Bersempena dengan Computex 2025, Acer telah memperkenalkan barisan monitor baharu di bawah siri ProCreator, yang direka khusus untuk meningkatkan aliran kerja golongan profesional kreatif. Monitor ini hadir dengan panel paparan OLED beresolusi tinggi 6K, dan menerima pengiktirafan Calman Verified bagi memastikan paparan warna yang tepat dan memukau.
Seperti yang kita sedia maklum, Acer menawarkan produk All-in-One PC melalui siri Aspire. Namun bagi pengguna profesional yang inginkan sistem All-in-One dengan paparan bertaraf ProCreator, sudah tentu mereka berharap Acer akan menggabungkan kedua-dua kelebihan ini dalam satu produk.
Persoalannya, adakah Acer akan memperkenalkan All-in-One PC dengan skrin ProCreator pada masa akan datang? Kami berpeluang untuk menghadiri sesi wawancara bersama pihak pengurusan tertinggi Acer di Taiwan dan mengajukan soalan tersebut.
Acer miliki rancangan untuk perkenal model AIO PC dengan skrin ProCreator

Menurut Marc Ho, Pengarah Kanan Perniagaan Pengkomputeran Pejabat Acer, mereka mempunyai rancangan untuk memperkenalkan model all-in-one (AIO) ProCreator. Walaupun tidak berkongsi tarikh pelancaran yang khusus, beliau memberi bayangan bahawa pengumuman rasmi mungkin akan dibuat kelak, dan meminta untuk menantikannya.
Marc menambah buat masa ini, Acer menawarkan produk AIO yang dilengkapi CPU berprestasi tinggi, termasuk siri Intel Lunar Lake, Krackan Point (merujuk kepada siri cip AMD 300), selain menyediakan paparan pantas berkadar segar semula 144Hz pada resolusi FHD, dan merancang akan melancarkan model baru dengan skrin QHD dan kadar segar semula 200Hz.


Selain itu, apabila ditanyakan adakah Acer akan memperkenalkan monitor OLED dengan harga yang lebih mampu milik, Charles Wang, Pengurus Kanan Bahagian Monitor Acer berkata bahawa itu sememangnya menjadi sasaran syarikat untuk menawarkan monitor dengan spesifikasi hebat pada harga berpatutan.
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa perkara itu masih sukar direalisasikan buat masa ini kerana komponen panel OLED sedang mengalami masalah kekurangan bekalan. Buat masa ini, mereka sedang meneliti semula dari sudut spesifikasi dan komponen bagi mencari segmen baharu yang lebih kompetitif dari segi kos, agar penggunaan OLED dapat diperluas daripada pasaran gaming ke pengguna umum.
Acer akan perkenal ekosistem yang lebih menyeluruh?

Dalam wawancara yang sama, Acer turut menyentuh topik berkenaan ekosistem. Kita sedia maklum syarikat gergasi China seperti Huawei, Honor dan Xiaomi, juga pengeluar laptop menyediakan integrasi ekosistem yang baik antara peranti mereka. Semasa ditanyakan adakah Acer turut akan memperkenalkan ekosistem sebegini, berikut adalah respons mereka.
Menurut James K Lin, Pengurus Umum Acer, pendekatan syarikat adalah untuk tidak membangunkan penyelesaian sendiri, sebaliknya bekerjasama dengan rakan teknologi seperti Intel dan vendor tempatan serta global bagi memperkukuh aspek kesalinghubungan antara peranti.
Sementara itu, Presiden Acer Gadget, Allen Jong turut menyatakan bahawa mereka tidak bercadang untuk membangunkan ekosistem peranti pintar tertutup seperti Xiaomi atau Huawei. Sebaliknya, mereka memilih untuk menghasilkan peranti yang boleh digunakan oleh semua pengguna, tanpa mengira ekosistem teknologi yang digunakan.
Perang tarif global memberikan kesan kepada Acer?

Dalam wawancara bersama Andrew Hua, Presiden Operasi Pan-Asia Pasifik Acer, beliau menyentuh mengenai isu tarif global yang berlaku, setelah ditanya pihak media yang hadir. Menurutnya, situasi itu memberi kesan besar terhadap aliran perdagangan global. Katanya, apabila tarif mula dikuatkuasakan, sesetengah produk terutamanya dari China, tidak lagi dapat dihantar ke Amerika Syarikat.
Akibatnya, produk-produk ini akan mula dihantar ke Asia Tenggara, yang membawa kepada isu lambakan barangan di rantau ini. “Ini sesuatu yang kita tidak mahu lihat,” tegasnya, sambil menyatakan bahawa ia memberi kesan negatif kepada pasaran tempatan.
Namun begitu, beliau turut menyentuh tentang potensi positif sekiranya perang tarif berterusan, iaitu berlakunya peralihan pembuatan dari China ke negara-negara seperti Vietnam, Thailand dan India, di bawah strategi ‘China plus one’. Peralihan ini dijangka dapat membina ekosistem baharu di Asia Tenggara, seterusnya mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan KDNK negara-negara terlibat.
Beliau menegaskan bahawa peralihan ini akan merangsang permintaan pengguna tempatan, dan berharap itu adalah perkara yang berlaku dan bukannya lambakan produk di rantau ini. Walaupun begitu, Andrew turut mengakui bahawa lambakan produk dalam Asia Tenggara menjadi kebimbangan kerana ia boleh mengganggu ekosistem jenama sedia ada, termasuk Acer.
“Kami berharap ia tidak menjejaskan perniagaan kami, tetapi adalah sukar untuk dijangka buat masa ini,” jelas beliau.