Bagi anda yang sedang cari telefon gaming bajet, barisan telefon Infinix GT sememangnya antara penawaran yang menarik. Dari dulu lagi, ia terkenal dengan spesifikasi padu pada harga yang berbaloi. Bermula dengan GT 10 Pro, kini siri ini sudah masuk generasi ketiga dengan pelancaran Infinix GT 30 Pro, dan buat pertama kali, ada juga model bukan Pro iaitu Infinix GT 30.
Sekilas pandang, kedua-duanya nampak hampir sama, malah harga pun tak jauh beza.Jadi persoalannya, apa sebenarnya yang membezakan GT 30 dengan GT 30 Pro, model mana lebih sesuai untuk anda serta adakan ia telefon gaming bajet yang bagus? Selepas beberapa minggu mencubanya, dalam artikel ini pandangan saya tentang dua telefon gaming terbaru dari Infinix.
Reka bentuk: Sama tapi tak serupa

Terus terang, memang susah nak beza GT 30 dengan GT 30 Pro sebab rekaan luarannya sama. Bezanya hanya pada pilihan warna:
- GT 30 – biru, hijau, perak
- GT 30 Pro – hitam, kelabu, perak
Untuk versi biru dan hijau GT 30 serta hitam GT 30 Pro, ia ada corak tambahan di panel belakang yang buatkan rekaan nampak lagi futuristik. Kedua-dua model juga dilengkapi dengan lampu LED belakang yang dipanggil “Mechanical Light Waves” dengan empat jalur. Ini berbeza dengan separa bulatan pada GT 20 Pro.

Lampu ini boleh menyala ikut notifikasi, panggilan masuk, muzik, charging, malah ada party mode untuk hidupkan sepanjang masa dengan tiga corak iaitu Breath, Meteor, Rhythm. Namun, perbezaan antara model GT 30 Pro dengan GT 30 adalah, model Pro ada lampu RGB, manakala bukan Pro hanya memiliki lampu putih sahaja.

Walaupun anda boleh akses tetapan lampu ini di Settings, ia tidak boleh dikustom seperti lampu Glyph pada siri Nothing Phone yang hadir dengan Glyph Composer.

Dari segi binaan, ia sememangnya tidak begitu premium memandangkan ia berada dalam segmen bajet. Panel belakang dan bingkainya diperbuat daripada plastik. Namun, berbanding GT 20 Pro, binaannya terasa sedikit murah kerana bingkai kali ini hadir dengan kemasan matte, bukannya berkilat seperti generasi sebelumnya.
Skrin: Besar dan laju, tapi warna kurang umph

Kedua-dua model dilengkapi skrin rata bersaiz 6.78 inci, cukup besar untuk gaming dan menonton video. Panel ini menyokong kadar segar semula 144Hz, tahap kecerahan sehingga 4,500 nits serta resolusi FHD+, jadi kandungan nampak tajam, lancar dan boleh digunakan tanpa masalah di bawah cahaya matahari. Bezel skrin pun agak nipis, kecuali di bahagian bawah.

Namun dari segi kualiti paparan, pada saya ia kurang memuaskan. Ini sebab, walaupun guna panel AMOLED, warna dan kontras yang dihasilkan nampak kurang menyerlah, malah ia juga masih tiada sokongan HDR, sama seperti GT 20 Pro terdahulu. Mungkin kalau model GT 30 biasa tak ada HDR masih boleh diterima, tapi untuk versi Pro yang lebih mahal, ciri ini sepatutnya ada supaya perbezaannya dengan model standard lebih jelas.

Sementara kedua-dua skrin ini menyokong kadar segar semula 144Hz, tak semua aplikasi dapat manfaatkan kelajuan penuh. Hanya aplikasi tertentu macam. Settings, Phone, Message, Facebook dan Google Files sahaja yang sokong kadar segar semula 144Hz, manakala aplikasi lain terhad hanya 120Hz.
Dalam percubaan saya, walaupun mod 144Hz dah diaktifkan, ia tak berapa konsisten kerana kadang-kadang sahaja boleh capai 144Hz, ada masa hanya 120Hz. Lagi satu, sensor kecerahan automatik terasa agak perlahan dalam menyesuaikan tahap cahaya, jadi saya lagi selesa kalau matikannya dan ubah secara manual.


Tapi yang bagusnya, haptik pada siri GT 30 ini agak baik dan tactile untuk telefon bajet, memberi sedikit rasa premium terutama ketika bermain game atau menaip. Sistem speakernya pula jenis stereo, dan kualiti yang dihasilkan agak baik dan lantang, tapi masih tak seimbang dan kuat di bahagian bawah sahaja.

