Asus Malaysia telah memperkemas barisan laptop Zenbook mereka dengan pengenalan Zenbook A14 terbaharu. Ia dikatakan adalah laptop Copilot+ PC bersaiz 14-inci paling ringan setakat ini dan merupakan Zenbook pertama yang diperkasa cip Snapdaragon siri X.
Harga dan ketersediaan Asus Zenbook A14 di Malaysia


Terdapat dua varian Zenbook A14 yang ditawarkan dan ia akan mula dijual di Malaysia bermula 7 Mac 2025. Berikut adalah harga jualan rasminya di Malaysia:
- Asus Zenbook A14 – RM4,999
- Asus Zenbook A14 (OLED) – RM5,999

Kalau anda membeli Zenbook A14 ini di antara 7 Mac hingga 21 Mac 2025, anda juga akan terima skrin mudah alih Asus ZenScreen bernilai RM700, tertakluk sementara stok masih ada.
Spesifikasi Asus Zenbook A14

Bermula dengan paparan, Zenbook A14 didatangkan dalam dua pilihan skrin berukuran 14-inci, sama ada IPS LCS atau OLED. Skrinnya mempunyai resolusi FHD+ 1920 x 1200 dalam nisbah 16:10 dengan kecerahan puncak 400 nits untuk model IPS LCD, manakala lebih cerah mencecah 600 nits untuk model OLED.
Dikatakan sebagai laptop Copilot+ PC 14″ paling ringan, kedua-dua model memiliki berat kurang daripada 1kg, dengan model IPS LCD hanya berat 899 gram manakala model OLED lebih mewah sedikit lebih berat pada 980 gram.

Selain itu, Asus juga menyatakan bahawa Zenbook A14 adalah laptop berkuasa AI mereka yang pertama menggunakan casis diperbuat daripada Ceraluminum, iaitu gabungan seramik dan aluminium. Casis ini dikatakan 25% lebih ringan dan 3 kali lagi kuat berbanding aluminium yang menjalani proses anodisasi.
Di dalam, terdapat juga perbezaan daripada segi cip yang digunakan pada kedua-dua model. Model IPS LCD dikuasakan cip pemproses Snapdragon X dengan 8 teras, manakala model OLED dilengkapi cip lebih berkuasa Snapdragon X Elite dengan 12 teras.


Kedua-dua model turut menampilkan NPU Qualcomm Hexagon yang menawarkan kemampuan memproses AI sehingga 45 TOPS dan dipadankan dengan RAM LPDDR5x-8448 32GB dan storan PCIe Gen 4 SSD 1TB. Asus juga memuatkan sistem penyejukan dua kipas pada laptop yang memberikan penyejukan yang efektif dan senyap.


Asus mendakwa Zenbook A14 mampu menawarkan hayat bateri sehingga 29 jam lamanya dalam satu isian penuh. Model IPS LCD dimuatkan dengan bateri 48Wh dan boleh dicas pada kuasa 65W, sementara model OLED dipasangkan bateri lebih besar 70Wh dan boleh dicas pada kuasa 90W.
Daripada segi port pula, Zenbook A14 ini menawarkan dua USB-C (USB 4) yang menyokong DisplayPort dan PD, satu USB-A (USB 3.2 Gen 2), satu HDMI 2.1 dan jek audio 3.5mm. Untuk sambungan wayarles, model IPS LCD menyokong WiFi 6E dan Bluetooth 5.3, manakala model OLED dilengkapi WiFi 7 dan Bluetooth 5.4 yang lebih canggih.

Kedua-kedua laptop juga didatangkan dengan kamera webcam FHD IR dan dua speaker. Touchpad pada Zenbool A14 juga kini lebih besar dan ia menyokong Smart Gestures untuk kawalan yang lebih intuitif. Fungsi seperti Windows Phone Link dan Snapdragon Seamless juga terdapat pada laptop untuk berikan integerasi lancar telefon pintar dengan laptop.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Asus Zenbook A14.