Seperti yang diumumkan sebelum ini, Realme Malaysia kini melancarkan secara rasmi siri Realme 15 untuk pasaran tempatan. Ia merupakan sekuel kepada siri Realme 14 yang diumum April tahun ini, dan hadir dengan dua model serupa, iaitu Realme 15 dan Realme 15 Pro.
Dikenali sebagai ‘AI Party Phone’, Realme mengatakan siri ini menggabungkan kuasa AI, sistem kamera hebat serta prestasi tinggi. Malah, siri ini juga tampil dengan kapasiti bateri besar, sokongan pengecasan pantas serta fungsi AI Edit Genie pertama di dunia.
Harga dan ketersediaan siri Realme 15 di Malaysia

Berikut adalah harga jualan Realme 15 dan Realme 15 Pro di Malaysia:
- Realme 15 Pro (12GB + 512GB) – RM2,099
- Realme 15 Pro (12GB + 256GB) – RM1,799
- Realme 15 (12GB+256GB) – RM1,499
Sebagai perbandingan, harga jualan untuk model Realme 15 meningkat sebanyak RM200, manakala Realme 15 Pro pula menyaksikan peningkatan sebanyak RM300 berbanding generasi sebelumnya.

Jikalau berminat, tempahan siri Realme 15 dibuka bermula sekarang sehingga 26 September, manakala jualan rasmi akan bermula pada 27 September 2025. Realme turut menawarkan hadiah percuma bernilai sehingga RM1,346 kepada pembeli dalam tempoh ini.
Hadiah tersebut merangkumi fon putik Realme Buds T200 Lite, botol tumbler, rebat RM100, lanjutan waranti 1 tahun dan perlindungan skrin selama 1 tahun. Mereka yang berminat boleh mendapatkan siri Realme 15 di stor rasmi mereka di Lazada dan Shopee, melalui pautan di bawah:
- Realme 15 Pro (12GB + 512GB) – Lazada, Shopee
- Realme 15 Pro (12GB + 256GB) – Lazada, Shopee
- Realme 15 (12GB+256GB) – Lazada, Shopee
Spesifikasi Realme 15 Pro

Realme 15 Pro menggunakan skrin berukuran 6.8″ jenis AMOLED dengan resolusi 1280 x 2800 serta kadar segar semula 144Hz. Ia juga menyokong kecerahan biasa 1,800nits dan puncak setinggi 6,500 nits, dengan memiliki tahap PWM Dimming 4,608Hz. Bezelnya pun ultra nipis 1.48mm.

Atas papan utama, Realme 15 Pro diperkasa cip Snapdragon 7 Gen 4 4nm dengan RAM LPDDR5X seluas 12GB dan storan jenis UFS 3.2, dalam dua saiz, 256GB atau 512GB. Ia juga menampilkan penyejuk kebuk wap (vapour chamber) bersaiz 7,000mm2, dikatakan mampu menurunkan suhu CPU sebanyak 20% dan suhu ketika gaming 3.2 darjah.

Untuk bahagian pengimejan, telefon ini dilengkapi dengan tiga kamera 50MP. Ia adalah kamera utama 50MP f/1.8 yang menggunakan sensor Sony IMX 896, kamera ultralebar 50MP f/2.0 dan kamera hadapan 50MP f/2.4. Semua kamera ini turut menyokong rakaman 4K 60FPS.

Bahagian pengimejan siri Realme 15 turut hadir dengan Triple Party AI Algorithm yang memberikan tangkapan potret lebih baik dalam apa jua pencahayaan, AI Snap Mode, AI Landscape, 2K Livephoto, serta AI Edit Genie, pertama di dunia yang menyokong penyuntingan imej berasaskan suara. Ciri ini membolehkan anda membuang objek tak diingini, tukar warna objek, tingkatkan tona warna gambar dan banyak lagi.

Malah, AI Edit Genie ini juga menyokong kawalan suara dan menyokong lebih 20 bahasa, termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Terdapat juga AI MagicGlow 2.0, sistem lampu flash dengan pelarasan cahaya hangat ataupun sejuk.
Selain itu, siri Realme 15 juga dilengkapkan dengan lampu Pulse Light pada modul kamera di belakang, yang boleh berkelip ikut notifikasi, panggilan, alarm, irama muzik. Ia juga berfungsi untuk kiraan detik ambil gambar, isyarat GT Mode, dan boleh sync dengan ciri AI Gemini.

Bateri berkapasiti 7,000mAh dimuatkan pada Realme 15 Pro, danRealme mendakwa ia menawarkan masa tonton YouTube sehingga 22 jam dan rakaman 4K 60PS selama 4.46 jam. Jika bateri habis, ia menyokong pengecasan 80W Ultra Charge, membenarkan telefon boleh dicas dari 0% ke 50% dalam masa 25 minit atau penuh dalam masa hanya 61 minit.


Dari segi ketahanan, telefon ini kalis air IP69, dilindungi kaca Corning Gorilla Glass di skrinnya, dan menyokong sambungan WiFi 6, Bluetooth 5.4 dan 5G. Ia akan menjalankan Realme UI 6.0 berasarkan Android 15, dan tersedia dalam dua warna iaitu perak dan hijau.
Spesifikasi Realme 15

Perbezaan Realme 15 berbanding model Pro adalah, skrinnya sedikit lebih kecil iaitu berukuran 6.77″ jenis AMOLED rata dengan resolusi 1080 x 2392 dan kadar segar semula sama 144Hz. Namun, kecerahan puncak yang disokong sedikit lebih rendah pada 4,500 nits dan memiliki tahap PWM Dimming 3,840Hz.
Kuasa Realme 15 digerakkan oleh cip Dimensity 7300+ 5G, yang dipadankan dengan RAM LPDDR4X 12GB dan storan UFS 3.1 256GB. Seperti model Pro, ia juga dilengkapkan dengan penyejuk kebuk wap 7,000mm2.

Untuk kamera, Realme 15 turut menggunakan dua kamera 50MP, iaitu pada kamera utamanya 50MP f/1.8 menggunakan sensor Sony IMX 882 dan kamera depan f/2.4. Manakala, kamera ultralebarnya menerima sensor lebih kecil 8MP f/2.2.

Tiada perbezaan pada segi bateri yang digunakan. Realme 15 turut dibekalkan bateri berkapasiti 7,000mAh dan menyokong pengecasan 80W Ultra Charge. Namun, badannya sedikit lebih nipis 7.66mm dan berat 185g. Ia juga menyokong kalis air IP69, dilindungi kaca Corning Gorilla Glass pada bahagian skrinnya, serta menggunakan sambungan WiFi 6, Bluetooth 5.4 dan 5G.


Realme 15 ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu kelabu perang dan merah jambu.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Realme 15 dan Realme 15 Pro.