. Tetapi warna yang dihasilkan sedikit kurang cantik disebabkan ia menggunakan panel LCD, serta kandungan juga nampak tak berapa tajam kerana resolusinya hanya HD 720p.
Bingkai di bawah telefon lebih tebal berbanding sisi lain, kalau pandang lama-lama sakit juga mata. Meskipun begitu, kelebihan skrin yang digunakan pada Realme 14x adalah, ia ada tahap flicker rendah. Walaupun tidak nampak pada mata kasar, skrinnya tidak berikan saya sakit mata apabila gunakan dalam gelap.
Kalau bandingkan skrin Realme 14x dengan iPhone 15 Plus yang harganya empat kali ganda lebih mahal, jelas terlihat yang skrin Realme 14x mempunyai tahap flicker yang sangat minima atau langsung tidak ada.
Berkenaan sistem bunyi pula, Realme iklankan yang telefon ini ada kelantangan kuat boleh naik sehingga 300%. Ya, memang speakernya kuat, tetapi kurang syok apabila main game atau tonton video kerana mono dan bukan stereo. Untuk paras harganya, sepatunya konfigurasi speaker stereo sudah menjadi kebiasaan, apatah lagi Infinix Smart 9 yang harga RM300 pun ada speaker stereo, jadi ia agak mengecewakan. Kalau nak dengar guna fon telinga berwayar, ia ada jek audio 3.5mm.
Satu lagi benda yang perlu ditekankan adalah telefon ini ada NFC. Jadi anda tidak ada masalah nak gunakannya untuk tambah nilai kad TNG atau buat pembayaran guna Google Pay.
Prestasi biasa-biasa sahaja dengan 5G
Realme 14x diperkasa cip MediaTek Dimensity 6300, cip yang hampir berusia satu tahun. Cip ini ada sebanyak 8 teras CPU yang terbahagi dalam dua kluster iaitu, 2 teras kelajuan 2.4Ghz dan 6 teras kelajuan 2.0Ghz. Prestasinya bukanlah tertinggi dalam segmennya, tetapi masih memadai untuk penggunaan harian dan yang penting, ada sokongan 5G.
Bagi menguji prestasi Realme 14x, saya cuba bermain Mobile Legends. Tetapan grafik tertinggi yang disokong adalah pada High. Semasa bermain, grafik nampak cantik dan tidak terlalu berpiksel, serta permainan boleh kekal FPS pada 60fps untuk gaming jangka masa lama. Tetapi, permainan rasa tidak responsif dan rasa sedikit lengah.
Bagi anda yang mahukan keputusan tanda aras, ini saya kongsikan hasil daripada ujian Geekbench 6. Ia mencatat markah 785 untuk teras tunggal dan 2014 untuk pelbagai teras. Ini bermakna, prestasi yang dimiliki Realme 14x rendah sedikit daripada cip Snapdragon 4 Gen 2, yang peroleh skor 918 untuk teras tunggal dan 2121 bagi pelbagai teras.
Walaupun prestasinya tidaklah terlalu tinggi, ia memadai untuk penggunaan harian saya. Dan yang bagusnya, telefon juga tidak terasa panas sewaktu menjalankan tugas berat untuk jangka masa lama.
UI penuh bloatware, banyak fungsi AI
Bercakap mengenai perisian, sistem operasi yang digunakan pada Realme 14x adalah Realme UI 6.0 berasaskan Android 15. Lepas hidupkan telefon, ada banyak aplikasi-aplikasi bloatware yang siap diprapasang. Penuh dekat antara muka. Ada daripadanya game, ada juga daripadanya aplikasi utiliti untuk gambar dan video.
Walaupun boleh buang semua bloatware ini, kehadirannya membuatkan pengalaman penggunaan telefon kurang menarik. Nampaknya Realme kena belajar dengan Infinix untuk buatkan UI mereka bebas bloatware. Tetapi tidak semuanya buruk tentang sistem operasinya sebab Realme telah memuatkan sejumlah ciri AI berguna pada Realme 14x.
Antaranya ia ada AI Clear Face untuk pulihkan semula gambar yang kabur. Hasilnya agak baik dan tidak perlukan lama untuk memproses. Ada juga fungsi AI Smart Image Matting, bolehkan anda untuk crop untuk jadikannya sebagai sticker atau kongsi dan menyimpannya.
Macam telefon Realme lain, terdapat juga fungsi AI Smart Loop yang membenarkan anda untuk copy imej atau teks dan drag ke aplikasi lain dengan mudah. Google Gemini juga siap diprapasang dalam telefon jadi anda boleh gunakannya melalui aplikasi atau menyerunya di dengan menekan butang kuasa.
