Suunto telah mengembangkan lagi penawaran fon telinga konduksi tulang mereka, dengan memperkenalkan model baru yang panggil sebagai Aqua Light. Ia merupakan susulan daripada model Aqua yang diperkenal pada hujung tahun lalu, tetapi hadir dengan rekaan lebih kompak dan ringan, serta dikenakan beberapa perubahan untuk mencapai tanda harga yang lebih murah.
Harga Suunto Aqua Light di Malaysia
Sekiranya berminat, Suunto Aqua Light tersedia didapatkan pengguna Malaysia sekarang pada harga RM699 melalui stor online Suunto, atau stor rasmi mereka di Lazada, Shopee dan TikTok. Sebagai alternatif, ia juga tersedia di pengedar sah Suunto terpilih termasuk Solar Time, Y Sandal, LM Sport, Syscom, Micronation dan One Cycling.

Suunto Aqua Light ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan biru.
Spesifikasi Suunto Aqua Light

Tidak seperti fon telinga biasa, Suunto Aqua Light menggunakan teknologi konduksi tulang. Ia berfungsi dengan menghantar bunyi melalui getaran pada tepi lubang telinga, sekali gus memberikan keselesaan dengan telinga tetap terbuka dan membolehkan pemakai sedar akan bunyi persekitaran walaupun sambil mendengar muzik. Malah, teknologi ini juga berkesan untuk pendengaran audio ketika di dalam air.
Selain itu, Aqua Light ini juga dilengkapi dengan fungsi pembatalan hingar persekitaran (ENC) menggunakan dua mikrofon yang dimilikinya. Untuk perlindungan, fon telinga ini diiktiraf kalis air dan debu IP68 yang sama seperti model Aqua, tetapi hanya boleh dibawa selam sedalam 2 meter berbanding 5 meter.

Binaan fon telinga ini juga dikatakan tahan lasak, menggunakan gabungan silikon dan aloi titanium yang dikatakan tahan terhadap hakisan dan suhu ekstrem -20 darjah hingga 60 darjah. Untuk bateri, Suunto mengatakan fon telinga boleh bertahan sehingga 10 hari dan mengecas 10 minit boleh berikan tiga jam masa penggunaan.

Dari segi kawalan, Aqua Light dilengkapi dengan satu butang bahagian kiri untuk kawalan lagu atau jawab panggilan, dan dua butang di bahagian kanan untuk naik atau turunkan kelantangan audio. Sementara Aqua Light tida memiliki sokongan kawalan melalui pergerakan kepala seperti model Aqua, ia menggunakan sambungan Bluetooth 5.4 yang lebih baik berbanging Bluetooth 5.3.

Selain daripada menggunakan sambungan Bluetooth, Aqua Light ini juga dilengkapi dengan storan dalaman 32GB, membenarkan pengguna untuk menyimpan lagu atau podcast dan mendengarnya secara luar talian. Audio yang dimuat turun boleh diuruskan melalui aplikas Suunto, di samping membenarkan pengubahsuaian tetapan butang fon telinga.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Suunto Aqua Light.