Astro baru-baru ini telah memaklumkan bahawa aplikasi penstriman Max kini tersedia di Astro Ultra dan Ulti Box. Integrasi ini dikatakan akan membawakan lebih banyak hiburan premium kepada pelanggan Astro di, lantas meningkatkan lagi pengalaman menonton pengguna.
Pada pelancarannya, aplikasi Max ini tersedia dan boleh diakses semua pelanggan Pek Astro Movies, Pek Astro One Epic dan mereka yang add on aplikasi Max di Astro Ultra dan Ulti Box, melalui pelan Max Standard. Dengannya, pelanggan boleh mencari dan menstrim rancangan dan filem kegemaran tanpa perlu menukar peranti.
Harga langganan Max Standard dan Max Ultimate untuk pelanggan Astro lain

Selain itu, tiga kategori pelanggan yang disebutkan tadi juga mempunyai pilihan untuk menaik taraf ke Max Ultimate dengan bayaran tambahan RM18/sebulan. Bagi pelanggan Astro yang lain, mereka boleh menambah saluran HBO dan Max Standard pada harga RM33.90/sebulan atau Max Ultimate pada harga RM51.90/sebulan.
Menurut Astro, aplikasi Max menghimpunkan filem-filem blokbuster, siri televisyen terbaik dan jenama ikonik seperti HBO, Harry Potter, the DC Universe, Discovery, AFN, Cartoon Network dan HGTV. Antara kandungan yang ditawarkan termasuk siri HBO Original Dune: Prophecy dan The Penguin, rancangan popular The Big Bang Theory dan Friends, koleksi lengkap filem Harry Potter, Deadliest Catch, Adventure Time dan banyak lagi.

Sekiranya anda tertanya apa perbezaan antara Max Standard dan Max Ultimate, berdasarkan laman FAQ, Max Standard menawarkan penstriman pada dua peranti serentak dengan resolusi HD Penuh dan 30 muat turun. Manakala, Max Ultimate pula membolehkan anda menstrim pada empat peranti serentak dengan resolusi 4K dan sehingga 100 muat turun.
Cara akses aplikasi Max di Ultra dan Ulti Box
Untuk mengakses aplikasi Max di Ultra dan Ulti Box, pengguna boleh tekan “Home” pada alat kawalan jauh Astro dan pilih aplikasi Max di bahagian rel aplikasi. Ikuti langkah yang tertera di skrin untuk sambungkan akaun Max anda ke Astro Box dengan mengimbas kod QR dan log masuk ke akaun Max.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Astro Max.