CMF, jenama peranti mampu milik keluaran Nothing akhirnya telah melancarkan CMF Phone 2 Pro. Ia adalah pengganti kepada CMF Phone 1 tahun lepas dan seperti yang didedahkan pada teaser sebelum ini, ia hadir dengan tetapan tiga kamera termasuk kamera telefoto, walaupun harga bawah RM1,200.
Sejurus pelancarannya di pentas antarabangsa, CMF juga telah memberikan maklumat ketersediaannya di pasaran tempatan dan rakyat Malaysia kini boleh mula mempratempahnya.
Harga CMF Phone 2 Pro di Malaysia

CMF Phone 2 Pro ditawarkan dalam satu varian di Malaysia dan berikut adalah harga jualan rasminya di Malaysia:
- CMF Phone 2 Pro (RAM 8GB + storan 256GB) – RM1,199
Pengguna boleh dapatkan cMF Phone 2 Pro dalam tiga pilihan warna, iaitu oren, putih dan hitam.
Nampaknya model kali ini mengalami peningkatan harga sedikit berbanding generasi sebelumnya. Sebagai perbandingan, CMF Phone 1 dilancarkan pada harga RM1,099. Namun begitu, CMF kini telah menurunkan harganya kepada RM799.
Tempahan awal untuk miliki CMF Phone 2 Pro telah pun dibuka dari sekarang sehingga 5 Mei 2025. Mereka yang mendapatkannya dalam tempoh tersebut juga akan disertakan dengan hadiah percuma, iaitu:
- CMF Buds 2a (warna oren)
- CMF Lanyard
- Lanjutan waranti 1 tahun
- Waranti skrin 1 tahun (jika retak)
Jika berminat, anda boleh mempratempah CMF Phone 2 Pro sekaran melalui laman web Nothing. Jualan pertama akan bermula pada 6 Mei 2025 dan anda boleh membuat pembelian di stor online Nothing di Lazada dan Shopee, serta juga di semua pengedar sah Nothing seperti DirectD, TMT, Urban Republic, Vivid Concepts, TAC Mobile, SS Solution dan Nothing Image Store di Plaza Low Yat.
Spesifikasi CMF Phone 2 Pro

CMF Phone 2 Pro mengekalkan rekaan unik dengan penutup belakang yang boleh diktukar ganti seperti model sebelumnya. Tetapi kali ini, penutup belakangnya datang dengan rekaan dwi-tona untuk warna oren dan putih, manakala warna hitam mengekalkan kemasan tunggal sama seperti sebelumnya.
Daripada segi dimensi, CMF Phone 2 Pro juga adalah telefon Nothing ternipis setakat ini dengan berukuran 7.8mm dan berat 185g.



Penutup belakang menampilkan 4 skru dan satu dail besar. Apabila dibuka, selain menukar penutup belakang, anda boleh padankan belakang telefon ini dengan aksesori seperti penyimpan kad, sarung dengan pendiri, dan penyangkut lanyard. Malah, CMF turut menyediakan aksesori lensa makro dan “fisheye”.

Kuasa penggerak utama CMF Phone 2 Pro adalah cip Dimensity 7300 Pro 5G, yang dipadankan dengan RAM 8GB dan storan 256GB. CMF menyatakan cip ini menawarkan prestasi CPU 10% lebih pantas dan peningkatan grafik sehingga 5% berbanding Dimensity 7300 di CMF Phone 1.
Skrinnya sebesar 6.77″ jenis AMOLED fleksibel dengan resolusi FHD+ 2392×1080, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak mencecah 3,000 nits dan tahap PWM Dimming setinggi 2,160Hz. Lubang kecil di atas skrin merumahkan kamera hadapan 16MP.

Untuk pengimejan di belakang, CMF Phone 2 Pro kini didatangkan dengan tetapan tiga kamera. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera telefoto 50MP dengan kemampuan zum optikal 2x dan zum digital sehingga 20x, serta kamera ultralebar 8MP.
Sama seperti siri Nothing Phone 3(a) yang diumumkan awal Mac lalu, telefon CMF terbaru ini turut dilengkapi dengan Essential Key. Butang ini membolehkan anda untuk menyimpan dan menguruskan segala kandungan penting di dalam ruang Essential Space. Dengan menekan sekali butang ini, anda boleh menangkap kandungan di skrin, manakala menekan lama membolehkan anda untuk merakam suara.

Bateri berkapasiti 5,000mAh dimuatkan di dalam telefon dan dikatakan boleh menawarkan penggunaan sehingga 2 hari dalam satu isian penuh, serta masa tonton YouTube sehingga 22 jam. Untuk mengecas, ia menyokong pengecasan 33W melalui USB-C.
Daripada segi ketersambungan, telefon ini menyokong 5G, WiFi 6, Bluetooth 5.3 dan kini disertakan dengan NFC, ciri yang tiada pada CMF Phone 1. Kelihatan speaker yang digunakan adalah jenis mono dengan kelantangan kuat 150% dan telefon turut diiktiraf kalis percikan air dan debu IP54. Sejurus keluar kotak, ia akan menjalankan Nothing OS 3 berasaskan Android 15.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk CMF Phone 2 Pro.