Berbeza dengan GT 20 Pro sebelum ini, Infinix tidak menyatakan sama ada kerjasama dengan JBL masih diteruskan atau tidak untuk model kali ini.
Pengimbas cap jari jenis optikal terdapat dalam skrin, dan setakat percubaan ia boleh cam dengan pantas. Lagi satu, ia juga ada pemancar inframerah terbina. Kalau anda tertanya tahap penarafannya, kedua-dua kalis percikan air dan debu IP64.
Prestasi: Lancar untuk gaming, tapi Pro lebih padu
Kedua-dua GT 30 dan GT 30 Pro menggunakan cip berbeza:
- Infinix GT 30 – MediaTek Dimensity 7400, RAM 8GB, storan UFS 2.2
- Infinix GT 30 Pro – MediaTek Dimensity 8350, RAM 12GB, storan UFS 4.0

Dalam penggunaan harian, kedua-duanya terasa lancar. Untuk gaming kasual macam Mobile Legends, prestasi hampir sama. Tapi bila main game berat macam PUBG Mobile, memang jelas GT 30 Pro ada kelebihan dengan cip lebih berkuasa dan guna storan pantas. Visual di model pro nampak lebih lancar dan grafik pun lagi cantik.
Saya juga dapati skrin boleh kekal pada 120FPS semasa gaming macam yang Infinix dakwa, cuma ia tetap nampak lagi lancar di model Pro. Selain itu, haba pun bukan isu besar, dua-dua telefon kekal selesa walaupun gaming berat dan tak terlalu panas.
Kalau anda berminat nak tahu hasil ujian penanda aras, berikut saya kongsikan markah yang diperoleh kedua-dua telefon di Geekbench 6 dan 3D Mark.




Macam biasa, anda boleh akses pelbagai tetapan gaming melalui ciri XBoost dengan sapu di tepi kiri skrin. Keseluruhan ciri yang ditawarkan adalah sama. Kalau ada perbezaan pun adalah di bahagian bawah, di mana GT 30 ada tetapan untuk Graphic Enhancement, tapi GT 30 Pro pula ada Game Filter.


Untuk gaming, kedua-dua GT 30 dan GT 30 Pro juga dilengkapi butang bahu GT Trigger, sesuatu yang jarang ada untuk telefon gaming bajet, kecuali Nubia Neo 3 5G.

Butang GT Trigger di GT 30 dan GT 30 Pro terasa responsif, tapi hanya jika sensitiviti ditetapkan ke tahap maksimum, tapi itu pun terasa lengah sedikit. Kalau tetap paling rendah memang perlahan. Kedudukan butang pun rasa selesa, tapi sayang tak ada fungsi tambahan seperti sapu atau separuh tekan, hanya ada tekan sekali sahaja.

Infinix juga menyediakan aksesori kipas penyejuk magnetik yang boleh dipasang terus di belakang telefon. Tapi ia hanya berfungsi dengan sarung khas GT, kalau terus letak di belakang telefon memang tak melekat Kipas ini juga tak boleh hidup sendiri dan perlukan kuasa melalui port USB-C di tepinya.


Anda boleh cucuk terus ke port USB-C telefon, tapi bateri memang akan cepat habis. Jadi lebih praktikal kalau sambung ke powerbank atau sumber kuasa lain. Menariknya, jika disambung ke kepala pengecas, ia bukan sahaja hidupkan kipas tetapi turut mengecas telefon serentak secara wayarles untuk model Pro. Cuma dalam situasi ini, anda tak boleh gunakan fungsi Bypass Charging.
Kedua-dua aksesori ini sebahagian daripada GT Gaming Kit 30 Pro yang boleh dibeli pada harga RM139.
Perisian & AI: Banyak ciri AI, banyak juga bloatware

Kedua-dua telefon menjalankan sistem operasi XOS 15 for GT berasaskan Android 15. Namun, satu perkara yang saya agak kecewa kali ini, Infinix memuatkan banyak bloatware pada GT 30 dan GT 30 Pro, tak seperti generasi sebelumnya yang datang dengan bebas bloatware.
Sebahagian besar bloatware ini adalah game yang saya sendiri memang tak akan guna. Saya faham ini mungkin cara untuk Infinix kekalkan harga telefon supaya rendah, tapi agak pelik mengapa boleh buat pada GT 20 Pro terdahulu tapi tidak untuk generasi telefon pintar GT kali ini.

Bercakap selain daripada bloatware, Infinix juga tambah pelbagai fungsi AI. Antara yang menarik ialah Call Assistant, yang boleh menjawab panggilan secara automatik, beri ringkasan perbualan malah buat terjemahan masa nyata. Ada juga AI Note, yang boleh tukarkan lakaran kasar anda kepada lukisan digital yang lebih kemas. Tapi dari segi hasil, ia masih tidak setanding dengan Galaxy AI di peranti Samsung.