Bukan setakat Google Gemini, ciri Circle to Search pun telefon ini sebenarnya ada. Namun, ia tidak datang siap-siap dalam telefon dan perlu dipasang secara manual menerusi kemas kini OTA pada ketika ini. Akan tetapi, walaupun sudah kemas kini kepada perisian terkini, saya masih tidak dapat menggunakan fungsi Circle to Search di telefon ini.
Sistem kamera belakang yang memuaskan
Memandangkan Realme 14x adalah telefon mampu milik, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi pada sistem kameranya. Tambah pula ia hanya ada satu kamera dibelakang untuk menangkap gambar, iaitu kamera utama 50MP, dengan satu lagi adalah kamera depth.
Tetapi, saya agak terkejut dengan hasil daripada kamera telefon ini. Gambar yang ditangkap nampak tajam, warna yang dihasilkan boleh tahan cantik serta tahap HDR-nya pun bagus boleh kekalkan butiran awan yang cerah dan pokok yang sedikit gelap.
Malah, hasil gambar malam juga agak baik, cuma akan ambil masa lama sedikit untuk proses dalam 2-3 saat. Untuk gambar potret pula, subjek boleh diasingkan daripada latar kabur dengan baik. Pada saya, hasil yang diberikan kamera belakang memang cukup memuaskan untuk telefon harga sebegini.
Berikut adalah sampel gambar daripada kamera utama Realme 14x:
Berlainan cerita pula untuk kamera hadapannya, kerana gambar swafoto tidak kelihatan natural pada segi warna yang dihasilkan. Seterusnya, hasil gambar potret juga gagal untuk memisahkan objek dengan latar dengan tepat, terutamanya pada bahagian rambut-rambut halus.
Bateri tahan lama, tapi cas perlahan
Daripada segi bateri, saya dapati yang telefon dapat bertahan hingga ke akhir hari tanpa masalah. Telefon juga boleh mendapat masa penggunaan skrin hampir 15 jam untuk penstriman YouTube berterusan dengan kecerahan skrin diletakkan pada separuh. Jadi, prestasi telefon ini agak memuaskan.
Tetapi bagi mengecas pula, saya agak kecewa sebab agak pengecasan yang disokong agak perlahan hanya 15W. Nak mengecas dari 1-50% ambil masa sekitar 1 jam, dan ambil masa hampir 2 jam untuk cas penuh. 15W. Agak tidak relevan sebenarnya untuk telefon harga sebegini ada pengecasan 15W, apatah lagi telefon lain dalam segmennya ada pengecasan jauh lagi pantas.
Realme 14x telefon 5G mampu milik terbaik?
Sebagai kesimpulan, saya rasakan Realme 14x adalah telefon 5G mampu milik cukup bagus, tetapi bukanlah yang terbaik dalam segmennya. Ya, prestasinya memadai untuk kegunaan harian, kamera utamanya berikan hasil yang memuaskan, ia ada hayat bateri panjang serta rekaan tahan lasak. Malah, ia juga dilengkapi dengan pelbagai fungsi AI yang berguna.
Tetapi, pada harga sekitar RM1,000, spesifikasi yang ditawarkan Realme 14x sebenarnya agak ketinggalan berbanding pesaingnya yang lain. Walaupun dengan harga permulaan RM849, Realme 14x masih menggunakan skrin LCD dengan resolusi HD sahaja, speaker mono, pengecasan lambat 15W dan storan pun hanya 128GB.
Sedangkan, pesaingnya yang lain seperti Infinix Note 40x 5G menggunakan skrin AMOLED 120Hz dengan resolusi FHD+, speaker stereo, storan lebih besar 256GB dan sensor kamera lebih baik 108MP, pada harga sama RM849. Bukan setakat itu, Infinix Note 40x 5G juga cip lebih berkuasa MediaTek Dimensity 7020 dan sokong pengecasan lebih pantas 45W.
Satu lagi pesaing yang lain adalah Redmi Note 14 5G yang berharga sedikit lebih mahal, RM899 untuk RAM 8GB dan storan 256GB. Walaupun lebih mahal, Redmi Note 14 5G ada skrin AMOLED 120Hz dengan resolusi FHD+, gunakan cip Dimensity 7025 Ultra, pengecasan 45W serta ada kamera kamera ultra lebar.
Tetapi jika anda hanya pentingkan capaian 5G dan tidak kisahkan speaker mono, pengecas perlahan dan skrin LCD, Realme 14x masih pilihan yang baik. Lagipun, ia ada beberapa kelebihan lain seperti mempunyai skrin tahap flicker rendah, kamera utama cukup baik dan pelbagai fungsi AI menarik. Kalau berminat, anda boleh dapatkan Realme 14x di TikTok Shop Realme Malaysia.