Dalam pasaran telefon pintar boleh lipat yang semakin kompetitif, majoriti pengeluar kini berlumba-lumba untuk hasilkan telefon paling nipis dan ringan. Salah satu pesaing terbaru untuk tahun ini ialah Honor Magic V5, telefon boleh lipat generasi keempat daripada Honor yang menggantikan model Magic V3 tahun lepas.
Kalau Magic V3 terdahulu sudah cukup nipis, Magic V5 kini hadir dengan rekaan lebih nipis, malah mengatasi rekod yang dipegang oleh Oppo Find N5 sebelum ini. Bukan setakat itu, Magic V5 turut diberikan beberapa naik taraf pada bahagian kamera, bateri dan ketahanan, sambil mengekalkan tanda harga macam sebelumnya.
Dengan membawakan slogan “ternipis tanpa kompromi”, adakah Magic V5 ini benar-benar tiada kompromi, dan berbaloi untuk dimiliki? Di sini saya nak kongsikan pengalaman saya selepas menggunakan Magic V5 buat beberapa ketika.
Spesifikasi Magic V5
- Cipset: Qualcomm Snapdragon 8 Elite 3nm
- RAM: LPDDR5X 16GB
- Storan: UFS 4.0 512GB
- Skrin: Luar LTPO OLED 6.43″ 120Hz, dalam LTPO OLED 7.95″ 120Hz
- Kamera Depan: 20MP
- Kamera Utama: 50MP OIS f/1.6
- Kamera Telefoto: 64MP f/2.5
- Kamera Ultralebar: 50MP f/2.2
- Speaker: Stereo
- Bateri: 5,850mAh
- Pengecasan: 66W USB-C, wayarles 50W
- Sistem operasi: MagicOS 9.0 berasaskan Android 15
- Lain-lain: Kalis air dan debu IP69
Rekaan nipis dan ringan

Perkara pertama saya nak tekankan pada Magic V5 adalah rekaannya. Ia hadir dengan rekaan ultra nipis, berukuran hanya 4.1mm dalam keadaan dilipat dan 8.8mm dalam keadaan lipatan dibuka, menjadikannya telefon lipat ternipis dalam pasaran ketika ini. Dengan berat cuma 217g, badan telefon ini rasa macam telefon biasa, senang nak simpan poket dan nak guna satu tangan.



Cuma tak boleh nak dinafikan bonggol kamera belakangnya agak besar dan terbonjol keluar. Nak simpan dalam poket tak mengganggu sangat, tapi kalau letak atas meja memang terjongket dekat bahagian atas, risau juga kalau tercalar modul kamera. Tapi, nasib baik Honor ada sertakan sarung dalam kotak, dan itu saya akan ceritakan kemudian.

Unit yang saya dapat ini berwarna putih dipanggil Pearl White, dan terdapat dua lagi pilihan warna lain iaitu emas dan hitam. Perlu diingat bahawa warna lain memiliki dimensi sedikit lebih tebal 8.9mm dalam keadaan dilipat dan berat 222g.
Skrin luar luas macam telefon candybar

Secara jujurnya, ini kali pertama saya menggunakan telefon pintar boleh lipat, dan saya akui skrin dalamannya memang besar berikan pengalaman lebih selesa menonton dan multitugas. Skrin luarnya pula cukup selesa untuk menaip dan menjalankan pelbagai aplikasi tanpa perlu buka lipatan, boleh digunakan macam telefon biasa.

Walau bagaimanapun, kesan lipatan di tengah skrin memang agak ketara bila dilihat dari sudut tertentu, malah lekuknya boleh dirasa kalau jari disapu merentasi permukaan. Namun, bagi saya ia bukanlah masalah besar dan tak menjejaskan pengalaman penggunaan harian. Cuma kalau nak dibandingkan, kesan lipatan pada Magic V5 nampak lagi ketara dari Galaxy Z Fold 7.


Honor turut menjelaskan ketahanan skrin dalaman dah dipertingkatkan dengan lapisan Non-Newtonian, iaitu material yang menjadi keras apabila terkena hentakan. Walaupun saya tak ada alami masalah retak atau rosak masa gunakannya, saya perasan ada sedikit calar dan lekuk halus di permukaan dalamannya. Kalau anda guna Magic V5, mungkin anda perlu berhati-hati sikit bila tekan atau lipat skrin.

Selain itu, Magic V5 juga menyokong penggunaan stylus, dan Honor menyediakan sarung dengan kemasan kulit dalam kotak. Sarung ini menarik kerana ia dilengkapi dengan ring kamera di belakang yang boleh digunakan sebagai pendiri, sangat praktikal untuk yang suka menonton YouTube atau menulis dalam mod separa lipat.