Tambahan pula, anda juga boleh menjana wallpaper menggunakan AI jika mahukan sesuatu yang unik. Untuk fotografi, terdapat AI Studio yang membolehkan pengguna tajamkan imej, padam objek yang tidak diingini, atau meluaskan gambar dengan mudah, tetapi hasilnya biasa-biasa sahaja dan tidaklah sempurna, seperti yang anda boleh jangka pada peranti pertengahan.
Kamera: Bezanya terletak pada sensor utama

Walaupun siri Infinix GT lebih ditujukan untuk gaming, sistem kamera masih penting untuk kegunaan harian. Yang menarik, kedua-dua GT 30 dan GT 30 Pro akhirnya hadir dengan kamera ultralebar menggunakan sensor 8MP, sesuatu yang tak ada pada GT 20 Pro sebelum ini.

Perbezaan utama antara GT 30 dan GT 30 Pro adalah pada kamera utamanya:
- GT 30 Pro: Kamera utama 108MP
- GT 30: Kamera utama 64MP
Dengan kiraan megapiksel yang lebih besar, hasil gambar daripada kamera utama GT 30 Pro nampak sedikit lebih tajam dan lebih cantik berbanding GT 30. Model Pro juga boleh memproses gambar lagi pantas dan ada prestasi HDR yang lebih baik. Untuk GT 30, saya perlu laraskan tahap kecerahan dan fokus perlu secara manual untuk hasil yang lebih memuaskan.

Kedua-duanya turut dilengkapi kamera swafoto 13MP, serta menyokong zum digital sampai 15x pada kamera utama masing-masing. Satu lagi perbezaan yang ketara adalah tona warna, dengan gambar dari GT 30 Pro cenderung ke arah lebih sejuk, manakala GT 30 pula hasilkan tona yang lebih suam.


Berikut adalah sampel gambar dari kamera Infinix GT 30 dan GT 30 Pro.
Infinix GT 30












Infinix GT 30 Pro












Anda juga boleh butang GT Trigger untuk ambil gambar. Boleh tekan sekali untuk tangkap, dan tekan lama untuk burst. Tetapi kalau nak guna perlu pastikan aktifkan terlebih dahulu dalam Settings.


Bateri & pengecasan: Sama besar, tapi Pro ada kelebihan

Dua-dua model dilengkapi bateri 5,500mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 45W. Untuk cas penuh, ambil masa sekitar lebih dari satu jam untuk penuh. Tapi, kelebihan GT 30 Pro adalah tambahan sokongan 30W pengecasan wayarles, satu ciri yang jarang jumpa pada telefon gaming bajet.
Kedua-duanya juga ada fungsi Bypass Charging untuk elak panas masa main game sambil cas.
Kesimpulan: Telefon gaming bajet terbaik?

Dengan harga sekitar RM1,000, Infinix GT 30 dan GT 30 Pro boleh dianggap antara telefon gaming bajet paling berbaloi sekarang. Kedua-duanya menawarkan ciri penting yang memang dicari gamers seperti butang bahu, tetapan gaming khusus, serta rekaan unik dengan lampu LED di panel belakang. Dari segi prestasi, ia juga tidak mengecewakan, terutama pada model Pro dan dilengkapi pelbagai ciri AI menarik.
Namun, siri kali ini bukan tanpa kekurangan. Berbanding GT 20 Pro, terasa ada beberapa turun taraf, ini termasuk binaan yang lagi kurang premium dan kewujudan bloatware yang banyak. Tambah pula kualiti skrin AMOLED-nya tidak berapa bagus dan masih tiada sokongan HDR, lagi-lagi untuk model Pro. Ia kelihatan seolah-olah Infinix terpaksa potong kos pada beberapa bahagian bagi mengekalkan harga kompetitif.

Walaupun begitu, siri GT 30 masih hadir dengan beberapa naik taraf yang ketara. Antaranya kini ada kamera ultralebar, kapasiti bateri sedikit lebih besar, serta ciri AI tambahan yang tingkatkan pengalaman penggunaan harian.
Jika anda ada bajet lebih dan mahukan pengalaman lebih lancar dengan RAM 12GB, storan UFS 4.0 serta sokongan pengecasan tanpa wayar, GT 30 Pro adalah pilihan lebih sesuai dengan harga RM1,299 (256GB) dan RM1,499 (512GB). Tapi kalau anda mahu pilihan lebih mampu milik dan bukan selalu bermain game berat, GT 30 pada harga RM1,099 (8GB + 256GB) masih cukup kukuh sebagai telefon gaming bajet dalam kelasnya.
Anda boleh dapatkan Infinix GT 30 di Lazada dan Shopee, serta GT 30 Pro juga di Lazada dan Shopee.