Honor akhirnya melancarkan telefon pintar flagship terbaharu mereka, Honor Magic 8 Pro, di Malaysia. Model ini hadir dengan peningkatan pada aspek ketahanan, prestasi, bateri dan pengecasan dan menariknya dipilih sebagai peranti fotografi mudah alih untuk Kempen Visit Malaysia 2026.
Harga dan ketersediaan Honor Magic 8 Pro di Malaysia

Berikut adalah harga jualan Honor Magic 8 Pro di Malaysia:
- Honor Magic 8 Pro (RAM 12GB + storan 256GB) – RM4,599
- Honor Magic 8 Pro (RAM 16GB + storan 512GB) – RM5,199
Untuk tempoh sekarang hingga 4 Disember 2025, pembelian Magic 8 Pro juga akan datang dengan pelbagai hadiah percuma.

Ini termasuk kamera aksi Insta360 Ace Pro, lanjutan waranti 1 tahun, perlindungan kerosakan akibat air 1 tahun, perlindungan retak depan & belakang 365 hari, rebat segera RM300, serta akses Google AI Pro selama 3 bulan secara percuma.
Anda boleh beli Honor Magic 8 Pro melalui laman rasmi Honor Malaysia atau menerusi gedung rasmi Honor di Shopee, Lazada, atau TikTok Shop.
Spesifikasi Honor Magic 8 Pro

Di bahagian depan, ia menggunakan skrin LTPO OLED 6.71” 120Hz dengan resolusi 2808×1256 serta kecerahan puncak sehingga 6,000 nits. Anda boleh dapatkannya dalam tiga warna iaitu hitam, biru dan emas.
Untuk prestasi, peranti flagship ini dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, digandingkan dengan RAM sehingga 16GB, dan boleh diperluas secara maya hingga 32GB melalui fungsi Honor RAM Turbo.

Bahagian kamera pula mirip dengan Magic 7 Pro sebelum ini. Ia hadir dengan kamera utama 50MP f/1.6, kamera ultra lebar 50MP, serta kamera telefoto 200MP f/2.6 yang menyokong zum optikal 3.7x. Di depan pula, terdapat kamera swafoto 50MP bersama sensor kedalaman 3D untuk pengecaman wajah.
Selain itu, Honor turut melengkapkannya dengan Stability Engine, yang dikatakan Honor menawarkan tahap penstabilan CIPA 5.5, setara dengan kamera DSLR.



Kapasiti bateri yang dilengkapkan bersaiz 7,100mAh jenis silikon karbon yang boleh dicas pada paras 100W USB-C, dan wayarles 80W. Honor mengatakan ia mengambil masa hanya 47 minit untuk penuh menggunakan pengecasan berwayar, dan cas 5 minit mampu berikan masa tonton video sehingga 6 jam.
Untuk perlindungan, Honor Magic 8 Pro memiliki penarafan IP68/69/69K terhadap air dan debu. Sejurus keluar kotak, ia akan menjalankan sistem operasi MagicOS 10.