Kebanyakan aplikasi berjalan lancar di skrin dalam, namun nisbah paparan aplikasi kadangkala berubah apabila beralih dari skrin luar ke dalam, atau sebaliknya, jadi anda perlu “refresh” aplikasi untuk sesuaikan semula nisbah paparan.

Untuk bahagian engsel, Honor menggunakan “Super Steel Hinge” baharu yang lebih ringan dan kukuh, namun kitaran lipatannya masih sama seperti Magic V3 iaitu sehingga 500,000 kali lipatan. Magic V5 juga mempunyai penarafan kalis air dan debu IP58/59, jadi tak ada masalah kalau nak bawa masuk air sekali pun.


Prestasi dan Produktiviti

Bergerak ke bahagian prestasi pula, Magic V5 dipacu cip Qualcomm terhebat masa kini, Snapdragon 8 Elite. Seperti dijangka, prestasi yang ditawarkan sangat lancar untuk kegunaan harian, malah untuk gaming ringan seperti Mobile Legends. Namun apa yang saya perasan, bila bermain game dalam keadaan dilipat, telefon akan terasa suam sedikit. Apabila buka lipatan barulah panas berkurangan.

Untuk uji prestasi Magic V5 lebih mendalam, tentunya perlu dilakukan di ujian penanda aras. Berikut saya sertakan hasilnya di GeekBench 6, 3D Mark dan AnTuTu.





Walaupun Magic V5 menggunakan cip paling premium Qualcomm ketika ini, hasil ujian penanda aras mendedahkan prestasi Magic V5 jauh lebih rendah berbanding Galaxy Z Fold 7 dan juga telefon lipat lain yang turut memakai cip Snapdragon 8 Elite seperti Oppo Find N5, terutama sekali dalam ujian Geekbench 6.
Jurang prestasi ini sebenarnya boleh dijangka kerana Z Fold 7 menggunakan versi overclocked Snapdragon 8 Elite for Galaxy. Namun, perbezaannya agak besar, malah menghampiri tahap cip kelas pertengahan premium. Kemungkinan besar cip ini telah di underclocked untuk berikan prestasi yang lebih optimal dan efisien bagi telefon lipat senipis ini.

Untuk keperluan produktiviti, Magic V5 membolehkan anda buka sehingga tiga aplikasi serentak secara berdampingan pada skrin utama, tapi hanya dua aplikasi dipapar sekali dan anda perlu sapu untuk tukar antara aplikasi tersebut. Dengan mod tetingkap pula, anda boleh buka maksimum empat aplikasi, sama ada tiga secara bersebelahan dengan satu tetingkap terapung, atau dua bersebelahan dengan dua tetingkap terapung. Aplikasi selebihnya akan disimpan dalam folder di sebelah kanan.

Bercakap tentang perisian, saya agak suka dengan antara muka MagicOS 9 berasaskan Android 15 di Magic V5. Pengalaman menggunanya terasa lancar dan intuitif, dan saya tak hadapi sebarang isu besar, selain daripada nisbah skrin yang perlu dioptimumkan apabila membuka atau menutup skrin.

Cuma yang sedikit mengganggu, masih ada beberapa aplikasi pihak ketiga yang diprapasang, buatkan pengalaman terasa kurang premium.

Magic V5 juga dilengkapi sensor pemancar inframerah, jadi anda boleh menggunakannya sebagai alat kawalan jauh untuk pelbagai perkakasan rumah.



Dari segi ciri pintar, Honor membekalkan pelbagai fungsi AI seperti AI Subtitles, AI Translate, AI Writing, Call Translation, AI Deepfake Detection dan Magic Portal yang membolehkan anda membuat bulatan menggunakan buku jari untuk menangkap kandungan di skrin, selain sokongan Circle to Search.

Macam telefon Honor lain, ciri pengeditan berasaskan AI juga tersedia pada Magic V5 termasuk AI Eraser, AI Upscale, AI Cutout, AI Outpainting dan AI Image to Video yang diperkenalkan pada siri Honor 400.
Ada sebab kenapa bonggol kamera besar

Bonggol besar di belakang Magic V5 ini menempatkan tetapan tiga kamera macam sebelumnya. Sementara kamera utama masih menggunakan sensor 50MP, sensor telefoto dan ultralebar kini dah dipertingkatkan kepada 64MP dan 50MP.

Hasil yang ditangkap menerusi kamera utama agak memuaskan, warna nampak cantik walaupun sedikit lebih kontras, kualiti tajam serta tahap HDR baik untuk bezakan ruang gelap dan cerah. Malah, gambar pun malam pun baik sekali.
Kamera utama











Cuma saya sarankan elakkan ambil gambar gunakan nisbah skrin penuh bila ambil melalui skrin luar, sebab gambar akan terlalu memanjang.

Macam mana pula dengan dua kamera lagi? Kamera ultralebar hasilkan gambar yang konsisten dengan kamera utama, termasuk dari segi warna dan kualiti. Kamera telefoto pula mampu kekalkan butiran dengan baik untuk zum 6x dan 10x, cuma bila melepasi tahap itu, imej mula nampak sedikit lembut dan jelas diproses, walaupun butiran masih nampak.
Kamera ultralebar





Kamera telefoto






Untuk zum lagi jauh, ia sokong zum digital sehingga 100x, tapi macam biasa butiran akan kabur. Kamera telefoto turut berfungsi sebagai kamera makro. Nak selfie ada dua kamera dekat skrin dalam dan luar. Namun kalau nak kualiti lagi baik, anda boleh guna mod Rear Selfie untuk ambil gambar guna kamera belakang dan previu di skrin luar.

Hayat bateri memuaskan

Berbekalkan bateri 5,850mAh, hayat bateri Magic V5 memang memuaskan. Saya boleh capai masa screen-on-time sehingga 9 jam lebih untuk penggunaan harian seperti melayari media sosial, bermain game, dan mengambil gambar termasuklah penggunaan bercampur antara skrin dibuka dan dilipat. Angka ini sepatutnya cukup bagus untuk sebuah telefon lipat.
Saya rasakan ia tak ada masalah untuk bertahan selama dua hari dalam penggunaan yang lebih sederhana.

Lebih baik lagi, pengecasan pun sangat pantas, ambil masa kurang satu jam, kira-kira 45 minit untuk penuh guna blok pengecas 66W disertakan dalam kotak. Tapi semasa mengecas, telefon akan sarankan anda untuk bula lipatan bagi pengecasan yang lebih optimum. Ada pad pengecas di rumah? Anda boleh letak sahaja Magic V5 untuk cas secara wayarles.
Telefon lipat terbaik?

Kalau anda sedang mencari telefon boleh lipat, memang sukar untuk saya tak cadangkan Honor Magic V5. Dengan harga RM6,999 untuk RAM 16GB dan storan 512GB, iaitu harga sama seperti Magic V3 sebelum ini, Magic V5 menawarkan spesifikasi dan ciri yang sangat berbaloi berbanding pesaing lain dalam pasaran.
Rekaannya nipis, skrin luar selesa digunakan seperti telefon biasa, prestasi cukup baik, kamera memuaskan dan bateri tahan lama. Perisiannya juga terasa matang dan lancar, lengkap dengan pelbagai fungsi AI berguna untuk harian dan produktiviti.

Tapi, betul ke ini telefon lipat nipis tanpa kompromi? Boleh kata ya… tapi tak sepenuhnya. Walaupun prestasinya secara keseluruhan lancar, ia masih sedikit kurang berkuasa berbanding telefon lipat lain dengan Snapdragon 8 Elite. Bonggol kameranya agak besar, antaramukanya dipenuhi beberapa aplikasi pihak ketiga yang diprapasang, kesan lipatan agak ketara, dan skrin dalamnya mudah meninggalkan kesan calar halus.
Kalau sanggup abaikan kelemahan kecil ini, Magic V5 boleh dikatakan telefon lipat paling berbaloi ketika ini.

Untuk perbandingan, Galaxy Z Fold 7 dijual bermula RM7,799 untuk RAM 12GB dan storan 256GB. Namun, ia mempunyai bateri lebih kecil, pengecasan lebih perlahan, dan hanya menggunakan kamera telefoto 10MP berbanding 50MP di Magic V5. Kelebihan Galaxy Z Fold 7 pula terletak pada prestasi lebih pantas serta perisian One UI yang lebih matang dan mesra pengguna.

Kalau banding dengan Oppo Find N5, spesifikasi Magic V5 tak jauh beza. Find N5 juga menyokong pengecasan pantas 80W berwayar dan 50W wayarles, bateri 5,600mAh, kamera utama dan telefoto 50MP, serta guna cip Snapdragon 8 Elite. Tetapi harganya lebih tinggi iaitu RM7,999 dengan RAM 16GB dan storan 512GB.

Satu lagi pesaing ialah Vivo X Fold 5 yang turut dilancarkan pada harga RM6,999 untuk RAM 16GB dan storan 512GB. Namun, saya rasa Magic V5 masih pilihan yang lebih berbaloi kerana X Fold 5 menggunakan cip lebih lama Snapdragon 8 Gen 3 dan memiliki rekaan yang lebih tebal. Kelebihan X Fold 5 pula adalah bateri 6,000mAh dan pengecasan berwayar sedikit lebih pantas pada 80W.
Kalau berminat, anda boleh dapatkan Honor Magic V5 di Lazada dan Shopee.